Pages


Sunday, November 25, 2012

Perak Amanjaya Career Carnival 2012


Tarik lebih 16,000 pengunjung

Nov. 13, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my


IPOH 12 Nov. - Karnival Kerjaya Perak Amanjaya 2012 selama dua hari di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang menutup tirainya hari ini berjaya menarik 16,000 pengunjung termasuk pencari kerja sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, daripada jumlah itu hampir 6,500 pendaftaran diterima daripada pencari kerja.

"Walaupun bilangan pencari kerja ini menurun berbanding 11,000 pada tahun lalu, kita melihat ini sebagai sesuatu yang positif kerana ia menggambarkan kadar pengangguran di negeri ini juga telah berkurangan.

"Lagipun, kerajaan negeri telah menubuhkan Pusat Kerjaya Amanjaya (Peka) yang mana orang ramai boleh mendaftar bagi mencari pekerjaan secara dalam talian yang dibuka selama 24 jam," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Peka berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutup karnival tersebut semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri yang juga Pengerusi Sekretariat Karnival Kerjaya Perak Amanjaya 2012, Khairul Azwan Harun.

Pada majlis tersebut, Zainol Fadzi menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil 87 syarikat dan agensi yang menawarkan lebih 7,000 peluang pekerjaan sempena karnival kali ini.

Dalam pada itu beliau memberitahu, inisiatif kerajaan negeri melalui penubuhan Peka untuk membantu rakyat mencari pekerjaan tidak pernah dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan negeri lain.

Selain itu katanya, peningkatan jumlah syarikat atau majikan dalam karnival kali ini juga membuktikan mereka mengiktiraf usaha kerajaan dalam membantu menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua anak Perak supaya bekerja dan berkhidmat di sini untuk sama-sama kita membangunkan negeri ini," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...