Pages


Sunday, April 28, 2013

Lahad Datu Invasion Exposed


 
 
 

Dihujani peluru, rakan rebah depan mata

 
IPOH 28 Mac - Dihujani peluru musuh, melihat rakan setugas rebah dan menghembuskan nafas terakhir di depan mata.

Itulah pengalaman cemas dan pahit yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila oleh tiga anggota komando VAT 69 yang cedera parah semasa bertempur dengan kumpulan pengganas Kiram yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 1 Mac lalu.

Pengalaman itu diceritakan semula oleh Koperal Azman Ampong, 39; Koperal Mohd. Tarmizi Hashim, 32; dan Konstabel Mohammad Qaiyum Aiqal Zulkifli, 22, semasa diraikan sebagai wira Polis Diraja Malaysia (PDRM) Peringkat Negeri Perak dalam satu majlis di kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini malam tadi.

Ketiga-tiga anggota komando itu masih menerima rawatan susulan di Hospital Angkatan Tentera, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.

Di sebalik tohmahan kononnya serangan di Lahad Datu adalah satu sandiwara politik, anggota komando terbabit menceritakan mereka berjuang bermati-matian walaupun ada yang kehabisan peluru.

Menurut Azman, mereka yang dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu Alpha, Bravo, Charlie dan Delta telah diserang segerombolan pengganas sehingga memaksa dia dan Mohd. Tarmizi berlindung di sebalik pokok kelapa sawit.

Katanya, dia bersama Mohd. Tarmizi yang ditugaskan dalam Unit Penggempur Charlie telah dilihat oleh pengganas kerana mereka berada di barisan hadapan.

“Kami diserang pada jarak selang tiga batang pokok kelapa sawit. Ketika itu, kaki kanan saya ditembak, manakala Mohd. Tarmizi pula cedera tangan kiri.
 
“Saya minta Mohd. Tarmizi berundur ke belakang kerana dia sudah kehabisan peluru tetapi belum sempat kami berbuat apa-apa, saya terkena satu lagi tembakan di bahagian belakang," katanya.

Menceritakan lanjut detik-detik cemas itu, Azman memberitahu, seorang lagi rakan mereka, Inspektor Zulkifli Mamat yang berada di belakang bagaimanapun terkorban apabila cuba menggantikan posisi Tarmizi di bahagian hadapan.

Sementara itu, Mohd. Tarmizi berkata, semangat juangnya dalam pertempuran tersebut tidak sedikit pun luntur walaupun cedera ditembak.

Menurutnya, demi tugas dan kedaulatan negara, mereka sanggup bertempur kerana mereka dilatih ‘pantang berundur sebelum ajal’.

Mohammad Qaiyum Aiqal dari Unit Delta pula terharu apabila menceritakan semangat setiakawan yang ditunjukkan rakan setugas kerana sanggup bertarung nyawa menyelamatkan dirinya yang ditembak, walaupun ketika itu kawasan tersebut dihujani peluru musuh.

Dalam kejadian itu, Mohammad Qaiyum Aiqal mengalami cedera parah ditembak di bahu yang menembusi tulang selangkanya sehingga patah, manakala paru-parunya turut luka terkena serpihan peluru.

“Walaupun cedera dan terjatuh, musuh tetap menembak ke arah saya termasuk menggunakan senjata berat. Saya amat terhutang budi pada rakan-rakan yang menarik saya ke belakang untuk berlindung di sebalik pokok kelapa sawit walaupun mereka tahu situasi ketika itu bahaya," katanya.

Pada majlis tersebut, Zambry menyampaikan sumbangan bantuan daripada kerajaan negeri sebanyak RM300,000 kepada Tabung Wira Lahad Datu.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...