Pages


Wednesday, May 4, 2011

RTM-TV3 Bergabung?

April 2, 2010 - Utusan Malaysia

RTM, swasta jalin kerjasama

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 April - Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan mengadakan program pertukaran kepakaran yang melibatkan kakitangan penyiar dan teknikalnya bersama syarikat media swasta seperti Kumpulan Media Prima dan Astro tidak lama lagi.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, program untuk tempoh dua atau tiga bulan itu bertujuan mewujudkan situasi harmoni antara syarikat swasta dengan penyiar rasmi kerajaan.

"Jika penting, kita boleh panjangkan tempohnya sedikit dan latihan akan diberikan kepada pengusaha-pengusaha penyiaran supaya kita dapat perbandingan nilai amalan.

"Kita ingin menjayakan perjuangan penyiaran dalam konteks 1Malaysia melalui pertukaran kepakaran dan pengalaman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan RTM 64 Tahun di Auditorium Perdana Angkasapuri di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf.

Pada majlis tersebut, Rais turut melancarkan buku yang memuatkan sejarah RTM bertajuk Merentas Zaman serta menyampaikan cek Pos Malaysia Berhad untuk Tabung Bencana RTM bernilai RM50,000.

Beliau juga menyampaikan sumbangan Tabung Kebajikan Penggiat Seni kepada 22 penggiat seni tanah air.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rais mengingatkan pentingnya kakitangan stesen penyiaran itu menyampaikan penerangan yang tepat kerana ia dapat mengelakkan sebarang perselisihan faham.

Beliau berkata, tugas mendidik, memaklum dan menghibur tidak dapat dipisahkan malah harus dicurahkan sepenuhnya oleh warga RTM menerusi perkhidmatan yang terbaik.

Tambah beliau, misi terbesar RTM kini lebih meluas bagi menjayakan gagasan 1Malaysia serta menjelaskan peranan dan dasar setiap kementerian di negara ini.

"Kita masih dianggap oleh rakyat dan industri sebagai penyiar utama di Malaysia kerana di sinilah lahirnya pentadbir, jurugambar, juruhebah dan juruteknik.

"RTM menjadi penyambung perjuangan tanah air sejak lahirnya UMNO pada 1946 dan pembentukan Malaysia pada 1963," katanya.

Sementara itu, Rais berkata, perjuangan memperkasakan bahasa Melayu harus dijalin bersama seni budaya selaras dengan usaha merakyatkan RTM di kampung, pekan, estet serta wilayah di Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, sekiranya RTM tidak turun padang, maka ia akan kehilangan taringnya dan tidak mampu untuk bangkit lagi dalam dunia penyiaran.

Sehubungan itu, katanya, RTM akan membawa orkestranya turun ke kampung-kampung dalam kumpulan kecil supaya masyarakat akan sentiasa mengingati stesen penyiar rasmi kerajaan tersebut.

"Orkestra RTM akan pergi ke kampung pada musim menuai padi atau menoreh getah untuk menemui penduduk di sana dan akan memberikan layanan baik kepada mereka yang mengambil bahagian dalam program tersebut.

"Kita akan pecahkan kepada beberapa segmen termasuk hiburan, nyanyian dan komedi," katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata, para pengusaha industri kreatif yang menghasilkan program-program tempatan harus berfikir 'luar daripada kotak' selain menjayakan aspirasi kerajaan.

Sambutan RTM 64 Tahun selama empat hari di pekarangan Kompleks Angkasapuri itu juga akan diserikan dengan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil, Konsert Merentas Zaman serta Karnival Sorakan 1Malaysia 1Dunia.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...