Berkhidmat bukan kerana nama
October 7, 2009 - Utusan Malaysia
Oleh LIAU PEI WEN dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my
Meskipun usianya hampir mencecah satu abad, Datuk Lim Phaik Gan atau lebih dikenali sebagai Datuk P. G. Lim masih mampu mengingati setiap kisah perjalanan hidupnya dengan baik. Bekas peguam, feminis dan diplomat terkemuka negara itu juga merupakan seorang wanita yang tegas dan berpendirian teguh.
Anak sulung kelahiran pasangan peguam, Lim Cheng Ean dan isterinya, Rosalind Ho-Lim ini bukan sahaja telah memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat malah pernah berjuang untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia khususnya golongan yang kurang bernasib baik.
Selayaknya Anugerah Merdeka 2009 bagi kategori pendidikan dan komuniti yang julung kalinya diperkenalkan pada 21 Ogos 2008 dianugerahkan kepada beliau dan seorang lagi tokoh wanita yang disegani ramai iaitu menteri wanita pertama di Malaysia, Tun Fatimah Hashim.
Mengulas mengenai kejayaannya, Phaik Gan, 91, berkata, anugerah tersebut merupakan satu penghormatan kepada dirinya dan lebih menggembirakan apabila beliau menerima anugerah itu bersama Fatimah yang merupakan sahabat baiknya sejak sekian lama.
"Saya mengenali rapat Fatimah dan Allahyarham suaminya iaitu Peguam Negara pertama yang dilantik selepas negara mencapai kemerdekaan (Tan Sri Abdul Kadir Yusuf). Allahyarham merupakan seorang peguam yang berprinsip tinggi dan bersifat adil.
"Pada 1982, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) yang diterajui oleh Fatimah telah menganugerahkan satu anugerah yang amat bermakna kepada saya iaitu Pingat Emas Tun Fatimah.
"Mereka juga meraikan saya dalam satu majlis sebagai tanda penghormatan apabila saya dilantik sebagai Duta Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Phaik Gan dilahirkan di England pada tahun 1918 dan dibesarkan di Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan awal di Penang Convent School dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Girton College, University of Cambridge dalam bidang pengajian Sejarah dan Undang-Undang.
Beliau diterima sebagai peguam di English Bar, Lincoln's Inn pada tahun 1948 dan merupakan wanita Malaysia terawal yang memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang daripada sebuah universiti tersohor di London.
Pada tahun 1955, Phaik Gan menyandang jawatan Setiausaha Majlis Peguam Malaya dan beliau kemudian dilantik sebagai wakil Majlis Peguam ke Persidangan Undang-Undang Komanwel di Sydney, Australia pada tahun 1965.
Kerjaya Phaik Gan berkembang merentasi dua era iaitu sewaktu Tanah Melayu di bawah penjajahan British dan Malaya yang mencapai kemerdekaan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.
Tidak banyak wanita Malaysia yang mampu mencapai kejayaan dan mencontohi pencapaian beliau dalam bidang perundangan, politik dan arena diplomatik. Pada tahun 1971, Phaik Gan mencipta sejarah negara apabila menjadi duta wanita pertama Malaysia ke PBB dan beliau masih menjadi ikon kepada rakyat Malaysia sehingga ke hari ini.
Beliau mengukir nama dan reputasi sebagai seorang peguam bela yang tegas dengan membela nasib pekerja-pekerja yang mendapat bayaran rendah serta hilang hak mengundi dalam kesatuan pekerja.
Bagi Phaik Gan, tiada apa yang lebih penting daripada menggunakan pengetahuan perundangannya untuk membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik. Beliau tidak pernah mengimpikan publisiti sebaliknya berpegang kepada prinsip kemanusiaan yang menjadi pendorong dalam hidupnya.
"Itulah sebabnya untuk beberapa tahun lamanya, saya menjadi penasihat kepada beberapa kesatuan sekerja termasuk Persatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang dan Persatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pengangkutan.
"Saya berdepan dengan banyak cabaran terutamanya ketika menjadi seorang peguam. Saya terpaksa berhujah dan meyakinkan peguam serta hakim British, malah ada sesetengah pihak yang menganggap saya berhaluan kiri kerana menyertai Barisan Sosialis dan bukannya MCA atau parti-parti politik lain," katanya.
Phaik Gan mengakui, kejayaan tidak akan datang dengan sendiri tanpa usaha dan kerja keras kerana kehidupan ini bukannya mudah serta penuh dengan rintangan. Justeru semua orang perlu berdepan dan mengharungi cabaran untuk maju ke hadapan.
"Saya tidak berjuang untuk mendapatkan nama kerana ada kalanya nasib tidak menyebelahi saya. Tetapi yang lebih penting adalah menegakkan kebenaran berdasarkan prinsip hidup saya. Sekiranya berjaya, itu adalah satu kepuasan dan sekiranya gagal, saya akan berusaha dengan lebih gigih.
"Hidup sememangnya sebegini. Jika segalanya mudah, saya tidak akan sampai ke tahap sekarang dan mengecapi semua ini," jelasnya.
Phaik Gan sebelum ini memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak-hak wanita. Pada tahun 1986, beliau menjadi Presiden Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan di negara ini untuk membela dan melindungi wanita daripada keganasan dan diskriminasi.
Beliau juga pernah berjuang untuk menuntut penyelarasan gaji yang setara antara guru-guru wanita dan lelaki selain komited serta bersungguh-sungguh memperjuangkan pelbagai agenda NCWO termasuk ekonomi dan keselamatan sosial; pendidikan dan latihan; hak-hak sivil dan kesihatan wanita.
Phaik Gan adalah salah seorang daripada dua wanita yang dipilih mewakili Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) iaitu badan pentadbiran negara pada zaman darurat berikutan peristiwa 13 Mei 1969 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein.
Menurut beliau, Malaysia telah mencapai banyak kemajuan dalam aspek kesaksamaan gender sejak kemerdekaan apabila semakin ramai wanita yang kini memegang jawatan tinggi dalam sistem pentadbiran negara berbanding negara-negara maju dan membangun yang lain.
"Sebagai contoh, Malaysia mempunyai banyak menteri wanita dalam Kabinet berbanding negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan England," ujarnya.
Berbicara tentang hubungan antara kaum di negara ini, beliau melahirkan kekecewaannya apabila melihat rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum masih tidak dapat bersatu sebagai bangsa Malaysia.
"Walaupun telah mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun, sebahagian besar daripada kita masih melihat titik perbezaan antara kaum dari segi bahasa, agama dan pemakaian. Mereka juga tidak berusaha untuk mempelajari cara hidup bersama dalam konteks masyarakat majmuk," katanya.
Tambah Phaik Gan, antara faktor penyumbang ke arah polarisasi kaum di negara ini adalah suasana sekolah yang tidak menggalakkan interaksi dan pergaulan pelajar pelbagai kaum walaupun mereka belajar di sekolah sama.
"Sehingga sekarang masih terdapat murid-murid yang enggan duduk bersama di dalam kelas dengan rakan berlainan bangsa semata-mata kerana pengambilan jenis makanan yang berbeza," kata beliau.
Selain itu, katanya, sistem pendidikan negara tidak begitu berjaya mencapai matlamatnya apabila masih terdapat rakyat yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik sehingga kini.
"Kebanyakan pelajar di negara ini tidak digalakkan untuk berfikiran kritis dan kreatif sebaliknya hanya tahu menghafal serta memuntahkan kembali fakta yang diingati dalam peperiksaan tanpa pengertian mendalam.
"Malangnya terdapat juga universiti yang menurunkan gred kelulusan peperiksaan dengan tujuan untuk meningkatkan bilangan pelajar yang lulus. Tindakan ini bukan sahaja tidak dapat memajukan pelajar sebaliknya merosakkan masa depan mereka.
"Malah kedudukan universiti-universiti di Malaysia dalam senarai universiti terbaik dunia semakin merosot berbanding suatu masa dahulu," katanya.
Sementara itu, Phaik Gan menasihati generasi muda sekarang untuk merebut peluang yang ada bagi mencapai cita-cita dan impian mereka selain perlu berusaha serta tidak mudah mengalah apabila berdepan dengan dugaan hidup.
Beliau yang kini dalam proses menyiapkan buku autobiografi mengenai kisah perjalanan hidupnya berkata, hidup ini tidak semudah yang disangka dan tiada insan di dunia ini yang sentiasa bernasib baik.
"Kita tidak boleh mengatakan seseorang itu bertuah kerana dia orang Melayu, Cina atau India. Semua orang perlu mengatasi kelemahan diri untuk terus berjaya dalam hidup," katanya.
Thursday, May 5, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment