April 21, 2009 - Utusan Malaysia
Wang DBP lambat 'kering'
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
rafie.azimi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 20 April - Biasanya kebanyakan ketua jabatan mahu pun organisasi sering 'sakit kepala' memikirkan masalah dana yang tidak pernah mencukupi.
Namun, berbeza pula dengan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz yang mungkin mengurut dahi bagi memikirkan cara untuk menghabiskan dana yang terlampau banyak.
Menurutnya, peruntukan sebanyak RM10 juta yang diberikan kerajaan pada tahun 2007 di bawah Dana Penggerak Industri Negara masih belum habis digunakan walaupun separuh daripada jumlah itu.
"Daripada RM10 juta, sebanyak RM8 juta sepatutnya diagih kepada penerbit buku bumiputera bagi membantu mereka menjalankan kerja-kerja penerbitan, manakala RM2 juta lagi diperuntukkan untuk melatih tenaga kerja penerbit tersebut.
"Malangnya, setakat ini, hanya RM3 juta sahaja dana yang digunakan. Permohonan yang diterima amat rendah meskipun kami mengiklankan mengenainya pada setiap bulan di dalam majalah-majalah terbitan kami," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan 200 judul buku yang terhasil melalui dana tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ditanya sama ada kerenah birokrasi menjadi punca kepada kurangnya dana itu dipohon, Termuzi menafikan dakwaan itu.
Tambahnya, soal birokrasi tidak timbul, namun masalah kekurangan penulis berkaliber perlu diberi perhatian pada masa ini.
"Tidak dinafikan, sememangnya ada tapisan yang perlu dilalui bagi mendapatkan dana itu. Namun, ia tidak menjadi soal kerana kami sememangnya mementingkan mutu penerbitan yang bakal dihasilkan.
"Kekurangan penulis berkaliber mungkin menjadi punca. Kebanyakan karya ahli akademik yang berkualiti diterbitkan sendiri oleh institusi pengajian tinggi. Golongan masyarakat yang lain pula tidak ramai yang mahu menulis," katanya.
Justeru, beliau menyarankan siswazah yang masih menganggur dan mempunyai kebolehan dalam bidang kerja penerbitan buku agar menyertai mana-mana syarikat penerbitan bagi memperolehi faedah daripada dana itu.
Katanya, siswazah terbabit boleh menggabungkan kebolehan untuk menulis, melukis dan mengolah idea mereka dengan penerbit bagi menghasilkan buku yang bermutu.
"Hasil daripada itu, kedua-dua pihak (penerbit dan siswazah) mampu mengambil peluang daripada dana yang kami sediakan ini," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment