Pages


Wednesday, May 30, 2012

Teacher's Day Festival 2012

Lebih 50,000 meriahkan festival

May 17, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

KUALA KANGSAR 16 Mei - Lebih 50,000 pengunjung termasuk warga pendidik memeriahkan Festival Hari Guru 2012 anjuran Kumpulan Utusan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford sejak Sabtu lalu.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat di sini dalam menghadiri pelbagai acara yang dianjurkan termasuk mini konsert, ceramah agama dan wayang pacak.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran, kerajaan negeri, Jabatan Pelajaran Negeri Perak dan SMK Clifford sendiri yang banyak memberikan kerjasama dalam menjayakan festival ini.

"Sesungguhnya festival yang kita anjurkan ini adalah sebagai tanda pihak Utusan menyanjung serta menyokong tinggi pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan oleh para guru kepada anak bangsa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sepanjang tempoh lima hari festival tersebut berlangsung, lebih 100 pameran daripada pelbagai syarikat dan agensi kerajaan mengambil bahagian selain penglibatan kira-kira 50 gerai peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) di luar khemah utama, dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Selain gerai pameran dan jualan, festival turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot utama watak animasi Upin dan Ipin, persembahan kebudayaan oleh pelajar Sekolah Seni Johor Bahru serta lukisan karikatur bersama pelukis akhbar Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Mohd. Nasir berkata, Kumpulan Utusan akan terus menyokong penganjuran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan yang dijangka disambut di Sabah tahun depan.

Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada para penaja festival tersebut seperti KPerak, MBSB, Celcom, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Bank Pembangunan dan Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Antara syarikat yang turut sama memeriahkan festival kali ini termasuklah Proton, Celcom, Bank Simpanan Nasional (BSN), Sasbadi, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. serta Suruhanjaya Sekuriti.

Institusi pengajian tinggi (IPT) turut tidak ketinggalan menyertai festival tersebut, antaranya ialah University of Nottingham Malaysia Campus, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) dan Kolej Antarabangsa Kirkby Cyberjaya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...