Pages


Thursday, May 5, 2011

Pesta Songkran



Kemeriahan Pesta Songkran

April 25, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

GERIK 24 April- Peluang mengikuti Pesta Songkran di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, Perak bersama kira-kira 700 keluarga masyarakat Siam di Malaysia amat mengujakan.

Apatah lagi apabila mengetahui sambutan di kawasan tersebut merupakan yang terawal sekali diraikan di negeri ini sejak 37 tahun lalu.

Berlangsung di Dewan Songkran Kampung Tasek, pesta tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Boon Som Inong dengan dipenuhi pelbagai acara menarik.

Meskipun pada mulanya agak janggal dan asing tatkala dikerumuni pelbagai wajah masyarakat Siam, namun segala-galanya berubah apabila mendapati mereka boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik sekali.

Perayaan Songkran yang lebih dikenali dengan jolokan pesta air merupakan perayaan tahun baru tradisional Siam yang diwarisi sejak turun-temurun.

Pesta yang biasanya disambut pada tanggal 13 atau 14 April ini secara kebetulan jatuh pada pertengahan bulan yang terpanas di Thailand.

Disambut di beberapa kawasan penempatan masyarakat Siam di Kedah, Kelantan, Perlis, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, kini ia juga diraikan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Perkataan 'Songkran' berasal daripada bahasa Sanskrit yang boleh ditafsir sebagai berlepas atau peralihan, justeru ia menandakan kemunculan tahun baru.

Berdasarkan kalendar lunar Siam, ia jatuh pada bulan kelima iaitu sewaktu bulan purnama dan pada hari ke-15.

Menyingkap sejarahnya, Songkran merupakan pesta atau perayaan golongan Brahmin yang mengamalkan agama Hindu di India. Ia mula berkembang ke tanah Suwannabhumi (Thailand) pada awal Masihi sebelum ia disebarkan kepada masyarakat yang memeluk agama Hindu-Buddha di Laos dan Kemboja.

Pesta ini turut dirai di beberapa buah negara lain seperti Myanmar, Sri Lanka serta wilayah Sipsongpanna di selatan China. Mengikut kepercayaan masyarakat di utara India pula, Songkran juga menandakan permulaan tahun baru.

Di Thailand, Songkran dipercayai mula diamalkan sejak zaman kegemilangan wilayah Sukhotai. Ia berdasarkan kemasukan agama Buddha ke negara itu dan dibawa bersama kebudayaan dan kepercayaan dari India. Sejarah Songkran ini tercatat di Wat Phrachetuphan di Thailand.

Mengikut tradisi, pesta Songkran disambut oleh golongan muda termasuk kanak-kanak untuk memohon maaf serta meminta restu daripada orang tua seperti ibu bapa, datuk nenek termasuklah sami dan guru-gurunya.

Sebagai lambang kemaafan, golongan tua akan dimandikan dengan menyiram air bersih dan wangi-wangian ke atas tapak tangan, kaki dan seterusnya anggota badan yang lain. Bagaimanapun, golongan muda perlu meminta kebenaran terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

Sewaktu dimandikan, golongan tua akan mendoakan kebahagiaan terhadap generasi muda atau anak serta cucu mereka. Selepas itu, golongan tua akan dikenakan pakaian baru dan bersih.

Walaupun pesta Songkran bukanlah perayaan keagamaan, tetapi masyarakat Siam menjadikan perayaan tersebut sebagai satu cara untuk mengumpul pahala. Biasanya, pada hari tersebut, mereka akan mengadakan upacara memandikan imej Buddha dan sami Buddha (bhikkhu).

Orang ramai akan berkunjung ke wat pada pagi hari sementara kaum lelaki membersihkan persekitaran wat sebagai tanda bakal memulakan penghidupan baru selain simbolik kepada 'pembuangan' segala perbuatan jahat yang pernah dilakukan pada tahun-tahun lalu.

Bagi memeriahkan lagi Pesta Songkran, pelbagai acara diatur termasuk pertandingan Ratu Songkran, bola sepak, gerai jualan serta persembahan tarian 'klong jau'.

Menurut seorang penduduk keturunan Siam, Wong Yook Lian, 53, tradisi memandikan golongan tua semakin kurang dilakukan kerana sebahagian daripada mereka merasa terlalu sejuk apabila berbuat demikian.

Namun, katanya, sewaktu Pesta Songkran, antara juadah hidangan yang disediakan bersama oleh masyarakat Siam di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu ini adalah nasi putih dan gulai umbut pisang.

"Biasanya, kanak-kanaklah yang paling seronok menantikan Songkran kerana mereka dapat bermain air serta menyapukan bedak kepada orang lain," katanya.

Sementara itu, Prakjuk Sunan, 30, berkata, untuk pertandingan Ratu Songkran, seramai tujuh gadis belasan tahun akan bertanding bagi merebut 'takhta' dan pemenangnya dipilih berdasarkan kecantikan menggayakan pakaian tradisi serta lenggok jalannya yang lemah lembut ketika mempamerkan aksi di atas pentas.

Menurutnya, Ratu Songkran yang terpilih akan diarak ke sekeliling kampung menaiki kereta berhias bersama-sama peserta lain yang mana ia juga merupakan kemuncak kepada pesta tersebut.

Namun kini, seiring dengan perubahan zaman, sambutan Songkran juga disertai dengan persembahan nyanyian lagu-lagu Thailand yang rancak oleh muda-mudi yang turut sama menari di hadapan pentas.

Di Thailand pula, misalnya, sebanyak 60 kawasan di negara itu dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa kesihatan pada tahun ini sebagai 'tempat bebas alkohol' ketika perayaan Songkran bagi mengurangkan keganasan serta serangan seksual akibat mabuk.

Walaupun begitu, biar apa pun budaya dan cara sambutannya, nilai murni sejagat dalam perayaan Songkran seperti mengenang budi dan menghargai orang tua wajar diteladani sebagai teras pembentukan masyarakat Malaysia yang berbudi bahasa.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...