Pages


Wednesday, December 28, 2011

Kedai Rakyat 1Malaysia



59 KR1M di Perak tahun depan

25 Dec, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

BAGAN SERAI 24 Dis. - Kerajaan Perak menyasarkan sekurang-kurangnya 59 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) akan dibuka di seluruh negeri ini menjelang akhir tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pembukaan lebih banyak premis berkonsepkan pasar mini itu diharap dapat meringankan beban hidup penduduk berpendapatan sederhana dan rendah di negeri ini.

Beliau berkata, ketika ini, terdapat lima buah KR1M telah beroperasi di negeri ini iaitu Parit Buntar, Teluk Intan, Bidor, Manjoi di Ipoh dan di Taman Seri Maju di sini.

"Seboleh mungkin kita mahu semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mempunyai sekurang-kurangnya sebuah KR1M yang menjadi alternatif kepada rakyat untuk membeli barangan keperluan harian.

"Pada masa sama, kerajaan negeri akan memberi galakan kepada kedai runcit sedia ada khususnya di kawasan pedalaman bagi mengikuti program Transformasi Kedai Runcit (Tukar)," katanya selepas merasmikan KR1M Taman Seri Maju di sini, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Pada majlis tersebut, Zambry bersama-sama Saripah juga tidak melepaskan peluang membeli lapan jenis barangan tempatan termasuk biskut, bijirin sarapan, madu dan roti kaya hanya dengan harga RM30.66 di KR1M tersebut.

Dalam pada itu, Zambry berkata, ketika ini, sebanyak 23 buah kedai runcit di negeri ini terlibat dalam program Tukar dan hampir kesemuanya menerima sambutan baik daripada masyarakat setempat.

"Bagaimanapun, kita harap semua premis yang mengikuti program ini memberi khidmat terbaik kerana objektif utama pelaksanaannya adalah membantu rakyat berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan mereka pada harga berpatutan," katanya.

Monday, December 19, 2011

Pelancongan di Hulu Perak

Hulu Perak yang mempesonakan

Dis. 17, 2011 - Utusan Malaysia

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Melawat Hulu Perak, daerah terbesar di negeri ini bagaikan kembali menikmati keindahan alam sekitar.

Berkeluasan 656,300 hektar, daerah ini terletak bersempadan dengan negara Thailand di utara, Kedah di barat, Kelantan di timur dan Kuala Kangsar di selatan.

Tiga pekan utama di daerah Hulu Perak yang sebahagian besarnya dilitupi topografi hutan simpan adalah Pengkalan Hulu, Gerik dan Lenggong.

Menyingkap sejarahnya, orang pertama yang menjumpai daerah Hulu Perak ialah Tun Saban, anak kepada Tun Perak iaitu seorang Bendahara Melaka yang cukup terkenal pada awal abad ke-16.

Apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis, Tun Saban melarikan diri ke Patani dan kemudiannya bermukim di Belum, Hulu Perak. Di sana, beliau telah dilantik menjadi pemimpin kepada penduduk.

Kemudiannya, Hulu Perak dikuasai oleh kerajaan Siam. Melalui satu perjanjian pada 1902, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu termasuk Hulu Perak akhirnya dikembalikan kepada British.

Kini, Hulu Perak bukan sahaja menjadi khazanah himpunan pelbagai flora dan fauna, tetapi juga menyimpan warisan sejarah negara yang tidak ternilai.

Di Muzium Arkeologi Lenggong misalnya, ia merupakan sebuah muzium prasejarah pertama di Malaysia yang dibina di kawasan tapak penempatan zaman Paleolitik di Kota Tampan berusia lebih 70,000 tahun.

Bermula dari zaman tersebut, pengunjung berpeluang melihat bukti peninggalan masyarakat terdahulu seperti alatan batu, tembikar, barang perhiasan serta peralatan masyarakat Neolitik-Gangsa sehingga ke Orang Asli.

Malah, Lembah Lenggong yang mempunyai kira-kira 13 tapak arkeologi juga dikatakan menjadi laluan migrasi masyarakat prasejarah dari Afrika ke Australia.

Kajian sejarah tersebut diperkuat lagi dengan penemuan rangka 'Perak Man' yang dipercayai manusia tertua di negara ini, berusia antara 10 ke 11,000 tahun.

Rangka Perak Man yang dipercayai mengalami kecacatan genetik pertama di dunia itu ditemui sekumpulan penyelidik daripada Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai oleh Profesor Datuk Zuraina Abdul Majid.

Kini, rangka Perak Man yang dipamerkan dalam replika Gua Gunung Runtuh bagaimanapun bukanlah artifak yang sebenar, kerana rangka asalnya kini dipamerkan di Muzium Negara.

Biarpun begitu, replika MyKad Perak Man yang digantung bersama di dalam gua buatan itu serba sedikit membolehkan orang ramai mengetahui tentang usianya termasuk ketinggian, kelompok manusia serta aktiviti dan teknologi yang digunakannya semasa hidup.

Selain mempamerkan kehidupan masyarakat prasejarah mengikut kronologi, pengunjung juga berpeluang mengenali semua jenis batuan yang terdapat di Hulu Perak berusia 300,000 tahun di Taman Geologi Hulu Perak.

Satu lagi kawasan menarik yang tidak harus dilepaskan oleh para pelancong untuk dilawati ialah Taman Negeri Royal Belum (Royal Belum) seluas 117,500 hektar.

Dianggarkan berusia 130 juta tahun iaitu lebih tua daripada kewujudan hutan terkenal Amazon, ia sememangnya hutan dara yang masih belum terusik di Lembah Belum di Gerik.

Pelbagai spesies flora dan fauna telah ditemui di kawasan hutan hujan tropika itu sekali gus menjadikan ia sebagai kawasan yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.

Orang awam yang ingin memasuki Royal Belum perlu mendapatkan permit terlebih dahulu termasuk penyelidik tempatan dan luar negara yang berminat untuk mengkaji ekosistemnya.

Dianggarkan, Royal Belum memiliki lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang menjadikan kawasan hutan itu sebagai habitat.

Bukan itu sahaja, kawasan hutan hujan tropika itu juga menjadi antara salah satu lokasi di Malaysia yang jarang sekali boleh ditemui bunga terbesar di dunia iaitu bunga pakma atau lebih dikenali sebagai Rafflesia.

Difahamkan, Royal Belum mempunyai tiga daripada 20 spesies bunga tersebut di mana salah satu daripadanya dinamakan Azlanii iaitu sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Bagi meneruskan kelestarian penjagaan alam sekitar, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah juga telah mengisytiharkan hutan simpan tersebut sebagai Royal Belum pada 2003.

Royal Belum kemudiannya diwartakan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak 2001 oleh kerajaan Perak pada 17 April 2007.

Taman negeri ini yang terletak di utara Tasik Temenggor juga menjadi 'syurga' kepada hidupan mamalia seperti seladang, gajah Asia, badak Sumatera yang terancam serta burung seperti enggang.

Ia juga dikenal pasti sebagai sebagai Kawasan Alam Sekitar Sensitif di bawah Pelan Fizikal Malaysia 2005 kerana turut menjadi tempat perlindungan harimau belang, badak sumbu dan tapir.

Justeru, bagi peminat alam semula jadi, jangan lepaskan peluang untuk pergi mengembara di dalam hutan, melihat burung serta hidupan liar di hutan simpan ini secara lebih dekat.

Beberapa perkampungan masyarakat Orang Asli suku kaum Semai dan Jahai juga boleh dilihat di sekitar Tasik Banding yang menjadi pintu masuk ke Royal Belum.

Lembah Belum yang dikatakan terdiri daripada enam perkampungan kecil Kampung Belum Lama suatu masa dahulu, ditenggelami air ekoran pembinaan Empangan Chenderoh pada 1974.

Ia pernah dikenali sebagai kawasan hitam pada 1948 kerana menjadi benteng pengganas komunis.

Namun menariknya, Kampung Belum Lama itu sendiri dikatakan mendapat nama sempena bunyi ‘belum...belum...’ daripada sejenis belalang hijau besar yang banyak menghabiskan masa di pucuk pokok rotan.

Terbaru, kerajaan negeri sedang dalam proses akhir menyediakan pelan induk pembangunan bersepadu Royal Belum-Temenggor yang menyediakan hala tuju sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, laporan tersebut yang dijangka siap selewat-lewatnya awal tahun depan, sedang dalam perincian Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Koridor Utara (NCER) melalui sebuah syarikat perunding yang dilantik.

"Pelan induk itu merangkumi program pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan tersebut dengan penekanan terhadap pemuliharaan serta penjagaan ekosistem yang menjadi antara tarikan utama pelancong.

"Ia dilihat penting dalam usaha kerajaan negeri mengatasi isu pemburuan haram, penebangan hasil hutan selain menyelesaikan masalahindustri perkayuan dan pengurusan hutan berkenaan," katanya.

Teknologi Hijau di Perak



Perak bangunkan teknologi hijau

Dis. 16, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 15 Dis. – Syarikat Return 2 Green Sdn. Bhd. akan membangunkan sebuah kilang di Estet Perindustrian Pelabuhan Lumut Kampung Acheh bagi menghasilkan produk pembungkusan makanan biodegradasi yang mesra alam.

Produk yang dihasilkan melalui hampas tebu dari Thailand itu akan dibangunkan untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerjasama strategik dengan syarikat tersebut, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam merancakkan pembangunan teknologi hijau di negeri ini.

Beliau berkata, ketika ini, terdapat sembilan projek teknologi hijau yang akan dibangunkan di Perak membabitkan pelbagai produk seperti alga dan buluh.

‘‘Pelaburan ini tidak termasuk projek solar yang akan dibangunkan oleh syarikat dari luar negara, Twin Creeks (M) Sdn. Bhd. yang berjumlah RM1.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk pembangunan produk biodegradasi tersebut selain penempatan kilang syarikat berkenaan di Perak Hi-Tech Park di Khantan, Chemor, hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani Naib Pengerusi Return 2 Green Sdn. Bhd., Datin Rahmah Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Shamsudin Hashim.

Perjanjian itu antara lain mencadangkan pembinaan 18 kilang skim vendor syarikat berkenaan di seluruh negeri Perak.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Return 2 Green Sdn. Bhd, Shahrin Shamsuddin berkata, pembukaan kilang tersebut mampu mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang bioteknologi, pulpa dan teknologi hijau.

“Ketika ini, kita sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan produk biodegradasi berasaskan bahan buangan pertanian seperti sekam padi, jerami dan serat batang pisang,” katanya.

Masalah Tanah Di Perak

Komited bantu rakyat

Dis. 15, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 14 Dis. - Kerajaan Perak kini giat menyelesaikan masalah tanah membabitkan penternakan haram ikan hiasan di Kopisan, Gopeng selaras dengan usaha untuk membantu petani dan penternak di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, bagi mencapai penyelesaian tersebut, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) kini mengatur beberapa pertemuan dengan pengusaha haram tersebut bagi membolehkan mereka beroperasi mengikut undang-undang.

"Apabila saya menjadi Menteri Besar, masalah utama yang saya hadapi adalah untuk membenarkan petani dan penternak membangunkan tanah kerajaan ini yang telah mereka usahakan bertahun-tahun lamanya.

"Perkara ini tidak mudah kerana ia melibatkan ribuan ekar. Saya telah mengarahkan pejabat tanah untuk mencari mekanisme terbaik menyelesaikan masalah tersebut.

"Namun, masih terdapat orang yang menuduh kerajaan tidak berbuat apa-apa. Sebagai contoh, masalah pemilikan tanah yang menghantui para petani limau bali di Ampang bertahun lamanya telah diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kurang setahun selepas kita mengambil alih pentadbiran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi soal jawab bersama beberapa wakil media Cina berkenaan isu semasa di kediaman rasminya di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan Zambry berkata, langkah seterusnya yang diambil kerajaan adalah menyelesaikan masalah tanah melibatkan pekebun sayur-sayuran dan buah-buahan melibatkan kawasan seluas 2,200 hektar di Cold Stream New Village di Bidor.

Menurut beliau, langkah tersebut dilihat mencabar kerana terdapat beberapa pekebun yang mengusahakan tanah berkenaan sejak sekian lama sementara ada yang menjalankan aktiviti tersebut di kawasan yang dilabelkan untuk pembangunan.

"Ini merupakan cabaran terbesar bagi pihak kerajaan kerana ia melibatkan kawasan dari Lembah Kinta sehingga ke Batang Padang. Sektor pertanian ini besar dan saya menjangkakan prosesnya akan menjadi rumit," katanya.

Namun katanya, dalam membenarkan pekebun tersebut beroperasi secara 'halal', hanya mereka yang telah mengusahakan aktiviti berkenaan sejak bertahun lamanya akan diberi pertimbangan bagi mengelakkan sebarang pencerobohan ke atas tanah kerajaan.

Wednesday, December 14, 2011

SADC Terus Untung

PPPNP lonjak keuntungan

Dis. 13, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 12 Dis. - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) berjaya mencatatkan peningkatan keuntungan RM23.6 juta sehingga Oktober tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keuntungan tersebut disumbangkan oleh kenaikan harga pasaran minyak sawit mentah.

Beliau berkata, sehingga Oktober lalu, jumlah keuntungan yang dicapai berjumlah RM73.1 juta berbanding RM49.5 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Daripada segi pendapatan pula, RM308.9 juta berjaya dikutip dalam tempoh yang sama berbanding RM208.8 juta tahun lalu.

“Pencapaian menggalakkan ini merupakan hasil transformasi PPPNP yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu melalui beberapa pindaan enakmen serta penstrukturan semula organisasi,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah PPPNP Ke-3 untuk 2011 yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, A. Rizal Abd. Rahman.

Dalam pada itu, Zambry yang juga Menteri Besar berkata, bagi meneruskan prestasi dan momentum positif yang dicatatkan PPPNP, beberapa bidang baharu dalam sektor pertanian dan industri agro akan diterokai, termasuk pelaburan dalam ternakan akuakultur dan produk berasaskan herba.

Katanya, projek ternakan udang yang dijalankan di tanah 45 hektar di daerah Kuala Kurau melalui usaha sama dengan syarikat SBH Aquaculture Sdn. Bhd. dijangka mengeluarkan hasil pada akhir tahun depan.

Pembangunan Pekan Chemor

RM2.26j bina rumah kedai di Chemor

Dis. 11, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 10 Dis. – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat hartanah, Milan Properties Sdn. Bhd. bagi membangunkan 10 unit rumah kedai dua tingkat di atas tanah seluas 0.3 hektar di pekan Chemor, dekat sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, projek hartanah bernilai RM2.26 juta dengan anggaran jualan sebanyak RM425,000 seunit itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Walaupun pembangunan ini hanya melibatkan kawasan seluas 0.3 hektar, ia akan memberikan pulangan jangka masa pendek sebanyak RM1.7 juta kepada MBI.

“Saya yakin dengan wujudnya 10 unit rumah kedai ini, ia akan meningkatkan skala perniagaan di sana yang kini telah mengecapi pembangunan seperti pembinaan Pasar Chemor, Dewan Komuniti 1Malaysia, stadium mini dan yang akan datang adalah perpustakaan mini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mewakili MBI menandatangani MoU dengan Milan Properties Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Pengarahnya, William Tan, semalam.

Turut hadir Pengerusi Milan Properties Sdn. Bhd, Ibrahim Abas.

Pada majlis tersebut, William turut menyerahkan replika cek bernilai RM100,000 kepada MBI yang diwakili Roshidi sebagai bayaran deposit projek pembangunan tersebut, sementara bakinya akan dilunaskan sebelum Sijil Layak Menduduki (CF) dikeluarkan.

Dalam perkembangan lain, Roshidi memberitahu, MBI yakin akan dapat terus menambah pendapatan melalui kutipan bayaran cukai taksiran dan lesen perniagaan yang akan disalurkan untuk melaksanakan projek-projek berfaedah kepada warga bandar raya ini.

“Hasil majlis setakat Oktober 2011 adalah sebanyak RM127.45 juta iaitu mencapai 92 peratus daripada sasaran hasil yang ditetapkan sebanyak RM137.9 juta,” katanya.

Saturday, December 10, 2011

Pusat Pemulihan Sultan Azlan Shah




Pesakit Saraf Terima Anugerah

Dis. 10, 2011 - Utusan Malaysia

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 9 Dis.- Biarpun menghidap sejenis penyakit saraf sejak kecil, namun ia tidak pernah melunturkan semangat Chong Wen Rui untuk berjaya dalam hidup.

Wen Rui, 12, yang menjalani rawatan di Persatuan Pemulihan Sultan Azlan Shah di sini sejak berusia setahun setengah, membuktikan orang kurang upaya (OKU) juga mampu cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Chemor dekat sini memperoleh 6A 2B dalam peperiksaan tersebut.

Pencapaian cemerlangnya itu mendapat pengiktirafan apabila Wen Rui menerima Anugerah Kecemerlangan Istimewa yang disampaikan oleh Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim hari ini.

"Saya masih tidak berpuas hati kerana tidak memperoleh semua A dalam UPSR kerana mendapat B dalam subjek Bahasa Cina (Penulisan) dan Sains.

"Saya akan berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang suatu hari nanti," katanya selepas majlis penyampaian sijil latihan kemahiran asas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri) yang juga isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli dan Pengerusi Persatuan Pemulihan Sultan Azlan Shah, Tan Sri V. Jeyaratnam.

Pada majlis tersebut, Tuanku Zara Salim turut berkenan menyampaikan sijil latihan kemahiran asas PDK kepada 118 peserta kursus tersebut.

Raja Puan Besar Perak turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada penjaga golongan OKU, Persatuan Pemulihan Sultan Azlan Shah yang dinaungi oleh Yayasan Sultan Idris Shah.

Tuesday, December 6, 2011

Pain Free Hospital

'Hospital Bebas Kesakitan'

Dis. 6, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 5 Dis. - Kementerian Kesihatan hari ini memperkenalkan konsep perkhidmatan 'Hospital Bebas Kesakitan' dalam usaha mengurangkan tahap kesakitan para pesakit yang menjalani rawatan pembedahan.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tiga hospital iaitu Hospital Putrajaya, Hospital Selayang dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini telah dipilih bagi menjayakan projek perintis sebelum konsep itu diperluaskan ke seluruh negara.

"Konsep perkhidmatan ini mengaplikasikan pendekatan multidisiplin yang mengguna pakai kaedah perubatan tradisional dan komplimentari terutamanya akupuntur. Justeru, ia melibatkan pakar pembedahan, anestesia, pengurusan kesakitan, paramedik, ahli fisioterapi dan kakitangan perubatan lain.

"Untuk meningkatkan tahap keberkesanan kawalan kesakitan pasca pembedahan, beberapa modaliti rawatan termasuk teknik pembedahan invasif minimum dan pelaksanaan protokol analgesia multimodal akan dilaksanakan sekiranya ia sesuai untuk pesakit berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran 'Hospital Bebas Kesakitan' di HRPB di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon serta Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Maher.

Menurut Tiong Lai, konsep tersebut juga dijangka dapat membantu usaha mengawal kesan sampingan ubat penahan sakit serta menggalakkan pembedahan secara rawatan harian, seterusnya mempercepatkan proses penyembuhan.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan menyediakan peruntukan sebanyak RM6.9 juta bagi menampung keperluan pelaksanaan projek perintis tersebut yang merangkumi latihan modal insan serta pembelian ubat-ubatan serta peralatan pembedahan berkaitan.

"Untuk melatih tenaga pakar dalam bidang rawatan kesakitan ini amat memerlukan masa. Seseorang doktor perlu melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana selama empat tahun sebelum mengikuti latihan subkepakaran selama tiga tahun.

"Kita juga akan menghantar kebanyakan doktor yang kebanyakannya dalam bidang anestesia ini untuk mempelajari teknik akupuntur di negara China selama tiga bulan," katanya.

Beliau berkata, konsep itu hanya akan diperluaskan ke hospital-hospital lain setelah negara mempunyai pakar rawatan yang mencukupi memandangkan bilangan sedia ada terlalu sedikit iaitu seramai 10 orang manakala 11 lagi masih menjalani latihan subkepakaran.

Saturday, November 26, 2011

Melaporkan dari Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-12

Sasar setinggan sifar 2012

Nov. 23, 2011 - Utusan Malaysia

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 22 Nov. - Kerajaan negeri telah berjaya menyelesaikan masalah setinggan sebanyak 70 peratus pada tahun ini sekali gus berada di landasan tepat untuk merealisasikan sasaran setinggan sifar menjelang 2012.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari berkata, sehingga 31 Oktober lalu, 9,994 masalah setinggan diselesaikan menjadikan baki perumahan yang dikategorikan sebagai setinggan berjumlah 4,288.

"Daripada baki jumlah tersebut, 1,197 daripadanya berada di daerah Kinta, Manjung (199), Batang Padang (518), Kuala Kangsar (86) Larut Matang dan Selama (595), Seri Iskandar (15), Kampar (1,003), Hilir Perak (4), Hulu Perak (333) dan Kerian (338).

"Jika dinilai daripada pecahan mengikut bangsa, 2,453 orang daripadanya adalah terdiri daripada orang Melayu diikuti 892 Cina, 791 India dan 182 bangsa lain," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Khalil Idham Lim Abdullah (Pas-Titi Serong) yang mahukan penjelasan mengenai masalah setinggan di negeri ini.

Dalam pada itu, Ramly berkata, antara langkah yang diambil kerajaan bagi mengatasi masalah setinggan adalah menjalankan penempatan semula menerusi skim Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) yang dilaksanakan sama ada di kawasan baru mahupun secara in situ.

Beliau berkata, ketika ini, sebanyak 36 RPT penempatan setinggan yang diluluskan sedang dilaksanakan di pelbagai peringkat secara penswastaan oleh pemaju.

"Melaui kaedah ini, pemaju yang dilantik akan menyediakan lot tapak kediaman dan menyerahkan 30 peratus daripada lot kawasan pembangunannya kepada kerajaan secara percuma. Semua kos pembangunan ditanggung oleh pemaju," katanya.

Mengulas lanjut, Ramly berkata, bagi RPT in situ pula, kerajaan tidak memindahkan setinggan tersebut sebaliknya mengekalkan penempatan di kawasan asal menerusi pengeluaran secara hak milik mahupun Lesen Menduduki Sementara.

Tambah beliau, sebagai mempercepatkan penyelesaian RPT in situ, kerajaan menyediakan peruntukan bayaran pendahuluan kos mengukur lot-lot tersebut sebanyak RM3 juta.

"Kerja ukur dijalankan oleh swasta supaya proses pengeluaran hak milik disegerakan. Sebanyak 20 kawasan RPT in situ dilaksanakan menerusi program ini bagi fasa pertama manakala 17 lagi membabitkan fasa kedua," katanya.

Karnival Pantai Utusan Malaysia & Mingguan Malaysia - Teluk Batik

Anggota TLDM juara boling kelapa

Nov. 21, 2011 - Utusan Malaysia

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

LUMUT 20 Nov. - Lapan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) muncul sebagai juara dan naib juara pertandingan boling kelapa berkumpulan yang dianjurkan sempena Karnival Pantai Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia di Dataran Hadhari, Teluk Batik di sini hari ini.

Mereka yang merupakan staf teknikal dari Pusat Maritim TLDM di sini berjaya menundukkan sepuluh lagi pasukan lain yang berentap dalam pertandingan tersebut.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM700 untuk juara manakala RM500 bagi naib juara beserta hamper.

Seorang daripada mereka, Muhd. Nor Hisyam Zakaria, 24, berkata, mereka berlapan sememangnya sudah merancang menyertai pertandingan itu setelah terbaca mengenai penganjuran karnival berkenaan dalam akhbar Utusan Malaysia.

"Pagi ini kami terus mendaftar untuk pertandingan ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut.

Muhd. Nur Hisyam bersama tiga lagi anggota kumpulannya iaitu Ahmad Salihin Ismail, 24, Ismail Abdul Ghani, 21, dan Salmi Ramli, 27, menamakan kumpulan mereka sebagai 'Motex Peow Senior'.

Empat lagi rakannya mewakili kumpulan 'Motex Peow Junior' yang menduduki tempat kedua disertai oleh Mohd. Taufik Mohd. Sobri, 25, Ahmad Safwan Shafiin, 21, Mohd. Azam Zahari, 20, dan Jalaluddin Mamat, 23.

Thursday, November 17, 2011

Harga Cili Merah Naik Mendadak

Cili Merah RM20 sekilogram

Nov. 16, 2011 - Utusan Malaysia

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 15 Nov. - Sebahagian peniaga di negeri ini dikesan menaikkan harga runcit cili merah sehingga 30 ke 40 peratus sejak minggu lepas.

Ia dikesan hasil pemantauan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak (PPDNKK) yang mendapati harga cili merah ketika ini dijual RM20 sekilogram berbanding RM14 sebelum ini.

Timbalan Pengarahnya, Rosli Ahmad berkata, antara faktor yang menyebabkan kenaikan itu ialah bekalan berkurangan disebabkan kesan banjir di Thailand, selain perubahan cuaca yang turut membantutkan produktiviti hasil tanaman sayur-sayuran di Cameron Highlands, Pahang.

"Selain cili merah, kita tidak mengesan kenaikan mendadak barangan lain termasuk barang-barang runcit," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini harga sayur-sayuran yang melonjak di pasaran tempatan ketika ini.

Menurut Rosli, pihaknya akan terus memantau harga barang setiap hari bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan menaikkannya sesuka hati dengan alasan banjir yang melanda Thailand.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ahmad Ishak dalam satu sidang akhbar di sini semalam berkata, pihaknya tidak akan bergantung sepenuhnya kepada Thailand dalam mengimport sayur-sayuran khususnya cili.

Menurut beliau, antara langkah segera yang diambil termasuk mengimport cili merah dari China, Vietnam dan Indonesia selain mendapatkan bekalan tersebut dari Ladang Kontrak FAMA.

"Kita memang banyak mengimport cili iaitu sekitar 2,000 tan metrik sebulan. Namun, bagi menampung bekalan yang tidak mencukupi ini, kita akan dapatkan bekalan dari tempat lain selain Thailand," katanya.

Karnival Pantai Utusan-Mingguan Malaysia




Jabatan Pertanian taja 200 kelapa

Nov. 11, 2011 - Utusan Malaysia

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

BATU GAJAH 10 Nov. – Jabatan Pertanian Perak memeriahkan Karnival Pantai Utusan Malaysia & Mingguan Malaysia apabila menaja 200 biji kelapa sempena penganjuran karnival itu pada 19 dan 20 November ini.

Pegawai Pertanian (Pengembangan) negeri, Hirwan Datuk Ahamed Hambal berkata, penajaan yang julung-julung kali diberi itu sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kedua-dua akhbar tersebut dalam menganjurkan karnival berkenaan.

Menurutnya, kesemua kelapa tersebut akan digunakan dalam pertandingan boling dan mengupas kelapa sempena karnival itu.

"Selama ini, kita hanya menjual hasil tanaman, tetapi ini kali pertama kami menaja 200 biji kelapa yang diperoleh daripada kira-kira 300 pokok kelapa di Taman Herba di sini.

"Tajaan ini adalah sebagai menghargai akhbar Utusan Malaysia yang banyak mendidik masyarakat terutamanya dalam isu-isu pertanian melalui ruangan Agro," katanya selepas menyampaikan tajaan kepada Eksekutif Pemasaran Utusan Melayu Cawangan Perak, Ajani Basri di Taman Herba di sini, hari ini.

Karnival yang terbuka kepada orang ramai itu bertujuan mempromosi wajah baru akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia selain mendekati pembaca setia kedua-dua akhbar tersebut khususnya di sekitar utara tanah air.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dijangka merasmikan karnival tersebut di Dataran Hadari, Teluk Batik pada 19 November ini.

Monday, October 31, 2011

Generasi Penerus Kraftangan Tempatan

Mengangkat legasi kraftangan negara

October 25, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

KUALA KANGSAR 24 Okt. - Tatkala hasil kraftangan tempatan menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa ekoran nilai estetika yang tersendiri, masih ada pihak yang lebih cenderung mengagung-agungkan produk dari luar negara.

Keunikan hasil kraftangan anak tempatan yang ternyata halus buatannya wajar dikagumi apatah lagi kepelbagaiannya melangkau pelbagai sempadan negeri.

Di Perak misalnya, nama labu Sayong cukup sinonim dengan kegiatan perusahaan seni tembikar tradisional sejak zaman-berzaman.

Diperbuat daripada tanah liat yang diuli, ia kemudiannya diterap dengan pelbagai corak sebelum diasap serta dibakar bagi menghasilkan bentuk yang cukup unik.

Pada kelazimannya, labu Sayong yang berwarna hitam mudah didapati di bandar ini dan biasanya ia dijadikan sebagai bekas untuk menyimpan air minuman.

Corak permukaannya yang menggarapkan motif alam seperti bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih serta perspektif geometri harmoni membangkitkan lagi hiasan luarannya.

Di Bumi Kenyalang, 'Pasu Sarawak' terkenal dengan motif hiasannya yang berwarna-warni sementara tembikar mambong pula lebih dikenali dengan warnanya yang kemerah-merahan dan biasa digunakan sebagai perkakas dapur di Kelantan.

Bukan sahaja produk tembikar, kekayaan kraftangan tempatan juga terserlah melalui seni tekat emas yang dihasilkan dengan menggayakan sulaman benang ke atas kain baldu.

Menyingkap sejarahnya di Perak, seni bermutu tinggi ini pada asalnya dimonopoli golongan bangsawan istana berikutan ia hanya digunakan dalam adat istiadat dan upacara tertentu.

Raja Permaisuri Perak pada akhir abad ke-19 dikatakan merupakan pereka bentuk selain banyak menghasilkan reka hiasan tekat suatu masa dahulu. Namun kini, potensi mengangkat seni warisan ini kepada produk komersial yang bermutu tidak sama sekali boleh dinafikan.

Menyedari kepentingan meneruskan tradisi ini kepada generasi muda, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak buat julung kalinya menganjurkan Program Pendidikan Kraf Perdana peringkat negeri di Enggor, Kuala Kangsar baru-baru ini.

Pengarahnya, Mohd. Yusof Abd. Rani berkata, program yang antara lain bertujuan memberi kesedaran, pendedahan dan pengetahuan kepada golongan itu disertai oleh kira-kira 300 peserta.

Mereka terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri Perak termasuk mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

"Kita mahu kumpulan sasar ini mampu menghayati dan mengenali warisan melalui motif-motif seni yang melambangkan identiti tertentu khususnya di negeri Perak," katanya.

Melihat kepada senario pada masa kini, beliau berkata, hanya golongan yang berusia 45 tahun ke atas yang benar-benar memahami manifestasi seni yang ditonjolkan melalui kraftangan tempatan.

Sebaliknya, kata beliau, golongan lebih muda hanya cenderung memandang kraftangan sebagai hadiah dan cenderamata untuk kenang-kenangan.

"Industri kraftangan di Perak berpotensi untuk dibangunkan. Selain Sayong di sini yang terkenal sebagai tempat penghasilan labu Sayong, ia juga ada diusahakan di Parit.

"Selain itu, kita juga mempunyai usahawan yang membangunkan kraf berasaskan kayu dan acuan kuih masing-masing di Sitiawan dan Taiping selain anyaman di Jenalik dan batik di sekitar Ipoh," katanya.

Tambah beliau, kraftangan Perak juga boleh dijadikan ikon kepada pencetus perkembangan pelancongan negeri melalui Tahun Melawat Perak 2012.

Atasi Hamil Luar Nikah & Pembuangan Bayi

Perak latih 360 kaunselor bimbing golongan remaja

October 31, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 30 Okt. - Kerajaan negeri akan melatih 360 kaunselor bagi membantu usaha membimbing golongan remaja mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial seperti kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi.

Pengerusi Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, inisiatif baru itu akan turut melibatkan latihan serta kursus selama sehari yang akan digerakkan Jabatan Pembangunan Wanita Perak mulai bulan depan.

"Sebanyak 30 wakil melibatkan guru kaunseling, guru disiplin, kaunselor hospital dan warden asrama bagi setiap daerah akan dilatih termasuk 60 pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita terpilih.

"Oleh itu, bermula Disember ini, kita akan mempunyai 360 kaunselor terlatih bagi fasa pertama dan bilangan ini akan ditambah pada tahun depan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis taklimat pelaksanaan program Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Perak di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Hamidah turut menyampaikan cek bernilai RM552,000 kepada 168 NGO wanita Perak bagi melaksanakan tiga kempen yang bakal dilaksanakan di 24 kawasan Parlimen seluruh Perak mulai bulan depan.

Tiga program tersebut adalah Kempen Rumah Harmoni: Keluarga Tanpa Keganasan, Kempen Wanita Sihat-Keluarga Tanpa Diabetes dan Kempen Akhlak Mulia-Gadis Bermaruah.

Dalam pada itu, Hamidah berkata, kempen yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu akan melibatkan 19,200 peserta.

Tambah beliau, pelaksanaan ketiga-tiga kempen tersebut amat penting terutamanya bagi mengatasi masalah penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga serta penyakit diabetes yang semakin meningkat.

"Dalam kes penderaan kanak-kanak misalnya, negeri Perak telah mencatatkan peratusan tinggi pada tahun lalu iaitu sebanyak 331 daripada 3,257 kes (22 peratus) yang dilaporkan di seluruh negara.

"Angka ini begitu serius kerana secara puratanya, setiap negeri tidak seharusnya melebihi tujuh peratus sahaja," katanya.

Laporan Ketua Audit Negara

Tindakan tegas salah guna peruntukan

October 30, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

IPOH 29 Okt. - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan kementerian serta agensi yang terbukti menyeleweng atau melanggar prosedur belanjawan seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan telah mewujudkan satu sistem khas berkonsepkan semak dan imbang bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penyelewengan.

''Tindakan tegas harus diambil, supaya mereka yang terlibat tidak terlepas daripada hukuman dan masalah penyalahgunaan peruntukan tidak berulang.

''Ia merupakan mesej jelas kepada (anggota) perkhidmatan awam bahawa isu penyelewengan tidak boleh diambil ringan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Komputer 1Malaysia di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Jelapang Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail.

Ahmad Husni berkata, Laporan Ketua Audit negara membuktikan kerajaan mahu memastikan konsep ketelusan dilaksanakan di setiap kementerian atau agensi agar integriti dan kredibiliti perkhidmatan awam sentiasa terpelihara.

Sehubungan itu, katanya, semua agensi dan kementerian sudah diarahkan supaya memberi maklum balas terhadap perkara yang dibangkitkan dalam laporan tersebut.

Kerajaan, katanya, akan menyemak dan menilai laporan itu dan jika terbukti berlaku penyelewengan, tindakan tegas akan diambil terhadap semua pihak termasuk pegawai kerajaan.

''Melalui pendekatan ini, kita percaya kualiti serta integriti perkhidmatan awam akan dapat ditingkatkan," katanya.

Pencemaran Udara di Tanjung Malim

Tangani pencemaran di Tanjung Malim

October 11, 2011- Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 10 Okt. - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu kerajaan negeri mengambil perhatian segera berhubung masalah pencemaran udara yang serius di Tanjung Malim seperti disiarkan di muka depan akhbar Utusan Malaysia 3 Oktober lalu.

Sambil merujuk artikel akhbar tersebut yang bertajuk 'empat bandar beracun', baginda bertitah, pihak berkuasa kerajaan tempatan hendaklah diarahkan supaya memberi perhatian berat untuk menangani masalah berkenaan.

''Laporan yang disiarkan hendaklah membuka mata untuk kerajaan negeri bertindak segera melaksanakan program-program lebih terancang, serius dan bersungguh dalam usaha mewujudkan alam sekitar yang lebih sihat dan lebih selesa.

''Pihak berkuasa kerajaan tempatan hendaklah diarahkan memberi perhatian berat untuk menangani masalah pencemaran dan setiap jabatan dan agensi kerajaan memberikan segala sokongan," titah baginda.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMPk) bertitah demikian ketika merasmikan persidangan kali ke-177 majlis tersebut di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Laporan muka depan Utusan Malaysia 3 Oktober lalu menyebut penduduk di kawasan bandar di Malaysia kini berdepan ancaman pencemaran udara akibat pengeluaran asap kenderaan berlebihan yang menukarkan bandar selamat yang dihuni selama ini menjadi ' bandar beracun'.

Bandar-bandar yang dikesan mengalami fenomena tersebut adalah Shah Alam, Selangor; Putrajaya; Nilai, Negeri Sembilan dan Tanjung Malim, Perak.

Raja Dr. Nazrin bertidah, tindakan susulan secara serius yang wajib dilaksanakan bukan hanya sebagai satu pertunjukan atau ketika lawatan dan kunjungan pembesar, tetapi wajib dilaksanakan sebagai satu program yang dirancang dengan komitmen yang tinggi.

"Beta menghargai usaha bersama yang dirintis Majlis dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dalam mengatur acara menanam pokok ketika berangkat ke masjid-masjid sekitar negeri Perak sepanjang bulan Ramadan.

"Sayugia beta memperingatkan agar acara tersebut tidak dilakukan secara bermusim dan berbentuk kosmetik. Program ini juga harus digalakkan untuk dilaksanakan di semua sekolah dan institusi pengajian secara besar-besaran.

"Selain itu, kerajaan negeri juga hendaklah menghormati dan memastikan pelaksanaan yang telah ditetapkan di peringkat nasional dari segi kawalan penggunaan pendingin hawa pada paras suhu 24 darjah Celsius," titah baginda.

Friday, October 7, 2011

Tukar MyKad Baru

Perbaharui MyKad rosak secara dalam talian

22/09/2011 2:58pm Utusan Online

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.hikaru2000@gmail.com

GOPENG 22 Sept. - Orang ramai yang mempunyai kad pengenalan rosak kini boleh memperbaharuinya secara dalam talian (www.jpn.gov.my) apabila perkhidmatan itu mula beroperasi sepenuhnya awal bulan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datin Jariah Mohd Said berkata, serahan MyKad yang boleh diambil di mana-mana cawangan di seluruh negara melalui sistem itu dijangka siap selewat-lewatnya dua minggu dari tempoh permohonan kecuali sehari jika ia dibuat di Putrajaya.

"Selain kerosakan pada cip kad pengenalan, permohonan gantian melalui sistem ini juga terbuka kepada mana-mana individu yang kehilangan MyKad tidak melebihi lima kali.

"Pembayaran secara dalam talian boleh dibuat melalui kad kredit di mana RM10 dikenakan sebagai caj perkhidmatan. Setakat ini, kita menerima sambutan menggalakkan iaitu sekitar 200 ke 300 permohonan terutamanya di Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat tapak JPN Gopeng di Terminal Agribisnes Negara (Teman) Gopeng di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Mohd. Shukri Nawi dan Pengurus Operasi Teman, Mohamed Nasir Muda.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada orang ramai yang masih belum mengambil serahan MyKad supaya tampil berbuat demikian kerana ia akan dilupuskan setelah 18 bulan ia dikeluarkan.

Menurut beliau, setakat ini, terdapat baki kira-kira 4,000 MyKad yang telah siap tetapi masih belum diambil oleh orang ramai di seluruh negara.

"Sekiranya seseorang itu membuat MyKad di Ipoh dan telah berpindah ke Johor Bahru, sila maklumkan kepada JPN supaya serahan MyKad boleh dibuat di cawangan sana," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jariah berkata, JPN juga telah mula melaksanakan pendaftaran perkahwinan untuk bukan Islam pada hujung minggu bagi kemudahan di luar waktu pejabat.

"Melalui langkah itu, orang ramai boleh mengatur pertemuan dengan pegawai JPN sama ada di hotel atau restoran pada hujung minggu dengan bayaran sebanyak RM500," katanya. - Utusan

Hutan Simpan di Perak Diceroboh?

Tuntutan NGO perlu objektif

Utusan Malaysia - September 20, 2011

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.hikaru2000@gmail.com

IPOH 19 Sept. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan alam sekitar diminta bersifat lebih objektif dalam menuntut pewartaan kawasan hutan simpan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (gambar) berkata, pihaknya tidak berupaya untuk memenuhi permintaan tersebut bagi seluruh kawasan Temenggor kerana ia melibatkan industri perkayuan besar yang mendatangkan pendapatan kepada kerajaan negeri.

"Kita telah menggazetkan kawasan Royal Belum sebagai hutan simpan seluas lima kali saiz negara Singapura sebelum ini.

"Mereka seharusnya faham bahawa kerajaan negeri komited dalam melindungi kawasan tersebut kerana Perak merupakan antara negeri yang mengamalkan sistem pengurusan hutan secara mapan.

"Kita bukan hendak bertelagah dengan NGO, malah sebenarnya kita berterima kasih dengan maklumat yang diberikan. Cuma apabila banyak pihak ingin menggazetkan kawasan itu sebagai hutan simpan, ekonomi kerajaan negeri pada akhirnya tidak mampu berkembang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Paul W. Jones dan Duta Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris yang melaporkan kira-kira 74 hektar kawasan hutan Belum-Temenggor itu telah diteroka dan ia dipercayai bagi tujuan tanaman kelapa sawit.

Dalam pada itu, Zambry berkata, beliau telah mengarahkan kerja-kerja pembersihan hutan tersebut diberhentikan bagi melakukan siasatan terperinci untuk memastikan kesahihan laporan berita tersebut.

"Saya ingin melihat sama ada ia dilakukan di kawasan yang dilarang atau tidak, selain menilai dari aspek topografinya," jelas beliau.

Dividen Pekebun RM4,000




Dividen RM4,000 seorang

Utusan Malaysia - August 28, 2011

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

IPOH 27 Ogos - Seramai 7,283 peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) di negeri ini masing-masing menerima purata dividen RM4,000 hasil pengagihan keuntungan terkumpul bernilai RM28.92 juta untuk tahun lalu.

Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Ahmad Sufi Alias berkata, purata keuntungan bagi 0.4 hektar tanah juga telah meningkat kepada RM1,300, berbanding RM800 tahun lalu.

"Secara purata, setiap peserta mengusahakan 1.2 hektar melibatkan keluasan keseluruhan 14,985 hektar.

"Peningkatan ini adalah disebabkan kenaikan harga komoditi tanaman getah dan kelapa sawit dan pengurusan tanah ini diuruskan oleh dua anak syarikat RISDA iaitu Espek Sdn. Bhd. dan RISDA Plantation Sdn. Bhd.," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian dividen RTBB dan TSK peringkat negeri Perak di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Perladangan dan Kebajikan negeri, Datuk Saarani Mohamad.

Hadir sama, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad.

Pada majlis tersebut, Saarani turut menyampaikan sumbangan bernilai RM3,000 kepada anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Ar-Ridwani, Manjoi.

Sementara itu, seorang peserta TSK, Jasmani Mat Jalak, 50, dari Kampung Orang Asli Temboh Hangat, Bota Kanan yang telah menyertai program tersebut sejak 10 tahun lalu terkejut apabila memeriksa akaun banknya baru-baru ini.

Saya tidak menyangka ada dividen dan ia merupakan yang tertinggi pernah saya dapat selama ini.

Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan RISDA kerana melibatkan penyertaan 121 Orang Asli dalam program ini di kampung saya. Kini, tahap ekonomi kami sudah berubah," katanya.

Saturday, August 27, 2011

Ops Sikap: Kemalangan Jalan Raya Meningkat

Nahas di Perak meningkat

August 27, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 26 Ogos - Peningkatan mendadak angka kemalangan di negeri ini mengundang kebimbangan kepada Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan.

Beliau berkata, meskipun Ops Sikap Ke-24 baru berlangsung tiga hari, jumlah kemalangan meningkat sebanyak 84 kes menjadikan jumlah keseluruhan 361 kes.

Katanya, jumlah kemalangan maut juga meningkat daripada dua kepada enam untuk tahun ini dan yang terbaru adalah melibatkan motosikal di Teluk Intan dan Gerik.

"Bilangan saman yang dikeluarkan pula bertambah daripada 1,026 kepada 3,121 sedangkan sasaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun ini adalah mengurangkan kadar kemalangan sebanyak lima peratus berbanding Ops Sikap lalu.

"Sehubungan itu, saya berharap pengguna jalan raya lebih berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri dan pengguna lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya, Ops Sikap Ke-24 dan Kempen Rumah Selamat musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2011 di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Perak di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Dr. Ir. Safry Kamal Ahmad serta Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Laila Mazwin Zakaria.

Pada majlis tersebut, Ramly turut menyampaikan sumbangan beg cenderamata beserta bendera kepada pengguna lebuh raya yang turut disumbangkan oleh Pergerakan Puteri UMNO Perak.

Terdahulu, pada sidang akhbar, Ramly menggesa agar jabatan-jabatan berkaitan memastikan bahawa papan tanda-papan tanda di jalan tidak dilindungi oleh objek lain seperti pokok.

Selain itu, beliau berkata, papan tanda-papan tanda itu juga harus diletakkan di sebelum simpang jalan supaya ia tidak menyebabkan pemandu teragak-agak untuk memilih lorong yang betul.

Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011

Seruan kebajikan dan patriotisme

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

August 17, 2011 - Utusan Malaysia

USAHA menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang tidak seharusnya dicetuskan melalui fenomena, tetapi yang lebih penting, ia dibangkitkan melalui penghayatan patriotisme di kalangan segenap lapisan masyarakat.

Bendera keramat negara yang telah diisytiharkan namanya pada malam 31 Ogos 1997 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu, begitu besar maknanya.

Apatah lagi bendera yang dikibarkan secara rasminya di seluruh negara itu menyaksikan 'kelahiran' Malaysia pada 16 September 1963.

Empat belas jalinan jalur merah dan putih berselang-seli pada Jalur Gemilang melambangkan keanggotaan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan yang membentuk negara Malaysia.

Bulan berwarna kuning yang sinonim dikaitkan dengan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan pula memberi maksud ia dipayungi oleh kedudukan Raja-Raja Melayu.

Selain itu, gabungan warna biru, merah dan putih dalam penghasilan keseluruhan bendera negara menerapkan asas perpaduan, keberanian serta kesucian moral rakyat Malaysia.

Tidak cukup dengan perspektif bentuk serta warna yang menyingkap maksud tersendiri, perkataan Jalur Gemilang itu sendiri membawa konotasi perincian yang wajar diteliti dan difahami.

Frasa 'Jalur' misalnya yang dinilai dari sudut linguistik membawa maksud satu laluan, hala tuju mahupun arah sama.

Ia membawa maksud yang dianuti oleh rakyat rakyat di negara ini dari Perlis sehingga ke Sabah menuju ke arah kegemilangan bangsa dan negara.

Frasa 'Gemilang' pula mencerminkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam segenap bidang di arena tempatan mahupun persada antarabangsa.

Menyedari kepentingan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai satu medium untuk menyemai rasa cinta dan kesetiaan kepada negara, Jabatan Penerangan Malaysia meneruskan tradisi konvoi merdeka Jalur Gemilang yang telah diadakan hampir setiap tahun.

Cuma menariknya pada tahun ini, sambutan bulan kemerdekaan yang secara tidak langsung berjalan serentak dengan Ramadan sekali gus membawa kelainan tersendiri melalui pengisian amalan berbentuk kebajikan.

Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011 yang dijalankan serentak di seluruh negara itu turut disesuaikan dengan program menziarahi rumah anak-anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Selain itu, konvoi yang terdiri daripada pelbagai jenis kenderaan itu juga akan singgah di beberapa kawasan terutamanya masjid bagi tujuan program berbuka puasa selain memberi bantuan kepada golongan miskin.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Ibrahim Abdul Rahman yang berkesempatan menyempurnakan perasmian konvoi berkenaan di Masjid Jamek Rodhiatul Mardhiah, Parit, Perak baru-baru ini berkata, program tersebut akan diteruskan meskipun selepas Hari Raya Aidilfitri.

Bakal dikenali dengan nama Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri, konvoi berkenaan akan mengadakan rumah-rumah terbuka di beberapa tempat terpilih.

Anak kelahiran Parit itu berkata, keunikan program kembara merdeka yang sudah masuk tahun ketujuh pada kali ini ialah ia turut mendapat sokongan sebuah kumpulan laman sosial di facebook.

Menurut beliau, kumpulan yang dikenali dengan nama 'Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata' itu mempunyai keahlian mencecah 10,000 orang.

"Kumpulan ini akan memberikan pakaian baru untuk kita dermakan kepada rumah-rumah anak yatim yang kurang diberi perhatian termasuklah rumah orang-orang tua bukan Islam," katanya.

Program pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011 Daerah Perak Tengah itu turut dihadiri Ahli Parlimen Parit, Mohd. Nizar Zakaria.

Majlis juga diteruskan dengan jamuan berbuka puasa sebelum 11 kenderaan dan sebuah bas daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang membawa peserta konvoi meninggalkan majlis selepas solat maghrib dan tarawih secara berjemaah.

"Kita mengharapkan apabila sampai 16 September nanti, lima juta premis di seluruh negara akan mengibarkan bendera sebagai tanda sokongan rakyat Malaysia kepada negara," katanya.

Sunday, August 14, 2011

Suspek Kes Bunuh Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Direman

Empat suspek direman

August 6, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 5 Ogos - Polis percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim yang dipercayai bermotifkan samun ekoran penahanan empat suspek iaitu seorang posmen, dua penganggur dan tentera yang melarikan diri daripada tugas.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, suspek berusia antara 20 hingga 26 tahun diberkas dalam tiga tangkapan berasingan kurang 24 jam selepas mayat mangsa ditemui.

Menurut beliau, polis merampas barang kemas dan telefon bimbit dipercayai milik mangsa selepas tertangkapnya dua suspek pertama tidak jauh dari tempat kejadian di Pangsapuri Permai Lake View, Tambun pada pukul 4 pagi semalam.

"Dua lagi suspek masing-masing ditahan di Tanjung Malim dan Slim River. Salah seorang daripadanya mempunyai rekod dikehendaki polis bersabit kes rogol di Slim River pada tahun ini.

"Seorang lagi dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk rumah mangsa pada 14 Julai lalu. Laporan bedah siasat belum diterima dan setakat ini belum dapat dipastikan punca kematian mangsa serta sama ada berlaku serangan seksual," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, mayat Rohani ditemui seorang pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan selepas terserempak dengan seorang lelaki Melayu sedang memikul satu bungkusan menuruni tangga dari tingkat satu kira-kira pukul 3.30 pagi.

Hasil pemeriksaan pengawal keselamatan itu mendapati bungkusan yang dicampakkan oleh suspek selepas terkejut melihatnya itu adalah sehelai gebar yang membalut mayat seorang wanita dengan kedua-dua tangan dan kakinya diikat.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, beberapa sampel forensik dan ujian air kencing telah diambil ke atas suspek namun keputusannya masih belum diperoleh.

Selain itu, katanya, keempat-empat suspek yang merupakan teman serumah dan tinggal berdekatan pangsapuri mangsa direman antara empat hingga tujuh hari bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kes Bunuh & Samun Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak

Kes bunuh Timbalan Pengarah Veterinar selesai
05/08/2011 3:32pm

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH 5 Ogos – Polis percaya telah dapat menyelesaikan kes pembunuhan Timbalan Pengarah Veterinar Negeri, Dr. Rohani Kasim semalam selepas menahan empat suspek.

Mereka yang ditahan berusia 20 hingga 26 tahun itu merupakan seorang anggota tentera yang lari daripada tugas, posmen serta dua penganggur.

Kesemuanya ditahan dalam tiga lokasi berasingan di Tambun, Tanjung Malim dan Slim River, kurang dari tempoh 24 jam. – Utusan

Kes Bunuh Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak

Mangsa samun dan bunuh dikebumi petang ini

04/08/2011 2:13pm

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH 4 Ogos - Jenazah Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Rohani Kassim yang ditemui mati di pangsapurinya awal pagi ini dipercayai dibunuh, akan dikebumikan di Kampung Parit Haji Ali, Bagan Serai, petang ini.

Perkara itu disahkan oleh kakak mangsa, Ruziana Kassim, 41, yang ditemui di luar Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Ruziana juga memberitahu, adiknya itu pernah kerugian RM15,000 apabila rumahnya dipecah masuk dua minggu lalu.

Sementara itu, laporan awal menyebut, mangsa anak ketujuh daripada 10 beradik masih bujang dan tinggal berseorangan di pangsapurinya itu mati dipercayai dicekik selepas disamun.

Satu sidang akhbar akan diadakan polis petang ini.

Dalam pada itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam kenyataan akhbar memberitahu kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM8,000 kepada keluarga Allahyarham Rohani.'

"Sebanyak RM5,000 dihulurkan adalah bantuan atas dasar tragedi manakala RM3,000 bagi bantuan pengurusan jenazah pegawai awam,'' katanya.

Terdahulu, Zambry melawat keluarga mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun. - Utusan

Friday, August 5, 2011

Lagu Rakyat

Mengembali populariti lagu rakyat

August 4, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 3 Ogos - Dendangan bait-bait lagu rakyat yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan begitu mudah untuk diikuti meskipun baru pertama kali didengari.

Apatah lagi lagu-lagu seperti Tepuk Amai-Amai, Jong-Jong Inai, Rasa Sayang serta Lagu Tiga Kupang yang disulami rentak gubahan puisi itu sangat popular dan digemari masyarakat tradisional untuk menghibur hati.

Lagu rakyat yang lazimnya diperturunkan secara lisan dari generasi terdahulu ini secara tidak langsung mempunyai nilai didikan tersirat yang turut diselitkan dalam pelbagai variasi.

Diiringi dengan alatan muzik seperti rebana, serunai mahupun gamelan, lirik lagunya yang menjalinkan kombinasi perkataan gandaan, imbuhan mahupun akronim membentuk sebuah irama yang cukup indah.

Bukan sahaja untuk menzahirkan emosi, intipati lagu-lagu rakyat antara lain turut diadunkan dengan nilai-nilai keagamaan, jenaka, nasihat, kasih-berkasihan termasuk longat negeri.

Ia sekali gus mencerminkan budaya masyarakat setempat yang ditonjolkan melalui penceritaan secara kiasan meskipun tidak menggambarkannya dengan penuh deskriptif.

Hakikatnya, lagu rakyat melambangkan kekayaan pemikiran dan seni budaya bangsa. Di Perlis misalnya, antara lagu-lagu rakyat yang dikenali termasuklah Hadrah, Canggung, Berendoi dan Beduan.

Menyedari kepentingan menjulang kembali lagu-lagu rakyat terutamanya dalam kalangan generasi muda, Jabatan Pengajian Politeknik menganjurkan Festival Kebudayaan dan Warisan Politeknik Malaysia (FKWPM) baru-baru ini.

Diadakan buat julung kalinya pada tahun ini, ia disertai oleh 27 buah politeknik di seluruh negara dalam festival yang berlangsung selama tiga hari.

Setiausaha Kerja festival tersebut, Hafidzah Ahmad Abas berkata, pemilihan pertandingan lagu rakyat sebagai salah satu fokus utama FKWPM adalah bagi memperkenalkannya kepada generasi muda.

Menurut Hafidzah, lagu rakyat yang mempunyai mesej dan nilai-nilai murni dalam konteks kemasyarakatan wajar diteruskan demi kelangsungan budaya selain mampu memupuk kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.

"Pertandingan lagu rakyat yang disertai oleh 12 politeknik ini berupaya memupuk permuafakatan dalam kalangan pelajar tanpa mengira kaum dan agama.

"Selain itu, ia juga secara tidak langsung mampu meningkatkan semangat patriotisme dengan hanya mengikuti irama dan rentak yang cukup menghiburkan," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Festival tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Temenggor, Datuk Hasbullah Osman dan turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Md. Nor Yusof.

Dalam pada itu, Hafizdah yang juga merupakan Pegawai Kebudayaan di Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh berkata, antara kriteria utama pertandingan yang dinilai termasuklah penghayatan persembahan bersama interaksi bersama penonton.

Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang yang berjaya menonjolkan pembawaan mesej melalui persembahan kreativiti dengan gaya tersendiri muncul sebagai juara pertandingan lagu rakyat tersebut.

Tempat kedua dan ketiga pertandingan masing-masing dimenangi dua politeknik dari Perak iaitu PUO dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang.

"Menariknya tentang pertandingan lagu rakyat ini ialah ia disertai oleh sekumpulan enam pelajar daripada setiap politeknik melibatkan lelaki dan perempuan daripada pelbagai kaum termasuk masyarakat orang asli," katanya.

Pada festival tersebut, Hafidzah berkata, selain lagu rakyat, pertandingan sukan rakyat turut dianjurkan bagi memupuk silaturrahim dan semangat kerjasama antara pelajar pelbagai kaum.

Menurutnya, antara permainan yang dipertandingkan termasuklah batu seremban, sepak raga bulat, congkak, galah panjang serta seni pembuatan wau.

"Semua permainan yang dipilih merupakan permainan tradisional yang semakin dilupakan lebih-lebih lagi apabila permainan dunia siber mula mendapat tempat di hati generasi muda.

"Bagi memeriahkan festival, aktiviti lain yang turut dianjurkan termasuklah acara memasak bubur lambuk, bazar jualan kraftangan, pameran warisan pengantin Melayu dan India, pertandingan melukis, karaoke lagu warisan termasuk persembahan kebudayaan." katanya.

Atasi Kemiskinan Melalui Perniagaan

RM4j bantu golongan miskin

July 30, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 29 Julai – Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) membelanjakan RM4.042 juta bagi membantu 479 golongan miskin menceburi perniagaan di bawah Skim Pinjaman Mikro Kredit sejak dilancarkan pada Mac tahun lalu.

Ketua Khidmat Mikrokreditnya, Ghaffarud-din Usulud-din berkata, skim tersebut yang bertujuan menjana pendapatan golongan kurang berkemampuan itu sekali gus diharapkan mampu mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Kita memberikan pinjaman dalam lingkungan RM2,000 ke RM20,000 untuk mereka yang mempunyai isi pendapatan rumah kurang daripada RM1,500 terlibat dalam bidang perkhidmatan, pembuatan, pertanian dan peruncitan.

“Untuk tujuh bulan pertama tahun ini, kita menerima bayaran balik pinjaman cukup memberangsangkan kerana melebihi daripada yang kita sepatutnya kutip,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Penganugerahan Skim Pinjaman Mikro Kredit YBUDR kepada 25 penerima di sini, semalam.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Khidmat Korporat YBUDR, Hairul Anwar Mohamed Nor.

Pada majlis tersebut, satu taklimat perniagaan ringkas turut diberikan kepada bakal-bakal penerima skim pinjaman mikro kredit tersebut.

Dalam pada itu, Ghaffarud-din berkata, pihaknya akan menilai setiap permohonan terlebih dahulu bagi memastikan hanya yang benar-benar layak menerimanya sahaja.

Selain itu, katanya, YBUDR juga akan melakukan pemantauan perniagaan ke atas semua peminjamnya sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Sementara itu, seorang suri rumah, Laila Hussin, 44, yang bakal menerima pinjaman tersebut berkata, dia berhasrat untuk menjalankan perniagaan menjual makanan seperti nasi lemak dan kuih di rumahnya di Pasir Puteh.

“Saya baru berhenti kerja sebagai pekerja am di sebuah pasar raya setelah berkhidmat selama 25 tahun.

“Melalui skim pinjaman mikro kredit, saya harap dapat memulakan perniagaan seterusnya mengembangkannya melalui jualan secara bergerak menggunakan van,” katanya.

Tuesday, July 26, 2011

Jawi Baca Dengan Nombor

Teknik baca jawi dengan nombor

Utusan Malaysia - July 25, 2011

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

TAIPING 24 Julai - Zon Kamunting bakal merintis projek pengajaran dan pembelajaran Jawi Baca Dengan Nombor (BDN) apabila hampir 100 guru Pendidikan Islam daripada 14 buah sekolah berkumpul untuk mengikuti kursus tersebut di sini.

Penyelaras Kursus Jawi BDN Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Larut, Matang dan Selama, Abd. Aziz Abd. Rashid berkata, inisiatif julung kali yang diambil Panitia Pendidikan Islam daerah itu adalah bagi mempertingkatkan penguasaan jawi di kalangan pelajar.

"Kita bermula dengan Zon Kamunting dengan guru-guru mengikuti bengkel kendalian pengasas Jawi BDN, Wan Mohd. Azhae Wan Mohamod yang juga merupakan guru Sekolah Kebangsaan Kampung Jambu.

"Selepas itu, kita akan memperluaskan program ini kepada lima zon lagi di daerah ini melibatkan Taiping, Simpang, Trong, Batu Kurau dan Selama," katanya kepada Utusan Malaysia selepas Program Perkongsian Amalan Terbaik Sekolah: Jawi BDN di Sekolah Kebangsaan Klian Pauh di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, seorang guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Taman Jana, Nor Azimah Hasmawi yang mengikuti program tersebut berkata, teknik Jawi BDN dapat dijadikan alternatif kepada kaedah pengajaran sedia ada yang berasaskan sifir jawi melalui penggunaan suku kata.

Nor Azimah yang juga merupakan antara tiga guru jurulatih utama Pendidikan Islam di daerah ini mengakui teknik tersebut merupakan pendedahan pertama baginya meskipun telah berkhidmat selama 23 tahun.

"Pada kebiasaannya, kita mengajar murid dengan menggunakan enam suku kata contohnya ba, bi, be, bu, bo dan be (beca), tetapi melalui Jawi BDN, pelajar perlu meneka sebutan sesuatu perkataan berdasarkan nombor," katanya.

Sementara itu, seorang lagi guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Taman Palma, Hazimah Ismail berkata, Jawi BDN yang disertai dengan perisian komputer boleh dijadikan Bahan Bantu Mengajar (BBM) di sekolah apabila ia akan dijual tidak lama lagi.

Menurutnya, ia berupaya menjadi asas latih tubi khususnya kepada pelajar-pelajar yang lemah dalam penguasaan jawi.

Bagi guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan All Saints, Mohd. Shahrul Kamil pula, kaedah Jawi BDN dapat menarik minat pelajar untuk mempelajari tulisan jawi secara berkesan.

Namun katanya, sokongan bersepadu daripada pihak sekolah dan ibu bapa amat penting dalam menghasilkan generasi muda yang celik jawi.

Berniaga Tanpa Lesen

Perak Kecualikan Lesen Bazar Ramadan

Utusan Malaysia Online 20/07/2011 5:29pm

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH 20 Julai - Kerajaan negeri memutuskan peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri Perak akan dikecualikan daripada memohon lesen perniagaan sepanjang bulan puasa tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pengecualian itu bagaimanapun akan menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan lebih RM800,000 seperti yang dikutip 15 pihak berkuasan tempatan di negeri ini pada tahun lalu.

"Ini merupakan satu berita gembira buat umat Islam khususnya untuk peniaga-peniaga bazar Ramadan di negeri ini.

"Kelulusan ini dibuat bagi memudahkan mereka berniaga di sepanjang bulan puasa," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini. - Utusan

Wednesday, July 13, 2011

UniKL RCMP Medical Centre

July 6, 2011 - Utusan Malaysia

UniKL lancar pusat perubatan

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 5 Julai - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) melakar sejarah terbaharu apabila melancarkan pusat perubatan pertama di Jalan Labrooy di sini, baru-baru ini.

Dikenali sebagai Pusat Perubatan UniKL-RCMP (URMC), ia bukan sahaja memberi manfaat kepada para pelajar kolej berkenaan, tetapi masyarakat setempat turut mendapatkan rawatan perubatan berkualiti dengan harga berpatutan.

Pusat perubatan yang dibuka di tiga blok bangunan rumah kedai itu menawarkan perkhidmatan pakar seperti pediatrik, pembedahan am, pakar sakit puan, kemalangan dan kecemasan, radiologi dan x-ray.

Majlis perasmian URMC itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Ibrahim Ahmad.

Hadir sama, Pengerusi UniKL, Datuk Dr. Adham Baba dan Presiden UniKL, Prof. Datuk Dr. Abdul Hakim Juri.

Ibrahim berkata, Mara menerusi UniKL, meneroka bidang perubatan kerana mahu mempraktikkan segala ilmu pengetahuan yang dimiliki bagi manfaat yang lebih meluas kepada orang ramai dan generasi akan datang.

"Kita mempunyai pakar farmasi dan doktor. Buat masa ini, ia dibuka di Ipoh terlebih dahulu dan kita akan melihat perkembangannya sebelum cadangan untuk memperluaskannya ke tempat lain dipertimbangkan.

"Penubuhan hospital ini juga mampu menjana pendapatan melalui perkhidmatan farmasi dan perujian teknologi makmal, sekali gus membuka peluang kepada pengwujudan lebih banyak golongan usahawan dalam bidang perubatan," katanya.

Ibrahim menambah, penubuhan hospital tersebut antara lain selari dengan hasrat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang mahu perkhidmatan perubatan dikenakan pada harga berpatutan kepada orang ramai.

Menurut beliau, khidmat doktor pakar URMC diperoleh daripada tenaga pengajar Kolej Perubatan Diraja Perak, UniKL (UniKL-RCMP) yang sangat berpengalaman serta pernah berkhidmat dengan beberapa klinik dan hospital sebelum ini.

Tambah beliau, URMC yang beroperasi pada setiap hari kini memiliki seramai 27 tenaga kerja yang berkhidmat mengikut syif.

Bersih 2.0

July 3, 2011 - Utusan Malaysia

Perhimpunan Bersih kotor

Oleh HAMDEN RAMLI dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

TAIPING 2 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat tidak menunjukkan simpati terhadap penganjuran perhimpunan haram Bersih 9 Julai ini kerana ia boleh menghancurkan negara.

Sebaliknya, beliau menegaskan, rakyat perlu mengutuk sekeras-kerasnya gerakan tidak bertanggungjawab itu.

"Ini bukan perhimpunan bersih tetapi perhimpunan kotor. Mereka mahu menggantikan demokrasi berparlimen dengan demokrasi jalanan," katanya ketika berucap pada Majlis Turun Padang Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Kaya di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 masing-masing kepada sebuah surau dan tokong di Taman Kaya serta RM500,000 untuk penambahbaikan Pasar Awam Taman Kaya.

Beliau turut menyampaikan geran tanah untuk Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Salak Baru, Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Aulong Baru Tambahan, RPT Simpang Halt dan RPT Teratai Tambahan.

Terdahulu, Muhyiddin yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Perak melakukan tinjauan mesra ke Kampung Baru Pokok Assam dan mengadakan perjumpaan bersama Persatuan Peniaga Pasar Awam Taman Kaya.

Sementara itu, pada sidang akhbarnya, Muhyiddin berkata, perhimpunan haram Bersih tersebut tidak mendatangkan faedah tetapi bakal menjejaskan ekonomi dan aliran pelaburan negara serta menggugat keharmonian hidup rakyat di negara ini.

Selain itu tegas beliau, kekacauan yang dijangka timbul daripada perhimpunan tersebut mungkin akan dijadikan alasan oleh kuasa besar asing untuk campur tangan dalam soal dalam negara.

"Pengalaman negara lain harus menjadi iktibar kepada kita. Lihatlah di Asia Barat bagaimana kuasa asing campur tangan kononnya untuk membantu menyelesaikan keadaan huru hara di negara berkenaan," ujarnya.

Mengulas mengenai perhimpunan yang diadakan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) semalam, Muhyiddin berkata, ia berlaku kerana ada pihak menyokong dan menentang cadangan perhimpunan haram itu.

"Sebab itu kita mahu elak perhimpunan Bersih daripada diadakan dan ini juga rasional mengapa pihak berkuasa perlu bertindak tegas," katanya.

Friday, July 1, 2011

Asrama Rumah Anak Yatim Darussalam Tambun

Ruhayah, suami bantu anak yatim

June 30, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 29 Jun – Niat di hatinya untuk melihat anak yatim mampu hidup berdikari dan berjaya pada suatu hari nanti begitu tersemat utuh dalam jiwanya.

Meskipun niat itu memaksa dirinya terpaksa menjadi guru, tukang masak serta penjaga kepada anak- anak yatim, Ruhayah Abdullah, 51, tidak pernah sesekali mengeluh.

Bagi Ruhayah, selagi kudrat tulang empat kerat di tubuh masih tegap berfungsi, selagi itulah bakti ingin ditaburkan oleh beliau dan suaminya, Md. Suaid Din, 56, kepada anak-anak yatim.

Semuanya bermula lima tahun lalu apabila doktor mengesahkan bahawa dia telah sembuh daripada penyakit strok yang dialaminya selama empat bulan sebelum itu.

Sejak itu, Ruhayah ingin melunaskan rasa kesyukuran terhadap Ilahi dengan mengasaskan Asrama Anak-Anak Yatim Darus Salam Tambun.

Didirikan di atas sebuah tanah wakaf yang juga merupakan bekas sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) di sini, Ruhayah berkata, pada mulanya, dia dan suami mula mengambil 10 kanak-kanak dari sebuah asrama anak yatim di Sungai Siput, Perak.

Selepas itu, jumlah tersebut meningkat kepada 20 orang pada 2008. Namun ia tidak terhenti setakat itu sahaja kerana Ruhayah yang lebih mesra dengan panggilan ‘Ummi’, turut mengambil anak- anak yatim di tempat lain.

“Ummi mencari anak-anak yatim yang tidak pernah bersekolah atau lemah di dalam pelajaran kerana Ummi hendak berikan mereka ilmu yang sepatutnya mereka ada dalam hidup ini.

“Selain itu, Ummi mencari anak-anak yatim yang terabai daripada pandangan keluarga kandung sendiri kerana ingin melihat mereka gembira mendapat kasih sayang secukupnya,” katanya.

Menurut Ruhayah, dia mengehadkan pengambilan anak yatim supaya tidak melebihi 40 orang memandangkan asrama tersebut hanya mempunyai tiga buah kelas.

Dia berkata, segala penat-lelahnya mendidik anak yatim sebelum ini berbaloi apabila dua daripadanya berjaya memperoleh 2A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) meskipun tidak pernah bersekolah sebelum ini.

“Masa Ummi ambil mereka dahulu, mereka langsung tidak tahu membaca dan menulis. Namun, Alhamdulillah, seorang daripada mereka berjaya masuk sekolah menengah agama berasrama di Kuala Kangsar.

“Di sini, Ummi mengajar mereka semua mata pelajaran. Mereka mengambil peperiksaan UPSR dengan menumpang di Sekolah Kebangsaan Ulu Kinta dekat sini,” katanya.

Sekiranya ada kelapangan, Ruhayah akan dibantu tiga anaknya yang juga merupakan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Menurut Ruhayah, dia pernah mengambil seorang pembantu bagi menolongnya melaksanakan kerja-kerja seharian, namun bertindak memberhentikan pekerja warga Indonesia berkenaan kerana mengasari anak yatim di situ.

“Ummi bukannya terlalu menatang penuh mereka (anak yatim), tetapi Ummi didik mereka dengan penuh disiplin. Kalau sampai tahap memukul, itu bukan cara Ummi.

“Selain itu, di asrama ini, kita tidak pernah menggunakan anak yatim untuk meminta apa-apa derma daripada orang ramai. Semua perbelanjaan di sini ditampung sendiri selain bantuan yang diberikan daripada mana-mana pihak yang prihatin,” katanya.

Sementara itu, Ruhayah berkata, selain akademik, dia turut menitikberatkan aspek pendidikan rohani di kalangan anak yatim dengan mendidik mereka untuk menunaikan sembahyang lima kali sehari.

Tambahnya, kelas tahfiz dan al-Quran juga diadakan mengikut peringkat umur selepas subuh dan waktu petang.

“Kita juga melantik ketua di kalangan anak remaja supaya mereka menjaga adik-adik yang masih kecil,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pihak pengurusan Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) pula berbesar hati menyumbang sebuah perpustakaan bernilai RM50,000 termasuk akses Internet selama lima tahun kepada asrama tersebut.

Pengurus Besarnya, Calvin Ho berkata, sumbangan tersebut turut meliputi buku-buku akademik, basikal, permaidani, kemeja T, tuala dan kasut.

“Pada awalnya, kami bermula dengan jualan lemang dan kuih raya untuk mengumpul dana bagi sumbangan ini, namun, ia tidak menguntungkan. Selepas itu, kami mengambil masa selama dua tahun untuk merealisasikan hasrat ini melalui penjualan beg kitar semula.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak diharap dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik melalui pendidikan,” katanya.

Asrama Anak-Anak Yatim Darus Salam Tambun kini menempatkan seramai 29 penghuni itu terdiri daripada kanak-kanak dan remaja dalam lingkungan umur antara enam hingga 15 tahun.

Orang ramai mahupun mana-mana organisasi yang berminat untuk membantu asrama ini boleh menghubungi Ruhayah di talian 019-4036907 dan suaminya, Md. Suaid (017-5661339) atau memasukkan wang tunai di dalam akaun Bank Islam, 08013010068816.

Pulangkan Asrama Itu

Bantah tindakan PPD Kinta Utara

June 29, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my


IPOH 28 Jun - Persatuan Murid-Murid Tua Lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson (Asoba) hari ini menuntut Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Utara memulangkan semula satu blok asrama sekolah tersebut yang dipinjam lebih 15 tahun lalu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, ia berikutan PPD Kinta Utara telah mengarahkan supaya blok berkenaan dikosongkan mulai Ogos tahun ini melalui satu surat yang diterima pada minggu lalu.

"Satu mesyuarat tergempar telah diadakan semalam dengan sokongan Persatuan Murid-Murid Tua SMK Anderson (OAC) dan kami telah mencapai kata sepakat bahawa PPD Kinta Utara perlu membatalkan keputusan mengambil alih blok berkenaan.

"Jabatan Pelajaran Negeri juga perlu berpegang pada janji yang dibuat dalam satu mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pada 1993 bahawa mereka hanya menumpang di bangunan tersebut secara sementara sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Antara bekas-bekas pelajar SMK Anderson yang menyertai Asoba ialah Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid.

Terdahulu, OAC yang diketuai Presidennya, Datuk Dr. Anwar Hassan menyerahkan memorandum bantahan pengambilalihan asrama tersebut kepada Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd. Idris Ramli di Jabatan Pelajaran Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendirian tersebut dibuat antara lain berikutan kesemua blok asrama tersebut amat diperlukan untuk menampung pelajar program sukan dan Rancangan Khas yang menuntut di sekolah tersebut.

Menurut beliau, bilangan pelajar di bawah program berkenaan kian meningkat iaitu melibatkan 194 orang pada tahun ini berbanding 176 orang pada tahun lalu.

"Seramai 87 pelajar Rancangan Khas kini menduduki blok asrama yang akan diambil alih. Mereka tidak boleh dipindahkan ke blok lain kerana kekurangan tempat khususnya dalam menampung keperluan bilik belajar," katanya.

Sementara itu, beliau turut berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa bagi menyelesaikan masalah tersebut dalam masa terdekat.

Thursday, June 23, 2011

Tanam Duit Sejuta

RM1j ditanam belakang rumah

Utusan Malaysia - Jun 23, 2011

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

IPOH 22 Jun – Polis menemui sebuah beg berisi wang tunai lebih RM1 juta ditanam di belakang rumah seorang lelaki berusia 21 tahun dalam satu serbuan di Kuala Muda, Kedah pada 14 Jun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, wang tersebut dipercayai sebahagian wang kes penipuan di Teluk Intan membabitkan kerugian hampir RM7 juta.

Menurutnya, lelaki yang ditahan itu merupakan anak kepada pasangan suami isteri, Song Siew Weng, 49, dan Chong Heoy Choo, 40, yang disyaki dalang kes penipuan terbabit.

Siew Weng dan Heoy Choo bagaimanapun masih gagal dikesan sejak menghilangkan diri April lalu sebaik kes penipuan tersebut terbongkar.

“Kegiatan penipuan itu terbongkar setelah polis menerima tujuh laporan polis daripada kesemua mangsa.

“Mereka dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dengan menawarkan pelbagai tender kerajaan seperti membekalkan buah-buahan dan barangan runcit kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kontrak dengan Jabatan Pengairan dan Saliran termasuk mendapatkan tanah rizab kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Shukri berkata, polis masih berusaha mengesan pasangan tersebut.

Alamat terakhir Siew Weng adalah di Nombor 58, Persiaran Pengkalan Timur 11, Taman Desa Pakatan, Ipoh manakala Heoy Choo pula beralamat di Nombor 39, Lorong Tupai Mas, Taiping.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mengetahui mereka diminta menghubungi IPK Perak di talian 05-2451222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di 05-6299222 bagi membantu siasatan.

Monday, June 20, 2011

Bantuan Rakyat Miskin

RM4 juta bantu miskin tegar

Utusan Malaysia - Jun 19, 2011

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 18 Jun - Yayasan Bina Upaya (YBU) memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk menggerakkan inisiatif Bantuan Ikhlas Bina Upaya (BIBU) bagi menyalurkan bantuan makanan secara bersepadu dan berjadual kepada 45,000 orang para penerima yang terdiri daripada golongan miskin di Perak.

Ketua Unit Khidmat Pengurusan Komunitinya, Isfarina Mohd. Bali memberitahu, langkah tersebut diambil selari dengan usaha membasmi masalah kemiskinan tegar di negeri ini apabila ia dilakukan secara menyeluruh, meliputi kesemua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Program BIBU ini telah digerakkan sejak April lalu dan urusan pengagihan bantuan kepada kumpulan sasar dijadualkan selesai sepenuhnya menjelang Disember nanti.

"Selain membantu golongan yang memerlukan, program ini turut memberi peluang kepada wakil-wakil rakyat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk terlibat secara langsung dalam program membantu rakyat secara tersusun di setiap kawasan DUN masing-masing," katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, Isfarina menyatakan, golongan yang dikenal pasti layak atau yang disenaraikan sebagai penerima bantuan tersebut terdiri daripada warga emas dan keluarga yang mempunyai isi rumah lima orang ke atas manakala pendapatan bulanan keluarga tersebut pula RM750 ke bawah.

Beliau memberitahu, senarai nama para penerima terlibat akan disenarai pendek mengikut kawasan DUN.

Kata beliau, kumpulan penerima itu dikenal pasti oleh agensi-agensi berkaitan seperti Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) melalui senarai E-kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Baitulmal Perak..

"Penyelaras ADUN kemudiannya akan memastikan bahawa nama yang tersenarai itu benar-benar layak sebelum diberi bantuan makanan seperti beras, minyak, gula, tepung, bihun, teh dan sardin melalui penganjuran sesebuah majlis atau lawatan dari rumah ke rumah," kata Isfarina lagi.

Sindiket Curi Alat Ganti Kereta

4 ditahan: Sindiket samun alat ganti kenderaan

17/06/2011 3:09pm

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

TANJUNG MALIM 17 Jun – Polis memberkas empat suspek sindiket samun alat ganti kenderaan melibatkan sebuah kilang vendor Proton di Proton City dekat sini, kurang 24 jam selepas mereka merompak premis itu pada 13 Jun lalu, dengan nilai kerugian mencecah RM1 juta. – Utusan

Tuesday, June 14, 2011

Rumah Terbengkalai

Pemaju gagal boleh didakwa

Jun 10, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

IPOH 9 Jun – Pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) bagi menyelesaikan masalah projek perumahan terbengkalai bakal menyaksikan kerajaan mengenakan syarat yang ketat ke atas pemaju.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung berkata, usul pindaan tersebut yang akan dibentangkan di Parlimen Disember ini adalah berikutan tiada peruntukan undang-undang yang dikenakan ke atas pemaju yang lewat menyiapkan projek ketika ini selain disenarai hitam.

“Apabila pindaan ini dibuat, wang deposit yang dikenakan untuk mendapatkan lesen pemaju bernilai RM200,000 akan dinaikkan kepada tiga peratus daripada kos keseluruhan projek pembinaan.

“Selain itu, bagi pemaju yang telah mendapat projek dan kemudiannya lari serta tidak menyiapkannya, ia akan dilihat sebagai satu perbuatan jenayah seterusnya boleh didakwa di mahkamah sekiranya mempunyai bukti kukuh,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau tapak Taman Putra Indah, Bercham di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

Dalam pada itu, Chee Heung berkata, tindakan tegas itu dibuat setelah kementerian mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan daripada beberapa pertubuhan berkaitan termasuk Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda).

Menurut beliau, langkah yang bertujuan mendidik bakal pemaju supaya lebih bersikap profesional itu dapat mengelak orang ramai daripada terus menjadi mangsa sekiranya projek perumahan terbengkalai.

Selain itu, katanya, ia mampu mengelakkan penggunaan duit rakyat apabila sesebuah projek terbengkalai tersebut terpaksa diambil alih oleh kerajaan apabila ditinggalkan oleh pemaju.

“Ketika ini terdapat 161 projek perumahan terbengkalai dengan sebanyak 72 daripadanya telah berjaya dipulihkan oleh kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, masalah kelewatan pembinaan rumah di Taman Putra Indah di sini selesai apabila pemaju memberi jaminan untuk menyerahkan kunci kepada pembeli 98 unit rumah bagi fasa pertama pada penghujung bulan ini.

Beliau berkata, bagi fasa kedua pula, pembinaan rumah tersebut sudah 55 peratus siap dan sijil layak untuk menduduki (CF) dijangka bakal diperoleh menjelang hujung tahun ini.

Wednesday, June 8, 2011

Drama Cer Citer oleh Mamat Khalid



Drama Cer Citer di Astro Warna



Petang tadi media dijemput untuk tengok sneak preview satu episod jer drama Cer Citer arahan Mamat Khalid, pengarah filem Hantu Kak Limah yang giler meletop.

Drama 13 episod akan ke udara di saluran Astro Warna mulai 11 Ogos ini.

Masih mengekalkan genre komedi misteri seram, penggambarannya dibuat 100 peratus di Perak iaitu di sekitar Pulau Pangkor dan Ipoh.

Antara pelakon yang membintangi drama ini siapa lagi kalau bukan Usop Wilcha. Ada juga Delimawati, Rashidi Ishak, Sofi Jikan, Jue Aziz dan Maria Farida.

Yang pasti, semua pelakonnya bertukar-tukar setiap episod sebab jalan citenye berlainan setiap siri.

Nak kata best tak yang satu episod tengok petang tadi? Entah laa... to me, terlalu kejap sangat setengah jam tue untuk satu episod.. sebab bile mood drama tue baru nak naik, tiba-tiba jer dah habis...patut dibuat sejam

Sunday, June 5, 2011

Kantoi




Firma kejuruteraan diserbu

Utusan Malaysia - Jun 1, 2011

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

IPOH 31 Mei - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri berjaya merampas 15 komputer dan 64 perisian cetak rompak bernilai RM570,300 dalam satu sitaan terbesar sepanjang tahun ini.

Serbuan selama lima jam bermula pukul 1 petang semalam melibatkan sebuah firma konsultan kejuruteraan di sini itu merupakan sebahagian daripada Operasi Gerak Gempur Cetak Rompak yang dijalankan sejak Mei tahun lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri (PPDNKK), Rosli Ahmad (gambar) berkata, pihaknya bertindak selepas mendapat aduan daripada sebuah persatuan perdagangan, Business Software Alliance (BSA).

"Kes ini merupakan yang pertama di Perak melibatkan perisian komputer cetak rompak. Sewaktu operasi, lima pegawai penguat kuasa dan tiga wakil daripada BSA memasuki premis dengan menggunakan waran yang diperoleh daripada Mahkamah Majistret.

"Antara perisian komputer yang dirampas termasuklah Autodesk, AutoCAD, Corel Winzip, Microsoft Windows, dan Microsoft Office," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rosli yang juga Timbalan Pengarah PPDNK negeri berkata, siasatan kes itu dijalankan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda minimum RM2,000 sehingga RM20,000 bagi setiap salinan perisian cetak rompak atau penjara tidak lebih lima tahun.

Selain itu, beliau turut mengingatkan peniaga mahupun pengguna supaya menggunakan perisian tulen kerana gerak gempur cetak rompak tersebut akan dibuat secara berterusan.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya telah mengambil sebanyak 558 tindakan ke atas peniaga di negeri ini bermula Januari tahun ini sehingga kini melibatkan pelbagai akta di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

"Nilai rampasan keseluruhannya bernilai RM1.8 juta termasuk jumlah ini termasuk sitaan premis yang dilakukan semalam," katanya.

Monday, May 30, 2011

Keris Taming Sari



Keris Taming Sari ini dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar sempena dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Ke-83 mulai 29 Mei sehingga 5 Jun.

Keris ini digunakan sebagai salah satu alat kebesaran Diraja Perak dan keseluruhan sarung keris diselaputi oleh dedaun emas.

Menariknya, keris ini juga sebahagiannya diperbuat daripada serpihan besi ganggang pintu Kaabah.

Wednesday, May 25, 2011

Nur Kasih The Movie Review



Walaupun dilabel sbagai filem makcik-makcik, Nur Kasih The Movie punya kekuatan utuh dari aspek sinematografi dan skor muziknya. Perjalanan plot yg agak menarik utk disusuri tetapi impaknya akan lebih berkesan jika diolah dengan ketajaman skrip. Cuma di babak terakhir, figura Nur Aminah menghambur imbasan watak Rose, seorang wanita tua dlm filem Titanic yg mengingati kembali perjalanan kisah hidupnya...

Tuesday, May 17, 2011

Movie Review : Kongsi




Filem 'Kongsi' secara keseluruhannya menampakkan gaya pengarahan amateur, suntingan sinematografi yg tidak memuaskan selain impak humour yg kurang berkesan ... filem yg barangkali tidak mustahil boleh pecah panggung ....apabila dinilai atas tiket shaheizy sam selain peluang utk girls cuci mata ;)

Kes Pemimpin Rasuah

May 10, 2011 - Utusan Malaysia

Kes rasuah bekas pemimpin PKR

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 9 Mei – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula kes dua bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak yang dipanggil membela diri atas tuduhan rasuah jutaan ringgit membabitkan projek pembangunan sebuah bandar baharu di Perak.

Hakim Noor Hayati Mat membenarkan penangguhan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu dan bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Usaili Alias memaklumkan bahawa mereka telah memfailkan rayuan pada minggu lalu.

Mohd. Osman dan Usaili memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 April lalu yang memerintahkan mereka membela diri atas tuduhan tersebut selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan mereka dan tiga yang lain tanpa dipanggil membela diri pada 23 April tahun lalu.

Mohd. Osman dan Usaili sebelum ini didakwa bersama ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi; bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan dan ahli perniagaan, Fairul Azrim Ismail kerana terlibat dalam 16 tuduhan rasuah jutaan ringgit membabitkan projek pembangunan Pusat Bandar Baru Seri Iskandar.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Exco kerajaan negeri Perak, Restoran Kluang Stesen Cafe di sini dan Aquarias Restaurant & Bar, Summit Hotel, Bukit Mertajam di Pulau Pinang di antara 12 Ogos dan 19 Ogos 2008.

Perintah pembebasan Jamaluddin, Zul dan Fairul Azrim dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi setelah mendapati kekurangan bukti untuk kes terhadap mereka bertiga diteruskan.

Mohd. Osman dan Jamaluddin keluar parti pembangkang dan menjadi ADUN Bebas pada 2009.

Saturday, May 7, 2011

Jolok

Jolok - Perkataan yang paling popular di kalangan wartawan. First time aku dengar perkataan ini, macam2 aku fikir maksudnya....haha...kantoi di situ.

Tapi sebenarnya maksudnye mudah jer .. let say bila sesuatu function tue tak ada sidang media atau press conference (PC), maka reporters pun biasanya akan get ready untuk 'jolok' sahaja.

'Jolok' nie mcm terjah laa jugak...ye laa..dah invite reporter buat coverage, pastu speech cakap tak de points, PC plak tak de, so kena laa jolok

Kalau tak balik ofis dengan tangan kosong.... bukan salah we all jolok-menjolok nie...ok ;)
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...