Pages


Friday, November 30, 2012

Aeon Manjung Planting Tree With Community




Usaha melestarikan alam sekitar

Nov. 22, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my


LUMUT 21 Nov. - Melihat situasi perubahan iklim global yang kian meruncing, usaha penanaman pokok kini dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian penting ke arah mewujudkan kelestarian alam sekitar.

Pokok bukan sahaja membekalkan bekalan oksigen kepada hidupan di dunia ini, malah berupaya mengawal kuantiti gas karbon dioksida di atmosfera.

Selain menjadi tempat perteduhan secara semula jadi, pokok juga mampu mengurangkan risiko banjir serta pencemaran bunyi.

Menyedari mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar khususnya kepada generasi muda, Aeon Co. (M) Bhd. (Aeon) bergerak secara proaktif dengan mewujudkan program menanam pokok setiap kali majlis pembukaan cawangan baru pusat beli-belah itu.

Pengarah Urusannya, Nur Qamarina Chew Abdullah berkata, pihaknya percaya program menanam pokok bersama komuniti setempat secara langsung menggalakkan masyarakat membawa perubahan lebih baik terhadap alam sekitar.

"Kali pertama program penanaman anak pokok Aeon ialah pada 1991 iaitu ketika pembukaan pusat beli-belah Aeon Ayer Keroh di Melaka yang melibatkan penanaman sebanyak 50,000 pokok.

"Sehingga hari ini, kita telah menanam lebih 450,000 anak pokok di seluruh negara," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian penanaman pokok di Pusat Beli-Belah Aeon Seri Manjung, dekat sini baru-baru ini.

Majlis yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan itu turut dihadiri Pengerusi Aeon Co. (M) Berhad, Datuk Abdullah Mohd. Yusof.

Pada majlis tersebut, lebih 2,000 anak pokok ditanam oleh kira-kira 300 pelajar sekolah serta kakitangan Aeon dan penduduk setempat di sekitar kawasan tempat letak kereta pusat beli-belah itu.

Antara spesies anak pokok yang ditanam termasuklah Rhu Bukit, African Mahogany, Burma Rosewood dan Purple Coral Tree.

Sebanyak lima sekolah menyertai program tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Manjung, SK Seri Sitiawan, SK Sri Bayu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tit Bin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mukim Pundut.

Dalam perkembangan berkaitan, Nur Qamarina berkata, pihaknya juga pernah terlibat dalam program penanaman pokok di Paya Indah Wetlands, Selangor pada 2005 ketika menyambut ulang tahun ke-25 Aeon dengan rekod penanaman sebanyak 25,000 anak pokok.

Pada September tahun lalu pula katanya, para sukarelawan dengan kerjasama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) turut membantu menanam 1,000 anak pokok di Tapak Rehabilitasi dan Perhutanan Semula Habitat Orang Utan di utara Ulu Segama, Sabah milik Aeon.

"Program penanaman pokok ini sebenarnya selari dengan misi korporat dan aktiviti Aeon untuk menghijaukan bumi buat generasi akan datang selain mengekalkan penjagaan alam sekitar.

"Selain memperkembangkan rangkaian pusat beli-belah Aeon di seluruh negara, pada masa sama kita dapat berinteraksi lebih dekat dengan masyarakat setempat," katanya.

Sementara itu, seorang murid tahun enam SK Seri Manjung, Muhd. Luqman Hakim, 12, yang menyertai program tersebut berkata, dia gembira kerana berpeluang untuk menyertai aktiviti berfaedah tersebut.


Sunday, November 25, 2012

Another Allocation for Small Contractors

RM52j lagi untuk kontraktor kecil

Nov. 20, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 19 Nov. - Selepas RM37.36 juta nilai kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan diberikan kepada kontraktor kecil pada Julai lalu, kerajaan hari ini mengagihkan 310 lagi projek bernilai RM52 juta menerusi sistem cabutan undi pusingan kedua kepada golongan itu.

Daripada jumlah tersebut, sejumlah 171 projek ditawarkan kepada kontraktor kelas F (G1) bernilai RM17 juta, 117 untuk kelas E (G2) sementara 22 lagi untuk kelas D (G3).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, kesemua projek berkenaan akan mula dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada awal tahun depan dan dijadualkan siap menjelang Mei depan.

Beliau berkata, tiga kontraktor perintis bakal menerima surat setuju terima tender selewat-lewatnya pada pertengahan bulan depan bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan baru siap dibina.

Menurut beliau, tender yang dikeluarkan untuk jalan sepanjang 212 kilometer itu melibatkan peruntukan sebanyak RM11.37 juta bagi tempoh kontrak selama tiga tahun.

"Selama hampir 11 tahun, kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan oleh lapan syarikat konsesi di seluruh negara. Pendekatan baru ini bukan bertindak untuk mengenepikan syarikat konsesi, namun adalah lebih baik jika mereka menumpukan kerja yang memerlukan teknologi dan pelaburan tinggi.

"Kerajaan yakin kontraktor kecil juga harus diberi peluang untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan seperti memotong rumput serta meratakan bahu jalan. Lagipun, ia tertakluk kepada jadual kadar harga yang telah ditentukan dan tidak melibatkan penambahan kos kepada kerja ditawarkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian pelaksanaan kerja undi tahun 2013 pusingan kedua melibatkan penyelenggaraan jalan Persekutuan peringkat negeri, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Himmat Singh; Pengarah Kerja Raya Perak, Datuk Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad dan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad.

Dalam perkembangan sama, Shaziman berkata, pihaknya sedang mengkaji kesemua cadangan yang dikemukakan PKMM yang antara lain memohon kenaikan nilai kerja kontraktor kelas F daripada RM200,000 kepada RM300,000.

Beliau berkata, nilai kerja yang diguna pakai sejak 2002 itu akan dikaji oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan ia dijangka siap pada awal tahun depan.

Perak Amanjaya Career Carnival 2012


Tarik lebih 16,000 pengunjung

Nov. 13, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my


IPOH 12 Nov. - Karnival Kerjaya Perak Amanjaya 2012 selama dua hari di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang menutup tirainya hari ini berjaya menarik 16,000 pengunjung termasuk pencari kerja sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, daripada jumlah itu hampir 6,500 pendaftaran diterima daripada pencari kerja.

"Walaupun bilangan pencari kerja ini menurun berbanding 11,000 pada tahun lalu, kita melihat ini sebagai sesuatu yang positif kerana ia menggambarkan kadar pengangguran di negeri ini juga telah berkurangan.

"Lagipun, kerajaan negeri telah menubuhkan Pusat Kerjaya Amanjaya (Peka) yang mana orang ramai boleh mendaftar bagi mencari pekerjaan secara dalam talian yang dibuka selama 24 jam," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Peka berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutup karnival tersebut semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri yang juga Pengerusi Sekretariat Karnival Kerjaya Perak Amanjaya 2012, Khairul Azwan Harun.

Pada majlis tersebut, Zainol Fadzi menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil 87 syarikat dan agensi yang menawarkan lebih 7,000 peluang pekerjaan sempena karnival kali ini.

Dalam pada itu beliau memberitahu, inisiatif kerajaan negeri melalui penubuhan Peka untuk membantu rakyat mencari pekerjaan tidak pernah dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan negeri lain.

Selain itu katanya, peningkatan jumlah syarikat atau majikan dalam karnival kali ini juga membuktikan mereka mengiktiraf usaha kerajaan dalam membantu menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua anak Perak supaya bekerja dan berkhidmat di sini untuk sama-sama kita membangunkan negeri ini," katanya.

Drug syndicate busted

Sindiket dadah pusat hiburan

Nov. 13, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 12 Nov. - Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai bergiat aktif termasuk di pusat-pusat hiburan sekitar Taiping dan bandar raya ini selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan di sekitar taman perumahan Lebuh Lasam di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 10 malam itu, polis turut merampas satu kilogram syabu dan 400 gram ketamin bernilai RM160,000 yang ditemui dalam lapan peket plastik dalam sebuah beg di atas tembok pagar rumah pangsapuri itu.

Turut ditahan dalam serbuan itu ialah pengurus sebuah pusat hiburan berusia 47 tahun yang disyaki ketua sindiket tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, turut disita ialah dua buah kereta jenis Toyota Caldina dan Kia Spectra, masing-masing bernilai RM90,000 dan RM25,000 yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

“Ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan antara 30 ke 47 tahun dan berasal dari Taiping. Suspek utama dalam kes itu dikenal pasti sebagai pengurus di salah sebuah pusat hiburan di sini.

“Suspek itu mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan tiga kes dadah dan satu kes curi. Seorang lagi yang ditahan pernah terlibat dalam dua kes dadah manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Siasatan polis percaya dadah yang dirampas itu turut dijual kepada pengunjung serta pekerja di pusat-pusat hiburan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga suspek tersebut ditahan reman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

BSN registered bank agent transaction worths more than RM200 million

Perbankan tanpa cawangan BSN RM200 juta


KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Nov. 12, 2012 - Utusan Malaysia


IPOH 11 Nov. - Perkhidmatan perbankan tanpa cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi ejen bank berdaftar di seluruh negara merekodkan transaksi mencecah RM200 juta sejak ia dilancarkan Januari lalu.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Adinan Maning berkata, perkhidmatan melalui 2,357 ejen berdaftar BSN di seluruh negara itu melibatkan pelbagai transaksi termasuk deposit, pengeluaran wang, pembayaran bil utiliti serta pembelian Sijil Simpanan Premium (eSSP).

“Oleh itu, pada tahun depan, kita menyasarkan penambahan bilangan ejen bank berdaftar sehingga 4,500 iaitu setahun lebih awal daripada yang kita sasarkan sebelum ini. Hujung tahun ini, kita jangka angka itu mencecah sehingga 3,000.

“Perkhidmatan ini selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan akses kewangan terutamanya di kawasan luar bandar selain menggalakkan rangkuman kewangan seperti yang disarankan dalam Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 Bank Negara Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran perkhidmatan ejen bank berdaftar BSN di Stesen Petronas Tambun di sini yang disempurnakan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd. (PDB), Aminul Rashid Mohd. Zamzam.

Ketika ini, terdapat 197 stesen Petronas yang menawarkan perkhidmatan ejen bank berdaftar BSN di seluruh negara.

Sementara itu, Aminul Rashid berkata, melalui strategi BSN itu, stesen-stesen Petronas mampu menjadi titik penghubung kepada masyarakat luar bandar dalam memanfaatkan capaian perkhidmatan kewangan yang lebih luas.

Beliau berkata, ia berikutan terdapat lebih 1,000 stesen Petronas telah dibuka di negara ini dan perkongsian pemasangan mesin juruwang automatik (ATM) bersama BSN telah bermula sejak 2005 lagi.



Thursday, November 22, 2012

Frozen Meat Smuggling Busted


Cubaan seludup keluar daging beku dipatah



Oct. 10, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
 
LUMUT 9 Nov. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup keluar 12 tan daging beku bernilai RM150,000 di barat laut Tanjung Lumba-Lumba, perairan Hutan Melintang awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi, Bot Kilat pasukan Maritim Malaysia yang berpangkalan di sini memintas bot KM Sempurna yang membawa muatan penuh daging beku bersama lima awak-awak rakyat Indonesia.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 3 Perak, Kapten (M) Abdul Razak Johan berkata, siasatan mendapati muatan daging beku berkenaan cuba dibawa keluar dari perkampungan pedalaman Hutan Melintang tanpa dokumen yang sah.

"Daging beku itu bagaimanapun dipercayai dibawa masuk secara sah ke Malaysia dari India untuk dibungkus sebelum ia diseludup keluar melalui jalan laut untuk dihantar ke negara jiran.

"Ini adalah kejayaan terbesar kes penyeludupan bagi Daerah Maritim Perak pada tahun ini. Kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sunday, November 11, 2012

Drop in Motorcycle Theft

Kes curi motosikal menurun

IPOH 23 Okt. - Kadar jenayah kecurian motosikal di sekitar bandar raya ini menurun sebanyak 557 kes dari tempoh Januari tahun ini sehingga hari ini, berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) Daerah Ipoh, Supritendan Anuar Othman berkata, angka tersebut menyaksikan penurunan daripada 3,357 kepada 2,800 kes yang dicatatkan setakat ini.

"Antara faktor penyumbang kepada penurunan kes tersebut adalah hasil penglibatan masyarakat termasuk rondaan yang kerap dijalankan oleh anggota polis.

"Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil ke balai polis supaya kita boleh mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Community Policing (C-Cop) di Kampung Ulu Chepor anjuran Balai Polis Tanah Hitam di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah (Pentadbiran), Supritendan Ahmad Termizi Abdul Haq dan Ketua Balai Polis Tanah Hitam, Sarjan Mejar Ahmad Bahari Mansor.

Dalam perkembangan berlainan, Anuar berkata, kadar jenayah di sekitar kawasan Tanah Hitam juga menurun daripada 14 kepada 9 kes pada tahun ini setakat ini.

Beliau berkata, kebanyakan kes jenayah membabitkan kejadian pecah rumah termasuk kegiatan samun di tepi jalan ke atas penduduk di sini yang terdiri daripada pekebun.

"Kegiatan samun ke atas pekebun ini bukan jenayah terancang, sekiranya ada peluang, mereka akan lakukannya," katanya.

UTP to become first private 'Research University'

UTP jadi universiti penyelidikan


SERI ISKANDAR 23 Okt. - Universiti Teknologi Petronas (UTP) bakal menjadi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama negara ini yang diiktiraf sebagai universiti penyelidikan sebaik sahaja melepasi markah kelayakan minimum bagi mencapai status berkenaan.

Naib Canselornya, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim berkata, hasil pelan transformasi yang giat dijalankan sejak tahun 2008, UTP telah memperoleh skor sebanyak 84.9 peratus berbanding 75 peratus yang ditetapkan kementerian.

"Usaha transformasi ini telah membuahkan hasil dan ini melayakkan UTP untuk melalui fasa penilaian terakhir pada bulan depan.

"Adalah diharapkan UTP akan berjaya mencapai status universiti penyelidikan di negara ini pada tahun 2013," katanya ketika berucap pada majlis Konvokesyen Ke-12 UTP di sini kelmarin.

Majlis dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Canselor UTP dan turut dihadiri oleh isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Pada majlis tersebut, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan yang juga Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas), dimasyhurkan sebagai Pro Canselor UTP.

Seramai 1,267 mahasiswa UTP daripada pelbagai bidang jurusan kejuruteraan termasuk sistem maklumat perniagaan dan teknologi maklumat berjaya menamatkan pengajian pada tahun ini termasuk 154 mahasiswa di peringkat pasca siswazah.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, pihak lembaga pengarah universiti sudah meluluskan dua pembinaan bangunan khas untuk penyelidikan dengan memenuhi kriteria Indeks Bangunan Hijau dan dijangka siap pada 2014.

Selain itu, pihaknya juga akan bekerjasama dengan syarikat tempatan, PV Hi Tech Solar untuk membina Ladang Solar yang mampu menjana tenaga elektrik lestari sebanyak 1 Mega Watt di kawasan seluas 1.2 hektar di kampus berkenaan.

Sementara itu, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia UTP, M. Abdul Hafiz Abu Tahir, 24, yang lumpuh dari paras leher hingga kaki kerana kemalangan pada semester akhir pengajiannya, menerima penghargaan ijazah istimewa sempena majlis itu.

M. Abdul Hafiz yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.98 mengakui dia hampir putus asa kerana sukar bangun dan menggerakkan jarinya.

"Sekiranya mampu, saya ingin bekerja dan menjadi seorang jurutera kimia. Apa yang penting, saya ingin berusaha bangun sendiri," katanya yang juga anak kepada seorang peneroka di Felda Semenchu, Kota Tinggi, Johor.

Penerima Anugerah Canselor Emas pula dimenangi pelajar Kejuruteraan Kimia, Chan Wen Zen diikuti Mohamad Azwan Ismail (Kejuruteraan Petroleum) yang memenangi Anugerah Canselor Perak manakala Tan Xiao Ci (Sistem Maklumat Perniagaan) menerima Anugerah Canselor Gangsa.

Dua anugerah baharu yang diperkenalkan tahun ini iaitu Penyelidik Terbaik bagi kategori Doktor Falsafah dan Master pula masing-masing dimenangi Abrar Inayat dan Siti Nur Azella Zaini daripada Fakulti Kejuteraan Kimia.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...