Pages


Wednesday, May 30, 2012

Mantera - New Malaysian Science Fiction Movie



Filem Mantera pahat nama Ipoh

May 24, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 23 Mei - Tatkala tumpuan dunia memandang kepada kecanggihan seni visual grafik Hollywood dalam bidang animasi, siapa sangka anak tempatan juga berupaya menghasilkan versi sama dalam mengejar rentak perfileman global.

Meskipun Mantera tidak gah seperti filem Transformers lakonan aktor sensasi Shea Le Bouf, namun penghasilan filem tersebut yang disasarkan kepada golongan muda dan remaja masih boleh dibanggakan.

Apatah lagi, 90 peratus daripada krew penerbitan yang terlibat secara langsung dalam pembikinan filem itu terdiri daripada anak tempatan.

Lebih membanggakan, kesemua proses suntingan turut dilakukan di bandar raya ini termasuk di Pusat Sumber Kreatif dan Inovasi Perak (Pincer).

Mantera yang mempertaruhkan penyanyi Tomok dan Shiqin Kamal sebagai pelakon utama, diadun dalam dua versi iaitu tempatan dan antarabangsa.

Filem bercorak sains fiksyen tersebut turut mendapat sentuhan pascaproduksi oleh editor terkenal Hollywood, Sherwood Jones.

Dibintangi beberapa pelakon antarabangsa seperti Mikhail Dorojkin, Kamaliya (Ratu Cantik Dunia 2008), Saide-Dashuk Nighmatulin dan Wael Al-Masri, filem ini juga mempraktikkan penggunaan teknologi imej janaan komputer (CGI).

Mengambil kira latar tempat berbeza bagi meleraikan plot penceritaannya, maka tidak hairanlah proses penggambaran filem ini dilakukan di tiga lokasi berbeza iaitu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE); Moscow, Rusia dan Kuala Lumpur.

Mantera yang dihasilkan bersama oleh Spacetoon Media Hub Malaysia (Spacetoon Malaysia) dan Flare Studios, sebenarnya merupakan singkatan kepada MAN Transformable Exo Robotic Armor iaitu sebuah prototaip sistem persenjataan.

Sementara itu, Pengerusi Spacetoon Malaysia, Fayez Al Sabbagh berkata, filem yang menelan belanja kira-kira RM15 juta itu mendapat sokongan kerajaan negeri menerusi K-Perak dan Perak E-Organization Sdn. Bhd.

Beliau berkata, filem tersebut akan dipasarkan menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani ke beberapa buah negara Arab dan Amerika Latin selain disiarkan di saluran televisyen di Perancis.

"Filem ini merupakan filem sains fiksyen pertama yang menggunakan animasi CGI, diproses dan dibangunkan di sini.

"Apabila kita berunding dengan Universal Studios dan Fox Movies, mereka kagum dan terkejut apabila mengetahui kesemua animasi ini dihasilkan di Ipoh," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Zambry Abd. Kadir yang hadir menyaksikan pratonton filem berkenaan baru-baru ini berkata, Mantera bakal membuka lembaran baru dalam bidang animasi di negeri ini.

Beliau berkata, ia sekali gus menjadi kayu pengukur kepada anak tempatan untuk menghasilkan filem bergenre sama di peringkat antarabangsa.

"Kita berharap filem ini akan mendapat sambutan serta disusuli dengan beberapa sekuelnya," tambah Zambry yang turut mengatakan Mantera akan ditampilkan dengan beberapa bentuk cenderamata sebagai promosi.

Filem Mantera kini sedang ditayangkan di pawagan seluruh negara..

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...