Pages


Sunday, April 28, 2013

Kinta Riverfront Hotel, Ipoh



Hotel berasaskan ekopelancongan


TERLETAK antara pertemuan pekan lama dan pekan baru, Hotel Kinta Riverfront di Ipoh, Perak semakin terkenal sebagai lokasi mesyuarat, konvensyen dan pameran (MICE) yang terbaik di bandar raya ini.

Mula beroperasi sejak 1 Januari tahun lalu, hotel bertaraf empat bintang yang dibangunkan berhampiran Sungai Kinta itu giat dipromosi sebagai hotel berasaskan ekopelancongan.

Selain memiliki sebuah muzium galeri yang memaparkan sejarah perlombongan bijih timah, pembinaan palung di ruang pejalan kaki di tepi Sungai Kinta mengimbau kembali kerancakan industri bijih timah di bandar raya itu sekitar tahun 1820-an.

Tidak hairanlah, empat buah dewan bankuet di hotel berkenaan diberi nama bersempena bandar-bandar perlombongan bijih timah di Perak seperti Tronoh, Kampar, Pusing dan Gopeng.

Pastinya, kunjungan ke hotel tersebut tidak lengkap tanpa menyusuri pemandangan indah di Kinta Riverwalk sepanjang 1.5 kilometer, terutamanya pada waktu malam dengan bertemankan pokok hiasan bercahaya persis Taman Tema i-City di Shah Alam, Selangor.

Pengurus Operasi Kinta Riverfront Hotel & Suites Sdn. Bhd., Patrick Chew berkata, projek pesisir sungai yang turut mengambil inspirasi serta konsep daripada Sungai Melaka itu baru bermula pada fasa pertama.

Beliau berkata, bagi memeriahkan lagi suasana di kawasan pejalan kaki yang terletak di hadapan hotel itu, pihaknya telah membina tiga replika jambatan terkenal dunia bagi membolehkan orang ramai melihatnya.

"Jambatan-jambatan ini adalah miniatur Golden Gate Bridge di San Francisco, Amerika Syarikat; Sydney Harbour Bridge di Australia dan Silver Nest Bridge di China.

"Beberapa gerai menjual makanan tempatan seperti mi rebus dan aiskrim kacang hazel, selain gerai sayur-sayuran segar dari Cameron Highlands turut dibuka di sini," katanya kepada S2.

Sementara itu, untuk penganjuran majlis pula, kawasan seluas 139 meter kaki persegi yang dinamakan Kongsi Square di tepi sungai itu juga dapat dimanfaatkan bagi tujuan pemasangan kanopi.

Bercerita lebih lanjut mengenai kemudahan penginapan, Patrick berkata, hotel berkenaan memiliki 410 unit bilik meliputi jenis standard, superior, family dan executives.

Bagi mereka yang inginkan kediaman yang lebih eksklusif, mereka boleh menempah set bilik honeymoon dan presidential suites yang masing-masing berharga RM3,888 dan RM8,888 semalam.

"Antara tetamu kenamaan yang telah menginap di presidential suites ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah sewaktu baginda merasmikan program Pergerakan Pandu Puteri di Ipoh.

"Selain itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri juga pernah menginap di bilik honeymoon yang terletak di tingkat 19," katanya.

Dalam pada itu, Patrick berkata, bagi mereka yang inginkan bilik kediaman serba lengkap, mereka boleh menginap di servis apartmen yang terdiri daripada Kinta Gold (tiga bilik, menghadap sungai) dan Kinta Premier (dua bilik, menghadap pekan).

Selain itu, katanya, sesuai dengan sasaran hotel sebagai lokasi MICE, lapan dewan mesyuarat yang dinamakan Menglembu, turut ditawarkan selain Grand Valley Ballroom yang boleh memuatkan sehingga 1,300 individu dalam satu masa.

Menariknya, ballroom yang dibina tanpa sebarang tiang itu merupakan yang terbesar di bandar raya ini, selain dilengkapi paparan skrin besar diod pemancar cahaya (LED) serta pentas bergerak turun naik melalui pacuan sistem hidraulik.

"Antara kemudahan lain termasuklah kolam renang lutsinar yang diberi nama Infinity Mermaid Swimming Pool di tingkat lima, gelanggang tenis, squash, dan spa.

"Dari segi makanan dan minuman pula, kami mempunyai beberapa restoran seperti Great Miner Chinese Cuisine, Palong Coffee House, The Mermaid Poolside bar and BBQ dan Tin Ore Bistro and Lounge," ujarnya.

Kemudahan tempat meletak kenderaan juga bukan merupakan satu masalah kerana terdapat lebih 1,000 unit disediakan di tingkat bawah tanah, selain di kawasan luar hotel.

Malah, keselamatan para penginap juga terjamin kerana hotel berkenaan turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...