Pages


Thursday, May 5, 2011

Bila Wakil Rakyat Menggelabah di Parlimen

Perkemas kehadiran ke Parlimen

Disember 22, 2009 - Utusan Malaysia

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Sistem pengurusan kehadiran ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat perlu diperkemas bagi memastikan masalah kekurangan ‘kuorum’ semasa pengundian untuk meluluskan bajet tidak berulang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, langkah penambahbaikan daripada segi pengurusan itu perlu dibuat seperti dicadangkan oleh beberapa pihak sebelum ini.

“Ada beberapa cadangan yang dikemukakan untuk menyusun pengurusan (kehadiran). Pada satu ketika, kita pun tidak tahu ada pengundian waktu itu yang memerlukan kehadiran kita,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyatakan demikian pada sidang akhbar Majlis Penghargaan sempena Anugerah Kualiti dan Inovasi Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini hari ini.

Mohd. Shafie diminta mengulas ketidakhadiran pada sidang Dewan Rakyat Isnin lalu ketika pengundian meluluskan Bajet 2010 diadakan.

Kegagalan ramai ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk hadir semasa pengundian itu hampir menyebabkan Bajet 2010 tidak dapat diluluskan.

Berikutan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, perlu ada sistem penyelarasan maklumat yang berkesan bagi memastikan kehadiran ahli Parlimen BN sentiasa melebihi pembangkang pada persidangan Parlimen.

Mengenai ketidakhadiran pada sidang tersebut, Mohd. Shafie berkata: “Masa itu pun kita ada tugas, saya berada mungkin di luar tetapi saya tidak ingat dan dimaklumkan.”

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, beliau melakukan lawatan rasmi dua hari ke India semasa pengundian meluluskan Bajet 2010 di Dewan Rakyat diadakan Isnin lalu.

Bagaimanapun beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri membenarkannya.

“Saya memang tidak hadir pada hari itu kerana berada di India untuk satu lawatan rasmi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Bekerja Dari Rumah Kementerian Kerja Raya di sini hari ini.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...