April 13, 2010 - Utusan Malaysia
Bakal menjalankan penyelidikan bagi menemui vaksin penyakit berjangkit
Makmal Biokeselamatan UM
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 12 April - Universiti tertua negara, Universiti Malaya (UM) hari ini melakar sejarah apabila buat pertama kalinya membuka Makmal Biokeselamatan Tahap 2 dan 3 yang termaju dan pertama seumpamanya di rantau ini.
Fasiliti penyelidikan bernilai RM10 juta yang dibina berdasarkan teknologi dari Perancis itu merupakan makmal pertama di Malaysia yang menepati pensijilan piawaian dan garis panduan biokeselamatan antarabangsa sepenuhnya.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, melalui penubuhan makmal tersebut, beliau berharap lebih banyak kajian dijalankan bersama penyelidik antarabangsa bagi menemui vaksin penyakit berjangkit.
"Makmal biokeselamatan di Pusat Kajian dan Penyelidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Fakulti Perubatan, UM ini akan menjalankan kajian seperti virus Nipah, selsema babi atau influenza A (H1N1), Chikungunya dan denggi.
"Penyakit-penyakit berjangkit ini perlu dikaji supaya punca serta vaksin bagi mengatasinya dapat ditemui," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Fasiliti Penyelidikan Agen Terkawal (Makmal Biokeselamatan Tahap 2 dan 3) di Universiti Malaya di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pro Canselor, Toh Puan Dr. Aishah Ong dan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Dr. Hamzah Abdul Rahman serta Duta Perancis ke Malaysia, Marc Barety.
TIDREC yang juga diiktiraf sebagai salah satu Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) negara antara lain berperanan menganjurkan latihan dan pengajaran melalui pelbagai bengkel dan seminar terutamanya dalam bidang biokeselamatan.
Selain itu, TIDREC juga bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan untuk membangunkan vaksin dan diagnostik melibatkan penyakit dan senjata biologi.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled berkata, kajian dan pembangunan (R&D) dalam bidang perubatan amat penting untuk penemuan saintifik selain berupaya menjayakan aspirasi kerajaan membangunkan ekonomi berasaskan inovasi.
Sehubungan itu, katanya, adalah penting bagi setiap Fakulti Perubatan di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai hospital pengajaran (teaching hospital) sendiri supaya lebih banyak penyelidikan dapat dijalankan.
"Daripada 10 buah universiti awam di negara ini yang menawarkan kursus perubatan, hanya tiga daripadanya mempunyai hospital pengajaran ketika ini," katanya.
Tambah beliau, untuk Rancangan Malaysia Kesepuluh, kementerian akan menggalakkan lebih banyak penyelidikan melibatkan kerjasama penyelidik di dalam dan luar negara yang memberikan impak kepada masyarakat.
Wednesday, May 4, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment