Pages


Tuesday, June 19, 2012

Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah





Stesen janakuasa TNB mesra alam

June 1, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

LUMUT 31 Mei - Melintasi Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) yang menjana tenaga elektrik menggunakan teknologi arang batu di Seri Manjung, di sini ibarat menyaksikan sebuah reaktor nuklear.

Apatah lagi kawasan seluas 325 hektar yang dikawal rapi serta dibangunkan di atas sebuah pulau tebus guna itu mempunyai satu cerobong tunggal setinggi 200 meter.

Jika dilihat dari jauh, ia seolah-olah mengeluarkan asap hasil janaan sumber asli hidrokarbon tersebut yang dilonggok di ruang simpanan yang boleh memuatkan sehingga 700 ribu tan metrik arang batu.

Namun hakikatnya, 'asap' berkenaan hanyalah sejenis wap air atau stim yang dihasilkan di unit penjanaan pada tekanan dan suhu tinggi sebelum disalurkan ke turbin.

Turbin yang digerakkan bersama penjana pada kelajuan 3,000 rpm pula menghasilkan output tenaga elektrik yang kemudiannya disambung ke jaringan Grid Nasional.

Justeru, SJSAS yang dibangunkan dengan mengambil kira faktor sensitiviti alam sekitar, menggunakan teknologi pembakaran arang batu bersih selain penggunaan arang batu bersulfur rendah.

Ketua Pegawai Operasinya, Shamsul Ahmad (gambar) berkata, selain penggunaan pembakaran sistem arang batu berhablur (pulverised coal firing) yang mampu meningkatkan kecekapan pemprosesan, pengambilan sampel air dan tanah secara berterusan di kawasan berkenaan bertujuan memastikan ia menepati standard yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar.

Maka, menurutnya, tidak hairanlah stesen yang diilhamkan sejak 1996 itu mendapat akreditasi MS ISO 14001:2004 Pengurusan Alam Sekitar dan MS ISO 9001:2000 bagi Sistem Pengurusan Kualiti.

"Malahan, pembangunan stesen berkenaan yang berteraskan strategi nasional bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber gas asli telah memanfaatkan kira-kira 4 juta rakyat terutamanya di Semenanjung Malaysia.

"Lebih mengagumkan, stesen terbesar dalam sistem TNB itu berupaya menghasilkan sehingga 2,100 megawatt (MW) sehari menerusi tiga unit penjanaan dengan penghasilan 7,000 MW setiap satu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini..

Biarpun begitu, menurutnya, TNB Jana Manjung Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh TNB yang mengendalikan SJSAS, mengunjurkan peningkatan pendapatannya sehingga RM5 bilion apabila satu lagi Projek Manjung 4 dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada Mac 2015.

"Projek yang dibangunkan di kawasan seluas 32 hektar di stesen berkenaan bakal membekalkan tenaga elektrik tambahan sebanyak 1,000 MW, sekali gus menjadikan ia mampu menjana sejumlah 3,100 MW tenaga sehari.

"Menggunakan kaedah mesra alam paling terkini iaitu super critical boiler technology, ia turut dijangka mampu memberi limpahan manfaat kepada keseluruhan 6 juta penduduk di Semenanjung Malaysia,'' katanya.

Jelasnya, sistem ini merupakan satu teknologi yang memberi pulangan dari segi kecekapan dalam pembakaran arang batu. Selain mencapai tahap pembakaran lebih efisien dengan hasil yang lebih, ia turut menjimatkan kos.

"Projek ini bergerak lebih awal daripada yang dijadualkan dan ketika ini, 25 peratus daripadanya berjalan dengan lancar," katanya.

Projek Manjung 4 dilaksanakan secara kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) oleh konsortium yang terdiri daripada Alstom Power System SA, Alstom (Wuhan) Engineering & Technology Co. Ltd, Alstom Services Sdn. Bhd., China National Machinery Import & Export Corp. dan CMC Machipex Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, stesen berkenaan yang beroperasi dengan kos pengendalian sebanyak RM7.3 bilion kini menggunakan 20,000 tan metrik arang batu import sehari terutamanya dari Kalimantan, Indonesia dan Australia.

Beliau berkata, kuantiti tersebut dijangka bertambah sebanyak 8,000, justeru menjadikan hampir 30,000 tan metrik bakal digunakan seharian menerusi Projek Manjung 4.

"Projek ini nanti bukan sahaja dapat meningkatkan bekalan tenaga elektrik, malah ia mampu menjana keupayaan vendor tempatan dalam memberi peluang pekerjaan, selain membantu kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perak," katanya.

Ditanya mengenai masalah ampai-ampai laut yang boleh mengganggu sistem penyejukan sehingga menyebabkan unit-unit penjana 'tersumbat', beliau berkata, perkara itu telah berjaya diatasi.

"Kita telah memasang jaring di sekeliling pengambilan air laut untuk sistem penyejukan supaya ampai-ampai ini tidak boleh masuk ke dalamnya.

"Sekiranya tidak berbuat demikian, unit-unit penjana ini akan terpelantik (terpadam secara automatik) sehingga menyebabkan ia gagal berfungsi," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...