Pages


Sunday, April 28, 2013

RM500 Incentive for Ipoh Municipal Council Staffs



Warga MBI terima insentif RM500


IPOH 1 April - Sebanyak 2,340 pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bakal menerima insentif sebanyak RM500 melibatkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta yang akan dibayar pada gaji bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemberian tersebut berikutan prestasi memberangsangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam melonjak perubahan ketara bandar raya ini sejak empat tahun lalu.

"Pada 2008, sebanyak 785 permohonan pembangunan kita terima, namun jumlah tersebut meningkat sehingga 4,445 iaitu kedua tertinggi selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Ini sekali gus membuahkan hasil daripada strategi yang kita laksanakan dalam perubahan sistem penyampaian termasuk penggunaan sistem pusat setempat (OSC) di PBT serta kepantasan kerajaan negeri meluluskan permohonan di peringkat Exco tanpa sebarang fail tertunggak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Perdana Menteri Besar Bersama Warga MBI di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim.

Pada majlis tersebut, Zambry turut mengumumkan kenaikan gaji kumpulan sokongan MBI dari gred 1 hingga 16 yang menyaksikan gaji golongan tersebut yang sebelum ini dalam lingkungan RM1,200 hingga RM1,500, dinaikkan menjadi RM1,797 hingga RM2,857 sebulan.

Kenaikan tersebut yang akan berkuat kuasa Julai ini adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Sistem Saraan Transformatif (SST) baru-baru ini.

Katanya, di bawah sistem baharu itu, kumpulan sokongan yang telah mencapai gaji maksimum, mereka akan diberikan tiga tangga gaji tambahan sehingga 2015, sebelum kenaikan tiga peratus setiap tahun mengikut prestasi bermula 2016.

Dalam pada itu, katanya, pembangunan Ipoh terus meningkat apabila bilangan premis perumahan dan perniagaan di sini turut meningkat dengan mendadak daripada 236,000 kepada 272,000.

Peningkatan tersebut ujar beliau, menunjukkan tahap keyakinan rakyat termasuk pelabur dalam menjalankan perniagaan termasuk menjadikan bandar raya ini sebagai tempat tinggal.

Zambry memberitahu, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa negeri untuk turut sama melihat prestasi PBT lain di negeri ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri akan memberikan insentif sama kepada PBT lain termasuk meningkatkan jumlah imbuhan kepada kakitangan MBI pada masa depan sekiranya terdapat lebihan kutipan hasil kewangan.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...