Pages


Sunday, November 11, 2012

UTP to become first private 'Research University'

UTP jadi universiti penyelidikan


SERI ISKANDAR 23 Okt. - Universiti Teknologi Petronas (UTP) bakal menjadi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama negara ini yang diiktiraf sebagai universiti penyelidikan sebaik sahaja melepasi markah kelayakan minimum bagi mencapai status berkenaan.

Naib Canselornya, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim berkata, hasil pelan transformasi yang giat dijalankan sejak tahun 2008, UTP telah memperoleh skor sebanyak 84.9 peratus berbanding 75 peratus yang ditetapkan kementerian.

"Usaha transformasi ini telah membuahkan hasil dan ini melayakkan UTP untuk melalui fasa penilaian terakhir pada bulan depan.

"Adalah diharapkan UTP akan berjaya mencapai status universiti penyelidikan di negara ini pada tahun 2013," katanya ketika berucap pada majlis Konvokesyen Ke-12 UTP di sini kelmarin.

Majlis dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Canselor UTP dan turut dihadiri oleh isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Pada majlis tersebut, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan yang juga Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas), dimasyhurkan sebagai Pro Canselor UTP.

Seramai 1,267 mahasiswa UTP daripada pelbagai bidang jurusan kejuruteraan termasuk sistem maklumat perniagaan dan teknologi maklumat berjaya menamatkan pengajian pada tahun ini termasuk 154 mahasiswa di peringkat pasca siswazah.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, pihak lembaga pengarah universiti sudah meluluskan dua pembinaan bangunan khas untuk penyelidikan dengan memenuhi kriteria Indeks Bangunan Hijau dan dijangka siap pada 2014.

Selain itu, pihaknya juga akan bekerjasama dengan syarikat tempatan, PV Hi Tech Solar untuk membina Ladang Solar yang mampu menjana tenaga elektrik lestari sebanyak 1 Mega Watt di kawasan seluas 1.2 hektar di kampus berkenaan.

Sementara itu, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia UTP, M. Abdul Hafiz Abu Tahir, 24, yang lumpuh dari paras leher hingga kaki kerana kemalangan pada semester akhir pengajiannya, menerima penghargaan ijazah istimewa sempena majlis itu.

M. Abdul Hafiz yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.98 mengakui dia hampir putus asa kerana sukar bangun dan menggerakkan jarinya.

"Sekiranya mampu, saya ingin bekerja dan menjadi seorang jurutera kimia. Apa yang penting, saya ingin berusaha bangun sendiri," katanya yang juga anak kepada seorang peneroka di Felda Semenchu, Kota Tinggi, Johor.

Penerima Anugerah Canselor Emas pula dimenangi pelajar Kejuruteraan Kimia, Chan Wen Zen diikuti Mohamad Azwan Ismail (Kejuruteraan Petroleum) yang memenangi Anugerah Canselor Perak manakala Tan Xiao Ci (Sistem Maklumat Perniagaan) menerima Anugerah Canselor Gangsa.

Dua anugerah baharu yang diperkenalkan tahun ini iaitu Penyelidik Terbaik bagi kategori Doktor Falsafah dan Master pula masing-masing dimenangi Abrar Inayat dan Siti Nur Azella Zaini daripada Fakulti Kejuteraan Kimia.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...