Pages


Sunday, April 28, 2013

PKR to Contest 9 Parliamentary Seats, 19 State Seats

 

 

PRU-13: PKR tanding 9 kerusi Parlimen, 19 DUN di Perak

IPOH 16 April - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan calon parti itu yang akan bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU-13).

Anwar berkata, dua kerusi yang masih dirundingkan ialah Parlimen Sungai Siput dan DUN Manong.

"Adalah normal bagi parti dalam pakatan untuk mempunyai pendapat tersendiri dalam penentuan kerusi. Kita menjangkakan dapat mencapai keputusannya tidak lama lagi," katanya ketika berceramah di Jalan Pemimpin, Manjoi di sini.

Sembilan calon PKR yang akan bertanding di kerusi Parlimen ialah Dr. Muhammad Nur Manuty (Bagan Serai), Dr. Meor Ahmad Isharra Meor Ishak (Padang Rengas), Siti Aishah Shaikh Ismail (Tambun), Dr. Lee Boon Chye (Gopeng), K. Vasanthakumar (Tapah), Mustaffa Kamil Ayub (Pasir Salak), Laksamana (B) Imran Abdul Hamid (Lumut), Madhi Hassan (Bagan Datoh) dan Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew (Tanjung Malim).

Selain itu, 19 kerusi DUN yang menjadi pertaruhan PKR ialah Pengkalan Hulu, Temenggor, Kenering, Kota Tampan, Batu Kurau, Kuala Kurau, Alor Pongsu, Kuala Sepetang, Ulu Kinta, Bukit Chandan, Bota, Tualang Sekah, Simpang Pulai, Teja, Chenderiang, Sungai Manik, Pangkor, Hutan Melintang dan Behrang.

Pakatan pembangkang masih belum menentukan calon untuk kerusi Parlimen Sungai Siput selepas Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengesahkan untuk bertanding di situ menerusi penyandangnya, Dr. Jeyakumar Devaraj yang menggunakan tiket PKR pada 2008. - UTUSAN ONLINE

Malaysian 13th General Election 2013

Pit Credit: Free Malaysia Today

             
                Welcome to the 13th Malaysian General Election edition and i'll be focusing on Perak, one of the biggest state in Malaysia






RM500 Incentive for Ipoh Municipal Council Staffs



Warga MBI terima insentif RM500


IPOH 1 April - Sebanyak 2,340 pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bakal menerima insentif sebanyak RM500 melibatkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta yang akan dibayar pada gaji bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemberian tersebut berikutan prestasi memberangsangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam melonjak perubahan ketara bandar raya ini sejak empat tahun lalu.

"Pada 2008, sebanyak 785 permohonan pembangunan kita terima, namun jumlah tersebut meningkat sehingga 4,445 iaitu kedua tertinggi selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Ini sekali gus membuahkan hasil daripada strategi yang kita laksanakan dalam perubahan sistem penyampaian termasuk penggunaan sistem pusat setempat (OSC) di PBT serta kepantasan kerajaan negeri meluluskan permohonan di peringkat Exco tanpa sebarang fail tertunggak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Perdana Menteri Besar Bersama Warga MBI di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim.

Pada majlis tersebut, Zambry turut mengumumkan kenaikan gaji kumpulan sokongan MBI dari gred 1 hingga 16 yang menyaksikan gaji golongan tersebut yang sebelum ini dalam lingkungan RM1,200 hingga RM1,500, dinaikkan menjadi RM1,797 hingga RM2,857 sebulan.

Kenaikan tersebut yang akan berkuat kuasa Julai ini adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Sistem Saraan Transformatif (SST) baru-baru ini.

Katanya, di bawah sistem baharu itu, kumpulan sokongan yang telah mencapai gaji maksimum, mereka akan diberikan tiga tangga gaji tambahan sehingga 2015, sebelum kenaikan tiga peratus setiap tahun mengikut prestasi bermula 2016.

Dalam pada itu, katanya, pembangunan Ipoh terus meningkat apabila bilangan premis perumahan dan perniagaan di sini turut meningkat dengan mendadak daripada 236,000 kepada 272,000.

Peningkatan tersebut ujar beliau, menunjukkan tahap keyakinan rakyat termasuk pelabur dalam menjalankan perniagaan termasuk menjadikan bandar raya ini sebagai tempat tinggal.

Zambry memberitahu, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa negeri untuk turut sama melihat prestasi PBT lain di negeri ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri akan memberikan insentif sama kepada PBT lain termasuk meningkatkan jumlah imbuhan kepada kakitangan MBI pada masa depan sekiranya terdapat lebihan kutipan hasil kewangan.

Lahad Datu Invasion Exposed


 
 
 

Dihujani peluru, rakan rebah depan mata

 
IPOH 28 Mac - Dihujani peluru musuh, melihat rakan setugas rebah dan menghembuskan nafas terakhir di depan mata.

Itulah pengalaman cemas dan pahit yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila oleh tiga anggota komando VAT 69 yang cedera parah semasa bertempur dengan kumpulan pengganas Kiram yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 1 Mac lalu.

Pengalaman itu diceritakan semula oleh Koperal Azman Ampong, 39; Koperal Mohd. Tarmizi Hashim, 32; dan Konstabel Mohammad Qaiyum Aiqal Zulkifli, 22, semasa diraikan sebagai wira Polis Diraja Malaysia (PDRM) Peringkat Negeri Perak dalam satu majlis di kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini malam tadi.

Ketiga-tiga anggota komando itu masih menerima rawatan susulan di Hospital Angkatan Tentera, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.

Di sebalik tohmahan kononnya serangan di Lahad Datu adalah satu sandiwara politik, anggota komando terbabit menceritakan mereka berjuang bermati-matian walaupun ada yang kehabisan peluru.

Menurut Azman, mereka yang dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu Alpha, Bravo, Charlie dan Delta telah diserang segerombolan pengganas sehingga memaksa dia dan Mohd. Tarmizi berlindung di sebalik pokok kelapa sawit.

Katanya, dia bersama Mohd. Tarmizi yang ditugaskan dalam Unit Penggempur Charlie telah dilihat oleh pengganas kerana mereka berada di barisan hadapan.

“Kami diserang pada jarak selang tiga batang pokok kelapa sawit. Ketika itu, kaki kanan saya ditembak, manakala Mohd. Tarmizi pula cedera tangan kiri.
 
“Saya minta Mohd. Tarmizi berundur ke belakang kerana dia sudah kehabisan peluru tetapi belum sempat kami berbuat apa-apa, saya terkena satu lagi tembakan di bahagian belakang," katanya.

Menceritakan lanjut detik-detik cemas itu, Azman memberitahu, seorang lagi rakan mereka, Inspektor Zulkifli Mamat yang berada di belakang bagaimanapun terkorban apabila cuba menggantikan posisi Tarmizi di bahagian hadapan.

Sementara itu, Mohd. Tarmizi berkata, semangat juangnya dalam pertempuran tersebut tidak sedikit pun luntur walaupun cedera ditembak.

Menurutnya, demi tugas dan kedaulatan negara, mereka sanggup bertempur kerana mereka dilatih ‘pantang berundur sebelum ajal’.

Mohammad Qaiyum Aiqal dari Unit Delta pula terharu apabila menceritakan semangat setiakawan yang ditunjukkan rakan setugas kerana sanggup bertarung nyawa menyelamatkan dirinya yang ditembak, walaupun ketika itu kawasan tersebut dihujani peluru musuh.

Dalam kejadian itu, Mohammad Qaiyum Aiqal mengalami cedera parah ditembak di bahu yang menembusi tulang selangkanya sehingga patah, manakala paru-parunya turut luka terkena serpihan peluru.

“Walaupun cedera dan terjatuh, musuh tetap menembak ke arah saya termasuk menggunakan senjata berat. Saya amat terhutang budi pada rakan-rakan yang menarik saya ke belakang untuk berlindung di sebalik pokok kelapa sawit walaupun mereka tahu situasi ketika itu bahaya," katanya.

Pada majlis tersebut, Zambry menyampaikan sumbangan bantuan daripada kerajaan negeri sebanyak RM300,000 kepada Tabung Wira Lahad Datu.

Swiss Garden's Sea Villa in Perak



Villa terapung ikon Lumut


IPOH 27 Mac - Sebanyak 300 unit villa terapung akan dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 20 hektar di pesisir pantai berhampiran Swiss Garden Golf Resort & Spa, Lumut, dekat sini, sekali gus menjadi ikon pelancongan terbaharu di bandar maritim itu.

Dibina dengan konsep mesra alam di atas tanah pajakan kerajaan negeri selama 99 tahun itu menelan kos RM200 juta dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2016.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, villa tersebut akan dihubungkan dengan laluan ke laut berbentuk 'palm concept' seperti yang dibina di Sepang, Selangor dan Dubai.

"Projek ini akan memperkenalkan pengalaman penginapan yang unik kepada pengunjung dari dalam dan luar negara. Justeru mampu memperkembangkan lagi potensi pelancongan di negeri Perak," kata Zambry.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) projek 'Sea Villa' Mukim Lumut dalam daerah Manjung antara kerajaan negeri dan Damai Laut Golf Resort Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan sementara Damai Laut Golf Resort Sdn. Bhd., pula diwakili oleh Timbalan Pengarah Urusan PJ Development Holdings Berhad, Andrew Wong.

Damai Laut Golf Resort Sdn. Bhd., sebagai pemaju, bernaung di bawah Swiss Garden International Hotels, Resorts & Inns iaitu seksyen perhotelan bagi PJD Holdings Berhad yang menguruskan 12 hotel dan resort di dalam dan luar negara.

Baru-baru ini, Swiss-Garden Golf Resort & Spa Damai Laut memenangi Anugerah Pelancongan Perak 2012 sebagai resort terbaik.

Menurut Zambry, perjanjian kerjasama itu turut meliputi aspek pembangunan infrastruktur kemudahan awam seperti menaik taraf laluan masuk sejauh empat kilometer ke resort berkenaan selain tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh pihak pemaju.

Pembinaan villa tersebut yang akan dilengkapi kemudahan seperti spa, gimnasium dan kolam renang juga akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan selain memperkembangkan industri berkaitan pelancongan di Lumut.

Annual BR1M Is Possible

 

 

BR1M mampu diberi setiap tahun, hasil kecekapan kerajaan BN urus kewangan

IPOH 22 Mac - Barisan Nasional (BN) mampu meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika masih diberi mandat menerajui Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana kerajaan pimpinan parti itu terbukti cekap dan berhemah dalam menguruskan kewangan negara.


Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, beberapa pendekatan baharu dan kreatif kerajaan termasuk menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya meningkatkan hasil negara setiap tahun.

"Kita percaya sasaran kutipan cukai untuk mencapai RM130 bilion tahun ini akan dapat dicapai. LHDN telah membuat beberapa pendekatan kreatif, misalnya dalam urusan pindah milik tanah berasaskan nilai sama rata yang dahulunya diuruskan Pejabat Tanah dan Daerah.

"Namun sekarang, LHDN telah mengambil tugas berkenaan dan menempatkan pegawainya sendiri untuk melakukan urusan tersebut dengan mengikut harga tanah dan langkah itu didapati membawa kepada peningkatan hasil," katanya selepas melakukan lawatan kerja di Menara Hasil LHDN di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kinta Riverfront Hotel, Ipoh



Hotel berasaskan ekopelancongan


TERLETAK antara pertemuan pekan lama dan pekan baru, Hotel Kinta Riverfront di Ipoh, Perak semakin terkenal sebagai lokasi mesyuarat, konvensyen dan pameran (MICE) yang terbaik di bandar raya ini.

Mula beroperasi sejak 1 Januari tahun lalu, hotel bertaraf empat bintang yang dibangunkan berhampiran Sungai Kinta itu giat dipromosi sebagai hotel berasaskan ekopelancongan.

Selain memiliki sebuah muzium galeri yang memaparkan sejarah perlombongan bijih timah, pembinaan palung di ruang pejalan kaki di tepi Sungai Kinta mengimbau kembali kerancakan industri bijih timah di bandar raya itu sekitar tahun 1820-an.

Tidak hairanlah, empat buah dewan bankuet di hotel berkenaan diberi nama bersempena bandar-bandar perlombongan bijih timah di Perak seperti Tronoh, Kampar, Pusing dan Gopeng.

Pastinya, kunjungan ke hotel tersebut tidak lengkap tanpa menyusuri pemandangan indah di Kinta Riverwalk sepanjang 1.5 kilometer, terutamanya pada waktu malam dengan bertemankan pokok hiasan bercahaya persis Taman Tema i-City di Shah Alam, Selangor.

Pengurus Operasi Kinta Riverfront Hotel & Suites Sdn. Bhd., Patrick Chew berkata, projek pesisir sungai yang turut mengambil inspirasi serta konsep daripada Sungai Melaka itu baru bermula pada fasa pertama.

Beliau berkata, bagi memeriahkan lagi suasana di kawasan pejalan kaki yang terletak di hadapan hotel itu, pihaknya telah membina tiga replika jambatan terkenal dunia bagi membolehkan orang ramai melihatnya.

"Jambatan-jambatan ini adalah miniatur Golden Gate Bridge di San Francisco, Amerika Syarikat; Sydney Harbour Bridge di Australia dan Silver Nest Bridge di China.

"Beberapa gerai menjual makanan tempatan seperti mi rebus dan aiskrim kacang hazel, selain gerai sayur-sayuran segar dari Cameron Highlands turut dibuka di sini," katanya kepada S2.

Sementara itu, untuk penganjuran majlis pula, kawasan seluas 139 meter kaki persegi yang dinamakan Kongsi Square di tepi sungai itu juga dapat dimanfaatkan bagi tujuan pemasangan kanopi.

Bercerita lebih lanjut mengenai kemudahan penginapan, Patrick berkata, hotel berkenaan memiliki 410 unit bilik meliputi jenis standard, superior, family dan executives.

Bagi mereka yang inginkan kediaman yang lebih eksklusif, mereka boleh menempah set bilik honeymoon dan presidential suites yang masing-masing berharga RM3,888 dan RM8,888 semalam.

"Antara tetamu kenamaan yang telah menginap di presidential suites ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah sewaktu baginda merasmikan program Pergerakan Pandu Puteri di Ipoh.

"Selain itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri juga pernah menginap di bilik honeymoon yang terletak di tingkat 19," katanya.

Dalam pada itu, Patrick berkata, bagi mereka yang inginkan bilik kediaman serba lengkap, mereka boleh menginap di servis apartmen yang terdiri daripada Kinta Gold (tiga bilik, menghadap sungai) dan Kinta Premier (dua bilik, menghadap pekan).

Selain itu, katanya, sesuai dengan sasaran hotel sebagai lokasi MICE, lapan dewan mesyuarat yang dinamakan Menglembu, turut ditawarkan selain Grand Valley Ballroom yang boleh memuatkan sehingga 1,300 individu dalam satu masa.

Menariknya, ballroom yang dibina tanpa sebarang tiang itu merupakan yang terbesar di bandar raya ini, selain dilengkapi paparan skrin besar diod pemancar cahaya (LED) serta pentas bergerak turun naik melalui pacuan sistem hidraulik.

"Antara kemudahan lain termasuklah kolam renang lutsinar yang diberi nama Infinity Mermaid Swimming Pool di tingkat lima, gelanggang tenis, squash, dan spa.

"Dari segi makanan dan minuman pula, kami mempunyai beberapa restoran seperti Great Miner Chinese Cuisine, Palong Coffee House, The Mermaid Poolside bar and BBQ dan Tin Ore Bistro and Lounge," ujarnya.

Kemudahan tempat meletak kenderaan juga bukan merupakan satu masalah kerana terdapat lebih 1,000 unit disediakan di tingkat bawah tanah, selain di kawasan luar hotel.

Malah, keselamatan para penginap juga terjamin kerana hotel berkenaan turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...