Pages


Sunday, November 25, 2012

Another Allocation for Small Contractors

RM52j lagi untuk kontraktor kecil

Nov. 20, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 19 Nov. - Selepas RM37.36 juta nilai kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan diberikan kepada kontraktor kecil pada Julai lalu, kerajaan hari ini mengagihkan 310 lagi projek bernilai RM52 juta menerusi sistem cabutan undi pusingan kedua kepada golongan itu.

Daripada jumlah tersebut, sejumlah 171 projek ditawarkan kepada kontraktor kelas F (G1) bernilai RM17 juta, 117 untuk kelas E (G2) sementara 22 lagi untuk kelas D (G3).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, kesemua projek berkenaan akan mula dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada awal tahun depan dan dijadualkan siap menjelang Mei depan.

Beliau berkata, tiga kontraktor perintis bakal menerima surat setuju terima tender selewat-lewatnya pada pertengahan bulan depan bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan baru siap dibina.

Menurut beliau, tender yang dikeluarkan untuk jalan sepanjang 212 kilometer itu melibatkan peruntukan sebanyak RM11.37 juta bagi tempoh kontrak selama tiga tahun.

"Selama hampir 11 tahun, kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan oleh lapan syarikat konsesi di seluruh negara. Pendekatan baru ini bukan bertindak untuk mengenepikan syarikat konsesi, namun adalah lebih baik jika mereka menumpukan kerja yang memerlukan teknologi dan pelaburan tinggi.

"Kerajaan yakin kontraktor kecil juga harus diberi peluang untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan seperti memotong rumput serta meratakan bahu jalan. Lagipun, ia tertakluk kepada jadual kadar harga yang telah ditentukan dan tidak melibatkan penambahan kos kepada kerja ditawarkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian pelaksanaan kerja undi tahun 2013 pusingan kedua melibatkan penyelenggaraan jalan Persekutuan peringkat negeri, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Himmat Singh; Pengarah Kerja Raya Perak, Datuk Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad dan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad.

Dalam perkembangan sama, Shaziman berkata, pihaknya sedang mengkaji kesemua cadangan yang dikemukakan PKMM yang antara lain memohon kenaikan nilai kerja kontraktor kelas F daripada RM200,000 kepada RM300,000.

Beliau berkata, nilai kerja yang diguna pakai sejak 2002 itu akan dikaji oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan ia dijangka siap pada awal tahun depan.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...