Lebuh Raya Pantai Timur sibuk
September 19, 2009 - Utusan Malaysia
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
GOMBAK 18 Sept. - Aliran trafik menuju ke Kuantan melalui Plaza Tol Gombak di sini sibuk dan tidak putus-putus untuk tempoh setengah jam pertama pemberian tol percuma oleh Kumpulan MTD bagi pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bermula pukul 12 tengah malam tadi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ada kenderaan yang sanggup menunggu di stesen minyak berhampiran plaza tol semata-mata menunggu detik itu tiba.
Sebaik sahaja siren dibunyikan tepat pada tengah malam menandakan waktu pemberian tol percuma bermula dan juru tol menaikkan palang, pemandu membunyikan hon kenderaan sebagai tanda gembira dan berpuas hati dengan tindakan Kumpulan MTD.
Malah, ada pemandu yang melaungkan ucapan terima kasih kepada Kumpulan MTD ketika melalui lorong tol tersebut.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Ismail Md. Salleh yang melancarkan pemberian tol percuma di plaza tol berkenaan kelihatan gembira apabila melihat keadaan trafik yang begitu lancar selepas kesemua 13 lorong dibuka untuk kegunaan pengguna lebuh raya.
"Ini kali pertama Kumpulan MTD dan juga pihak konsesi lebuh raya menawarkan tol percuma di musim perayaan. Kami pun tengok pengguna jalan raya sangat gembira dan terdapat sebahagian daripada mereka mengucapkan terima kasih.
"Biasanya trafik mencecah 50,000 kenderaan dalam tempoh ini tetapi kami menjangkakan peningkatan sebanyak 30 hingga 40 peratus berikutan pemberian tol percuma,'' ujarnya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Eksekutif Lebuh Raya, Kumpulan MTD, Ir. Wan Razali Muda.
Ismail berkata, pengguna kelas satu berpeluang menikmati penjimatan sebanyak RM29 untuk perjalanan sehala dari Kuala Lumpur ke Karak (60 kilometer) dan Karak ke Kuantan (170 kilometer).
Jelasnya, masa yang diperuntukkan selama lima jam untuk menikmati tol percuma iaitu dari pukul 12 tengah malam sehingga 5 pagi adalah mencukupi untuk pengguna memulakan perjalanan dari Gombak ke Kuantan.
Justeru, beliau mencadangkan orang ramai supaya tidak terburu-buru memandu sebaliknya merancang perjalanan lebih awal.
Ketika diminta mengulas mengenai kesesakan yang mungkin berlaku apabila orang ramai pulang ke ibu kota pada 24 September ini beliau berkata, pihaknya tidak begitu risau dengan keadaan trafik di plaza tol.
"Sebaliknya, kami menjangkakan kesesakan jalan raya akan berlaku apabila semua kenderaan menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) selepas keluar dari plaza tol dan ini turut menjejaskan keadaan trafik di sini.
"Oleh itu, kami sedang bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan perjalanan kenderaan ke MRR2 akan sentiasa berjalan lancar," ujarnya.
Sementara itu Wan Razali berkata, Kumpulan MTD akan menambah kawasan rehat di sepanjang LPT selain menempatkan pasukan polis, bomba dan ambulans di Genting Sempah bagi menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini.
Jelasnya, sebanyak 25 orang anggota ditempatkan di Plaza Tol Gombak yang juga plaza tol terbesar kendalian Kumpulan MTD bagi memastikan kelancaran lalu lintas.
"Harapan kami ialah pengguna lebih berhati-hati di jalan raya dan memandu dengan cermat. Sekiranya penat, berhenti di kawasan-kawasan rehat yang disediakan.
"Kami juga berharap para pengguna dapat merancang perjalanan mengikut jadual perjalanan yang telah kita sarankan," ujarnya.
Kumpulan MTD adalah syarikat konsesi yang mengendalikan LPT menghubungkan Kuala Lumpur ke Karak dan Karak ke Jabor di Terengganu.
Wednesday, May 4, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment