Pages


Wednesday, May 4, 2011

Apabila Pelajar Tak Faham Sejarah

April 21, 2009 - Utusan Malaysia

Pendidikan kita tersilap?

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 April - Mungkinkah kita tersilap dalam merencana pemikiran anak muda sehingga berlakunya kekacauan politik seperti hari ini?

Persoalan itu wajar dilontar setelah penganalisis politik, Profesor Emeritus, Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim mendedahkan mengenai kelemahan sistem pendidikan di negara ini.

Menurutnya, sistem pendidikan negara ini telah melakukan kesilapan dengan tidak menerangkan mengenai kepentingan memahami sejarah dan mengamalkan rukun negara kepada pelajar.

"Kita terlampau menumpukan kepada Sains dan Matematik. Kononnya Sains dan Matematik mampu memberikan mereka kerja yang baik dengan gaji lumayan.

"Tetapi kita lupa. Sebanyak mana pun mereka mempelajari Sains dan Matematik, mereka tidak sepatutnya melupakan sejarah kerana ia mampu mengingatkan kita kepada sistem demokrasi berperlembagaan yang kita amalkan," katanya.

Beliau berkata demikian setelah menyempurnakan majlis pelancaran buku Kisah Dongeng dan Cerita Rakyat Malaysia dan Jerman di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd. Khair Ngadiron dan Pengarah Goethe-Institut Malaysia, Volker Wolf yang juga penyelenggara buku tersebut.

Kay Kim dalam pada itu turut memberi amaran betapa negara ini akan terus berhadapan dengan masalah politik yang dihadapi pada masa ini sekiranya golongan pendidik tidak memainkan peranan bagi memberi penjelasan mengenai perlembagaan dan perundangan negara.

"Anak-anak kita seolah-olah hanya dididik mengenai kepentingan mencari wang. Pada waktu yang sama, kita menyebut tentang rukun negara, perlembagaan dan perundangan negara.

"Semua itu dianggap tidak penting. Yang lebih penting adalah lulus dalam peperiksaan, mendapatkan kerja yang baik dan bergaji besar. Maka, ia jelas menjadi masalah dalam sistem pendidikan kita," katanya sinis.

Sementara itu, Kay Kim turut membidas segelintir media yang dianggap tidak cukup ikhlas dalam memperjuangkan negara bangsa.

Katanya, ia mungkin disebabkan media kini dimiliki oleh golongan tertentu yang menyokong pihak tertentu sekali gus memaksa mereka tidak menyiarkan pandangan sesetengah pihak.

"Saya sendiri beberapa kali cuba memberi penjelasan mengenai isu berkaitan, tetapi tidak disiarkan oleh media tertentu.

''Ini tidak seharusnya berlaku, jika media bertindak sebagai ahli politik dan tidak mempunyai komitmen terhadap pembentukan negara yang padu dan makmur, maka rakyat akan menderita," jelasnya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...