Pages


Tuesday, June 19, 2012

'Masi Gang' Crippled





'Geng Masi' tumpas

June 5, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 4 Jun - Polis berjaya melumpuhkan kumpulan penjenayah dikenali sebagai 'Geng Masi' yang dipercayai menjadi dalang dalam 15 kes samun bersenjata dan pecah rumah di sekitar bandar raya ini selepas menahan empat lelaki dipercayai anggota kumpulan itu awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, hasil maklumat awam, keempat-empat suspek berkenaan yang berusia lingkungan 23 hingga 28 tahun, ditahan dalam serbuan di hadapan sebuah restoran di Persiaran Desa Rishah di sini.

"Pihak polis telah merampas serta membuat pemeriksaan terhadap kenderaan jenis Proton Putra berwarna putih milik salah seorang suspek yang dipercayai digunakan dalam kegiatan samun.

"Hasilnya, kita menjumpai 50 jenis barang yang disyaki hasil samun seperti jam tangan, telefon bimbit, kamera, dompet dan komputer riba dalam kenderaan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azisman berkata, siasatan polis mendapati kumpulan berkenaan giat melakukan samun pada tengah malam dan awal pagi di sekitar taman perumahan terutamanya di kawasan sunyi dan terpencil.

Menurut beliau, dua daripada empat suspek berkenaan mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan samun, dadah serta curi kenderaan.

"Kesemua suspek didapati positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan dan mereka kini ditahan reman selama lima hari bermula semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Pas Members Join UMNO

688 ahli Pas sertai UMNO

June 3, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

LARUT 2 Jun - Seramai 360 ahli Pas Titi Kasai dan 328 lagi dari Felda Ijok, bertindak keluar parti itu selepas kecewa dengan perjuangan yang dianggap tidak lagi berteraskan Islam sebenar selain hanya merebut kuasa atas tiket peribadi.

Bekas Setiausaha Cawangan Pas Titi Kasai, Abdul Wahab Mahmod, 43, berkata, beliau kecewa dengan janji kosong yang ditaburkan pemimpin Pas setelah 23 tahun menjadi ahli parti berkenaan.

"Dulu saya sokong Pas kerana ia mendokong Islam, namun apabila saya sudah mendalami ilmu, Islam itu bukannya hanya terletak pada Pas malah menjadi tanggungjawab individu itu sendiri untuk menjaganya.

"Pas sekarang agresif serta tidak menyenangkan banyak pihak. Satu-satu markas Pas boleh laung takbir 'Allah Maha Besar' tetapi pada masa sama, mereka kata 'mampus UMNO'. Mereka sebut kalimah yang suci dan selepas itu mereka maki balik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan borang keahlian UMNO yang disampaikan kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin pada majlis kenduri rakyat di Kampung Titi Kasai, Batu Kurau, di sini.

Terdahulu, Hamzah turut menyertai 500 konvoi bermotor anak muda yang bermula dari Ulu Sepetang ke Kampung Titi Kasai di sini.

Seorang lagi ahli UMNO baru dari Felda Ijok, Zaharudin Zakaria, 55, pula menyifatkan sokongan yang diberikannya kepada parti itu selama 30 tahun hanya sia-sia.

Menurut Zaharudin, Pas turun padang semata-mata untuk meraih undi tanpa menghulurkan sebarang bantuan sebaliknya mengumpan dengan janji-janji kosong kepada penduduk setempat.

"Mengundi Pas hanya menguntungkan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Menantu saya duduk di Pulau Pinang kata hidup di sana susah, hendak beli rumah pun sukar, jadi terpaksa balik ke sini," katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, melalui penyertaan sebagai ahli UMNO, beliau yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengulangi kemenangan '4-0' melibatkan kerusi Parlimen Larut dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Batu Kurau, Kubu Gajah dan Selama.

Menurutnya, daripada sejumlah 42,000 pengundi di Parlimen Larut ketika ini, hampir 30,000 daripadanya menyokong UMNO manakala seramai 3,000 dan 2,000 lagi menyokong MIC dan MCA.

"Hari ini kemasukan ahli UMNO baru ini hanya melibatkan dua DUN sahaja iaitu Batu Kurau dan Kubu Gajah.

"Selepas ini, kita akan buat untuk DUN Selama pula. Ramai ahli pembangkang kini sudah mula menyertai UMNO untuk bersama-sama membela nasib bangsa, agama dan negara," katanya.

Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah





Stesen janakuasa TNB mesra alam

June 1, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

LUMUT 31 Mei - Melintasi Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) yang menjana tenaga elektrik menggunakan teknologi arang batu di Seri Manjung, di sini ibarat menyaksikan sebuah reaktor nuklear.

Apatah lagi kawasan seluas 325 hektar yang dikawal rapi serta dibangunkan di atas sebuah pulau tebus guna itu mempunyai satu cerobong tunggal setinggi 200 meter.

Jika dilihat dari jauh, ia seolah-olah mengeluarkan asap hasil janaan sumber asli hidrokarbon tersebut yang dilonggok di ruang simpanan yang boleh memuatkan sehingga 700 ribu tan metrik arang batu.

Namun hakikatnya, 'asap' berkenaan hanyalah sejenis wap air atau stim yang dihasilkan di unit penjanaan pada tekanan dan suhu tinggi sebelum disalurkan ke turbin.

Turbin yang digerakkan bersama penjana pada kelajuan 3,000 rpm pula menghasilkan output tenaga elektrik yang kemudiannya disambung ke jaringan Grid Nasional.

Justeru, SJSAS yang dibangunkan dengan mengambil kira faktor sensitiviti alam sekitar, menggunakan teknologi pembakaran arang batu bersih selain penggunaan arang batu bersulfur rendah.

Ketua Pegawai Operasinya, Shamsul Ahmad (gambar) berkata, selain penggunaan pembakaran sistem arang batu berhablur (pulverised coal firing) yang mampu meningkatkan kecekapan pemprosesan, pengambilan sampel air dan tanah secara berterusan di kawasan berkenaan bertujuan memastikan ia menepati standard yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar.

Maka, menurutnya, tidak hairanlah stesen yang diilhamkan sejak 1996 itu mendapat akreditasi MS ISO 14001:2004 Pengurusan Alam Sekitar dan MS ISO 9001:2000 bagi Sistem Pengurusan Kualiti.

"Malahan, pembangunan stesen berkenaan yang berteraskan strategi nasional bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber gas asli telah memanfaatkan kira-kira 4 juta rakyat terutamanya di Semenanjung Malaysia.

"Lebih mengagumkan, stesen terbesar dalam sistem TNB itu berupaya menghasilkan sehingga 2,100 megawatt (MW) sehari menerusi tiga unit penjanaan dengan penghasilan 7,000 MW setiap satu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini..

Biarpun begitu, menurutnya, TNB Jana Manjung Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh TNB yang mengendalikan SJSAS, mengunjurkan peningkatan pendapatannya sehingga RM5 bilion apabila satu lagi Projek Manjung 4 dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada Mac 2015.

"Projek yang dibangunkan di kawasan seluas 32 hektar di stesen berkenaan bakal membekalkan tenaga elektrik tambahan sebanyak 1,000 MW, sekali gus menjadikan ia mampu menjana sejumlah 3,100 MW tenaga sehari.

"Menggunakan kaedah mesra alam paling terkini iaitu super critical boiler technology, ia turut dijangka mampu memberi limpahan manfaat kepada keseluruhan 6 juta penduduk di Semenanjung Malaysia,'' katanya.

Jelasnya, sistem ini merupakan satu teknologi yang memberi pulangan dari segi kecekapan dalam pembakaran arang batu. Selain mencapai tahap pembakaran lebih efisien dengan hasil yang lebih, ia turut menjimatkan kos.

"Projek ini bergerak lebih awal daripada yang dijadualkan dan ketika ini, 25 peratus daripadanya berjalan dengan lancar," katanya.

Projek Manjung 4 dilaksanakan secara kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) oleh konsortium yang terdiri daripada Alstom Power System SA, Alstom (Wuhan) Engineering & Technology Co. Ltd, Alstom Services Sdn. Bhd., China National Machinery Import & Export Corp. dan CMC Machipex Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, stesen berkenaan yang beroperasi dengan kos pengendalian sebanyak RM7.3 bilion kini menggunakan 20,000 tan metrik arang batu import sehari terutamanya dari Kalimantan, Indonesia dan Australia.

Beliau berkata, kuantiti tersebut dijangka bertambah sebanyak 8,000, justeru menjadikan hampir 30,000 tan metrik bakal digunakan seharian menerusi Projek Manjung 4.

"Projek ini nanti bukan sahaja dapat meningkatkan bekalan tenaga elektrik, malah ia mampu menjana keupayaan vendor tempatan dalam memberi peluang pekerjaan, selain membantu kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perak," katanya.

Ditanya mengenai masalah ampai-ampai laut yang boleh mengganggu sistem penyejukan sehingga menyebabkan unit-unit penjana 'tersumbat', beliau berkata, perkara itu telah berjaya diatasi.

"Kita telah memasang jaring di sekeliling pengambilan air laut untuk sistem penyejukan supaya ampai-ampai ini tidak boleh masuk ke dalamnya.

"Sekiranya tidak berbuat demikian, unit-unit penjana ini akan terpelantik (terpadam secara automatik) sehingga menyebabkan ia gagal berfungsi," katanya.

Wednesday, May 30, 2012

Mantera - New Malaysian Science Fiction Movie



Filem Mantera pahat nama Ipoh

May 24, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 23 Mei - Tatkala tumpuan dunia memandang kepada kecanggihan seni visual grafik Hollywood dalam bidang animasi, siapa sangka anak tempatan juga berupaya menghasilkan versi sama dalam mengejar rentak perfileman global.

Meskipun Mantera tidak gah seperti filem Transformers lakonan aktor sensasi Shea Le Bouf, namun penghasilan filem tersebut yang disasarkan kepada golongan muda dan remaja masih boleh dibanggakan.

Apatah lagi, 90 peratus daripada krew penerbitan yang terlibat secara langsung dalam pembikinan filem itu terdiri daripada anak tempatan.

Lebih membanggakan, kesemua proses suntingan turut dilakukan di bandar raya ini termasuk di Pusat Sumber Kreatif dan Inovasi Perak (Pincer).

Mantera yang mempertaruhkan penyanyi Tomok dan Shiqin Kamal sebagai pelakon utama, diadun dalam dua versi iaitu tempatan dan antarabangsa.

Filem bercorak sains fiksyen tersebut turut mendapat sentuhan pascaproduksi oleh editor terkenal Hollywood, Sherwood Jones.

Dibintangi beberapa pelakon antarabangsa seperti Mikhail Dorojkin, Kamaliya (Ratu Cantik Dunia 2008), Saide-Dashuk Nighmatulin dan Wael Al-Masri, filem ini juga mempraktikkan penggunaan teknologi imej janaan komputer (CGI).

Mengambil kira latar tempat berbeza bagi meleraikan plot penceritaannya, maka tidak hairanlah proses penggambaran filem ini dilakukan di tiga lokasi berbeza iaitu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE); Moscow, Rusia dan Kuala Lumpur.

Mantera yang dihasilkan bersama oleh Spacetoon Media Hub Malaysia (Spacetoon Malaysia) dan Flare Studios, sebenarnya merupakan singkatan kepada MAN Transformable Exo Robotic Armor iaitu sebuah prototaip sistem persenjataan.

Sementara itu, Pengerusi Spacetoon Malaysia, Fayez Al Sabbagh berkata, filem yang menelan belanja kira-kira RM15 juta itu mendapat sokongan kerajaan negeri menerusi K-Perak dan Perak E-Organization Sdn. Bhd.

Beliau berkata, filem tersebut akan dipasarkan menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani ke beberapa buah negara Arab dan Amerika Latin selain disiarkan di saluran televisyen di Perancis.

"Filem ini merupakan filem sains fiksyen pertama yang menggunakan animasi CGI, diproses dan dibangunkan di sini.

"Apabila kita berunding dengan Universal Studios dan Fox Movies, mereka kagum dan terkejut apabila mengetahui kesemua animasi ini dihasilkan di Ipoh," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Zambry Abd. Kadir yang hadir menyaksikan pratonton filem berkenaan baru-baru ini berkata, Mantera bakal membuka lembaran baru dalam bidang animasi di negeri ini.

Beliau berkata, ia sekali gus menjadi kayu pengukur kepada anak tempatan untuk menghasilkan filem bergenre sama di peringkat antarabangsa.

"Kita berharap filem ini akan mendapat sambutan serta disusuli dengan beberapa sekuelnya," tambah Zambry yang turut mengatakan Mantera akan ditampilkan dengan beberapa bentuk cenderamata sebagai promosi.

Filem Mantera kini sedang ditayangkan di pawagan seluruh negara..

Teacher's Day Festival 2012

Lebih 50,000 meriahkan festival

May 17, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

KUALA KANGSAR 16 Mei - Lebih 50,000 pengunjung termasuk warga pendidik memeriahkan Festival Hari Guru 2012 anjuran Kumpulan Utusan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford sejak Sabtu lalu.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat di sini dalam menghadiri pelbagai acara yang dianjurkan termasuk mini konsert, ceramah agama dan wayang pacak.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran, kerajaan negeri, Jabatan Pelajaran Negeri Perak dan SMK Clifford sendiri yang banyak memberikan kerjasama dalam menjayakan festival ini.

"Sesungguhnya festival yang kita anjurkan ini adalah sebagai tanda pihak Utusan menyanjung serta menyokong tinggi pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan oleh para guru kepada anak bangsa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sepanjang tempoh lima hari festival tersebut berlangsung, lebih 100 pameran daripada pelbagai syarikat dan agensi kerajaan mengambil bahagian selain penglibatan kira-kira 50 gerai peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) di luar khemah utama, dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Selain gerai pameran dan jualan, festival turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot utama watak animasi Upin dan Ipin, persembahan kebudayaan oleh pelajar Sekolah Seni Johor Bahru serta lukisan karikatur bersama pelukis akhbar Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Mohd. Nasir berkata, Kumpulan Utusan akan terus menyokong penganjuran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan yang dijangka disambut di Sabah tahun depan.

Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada para penaja festival tersebut seperti KPerak, MBSB, Celcom, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Bank Pembangunan dan Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Antara syarikat yang turut sama memeriahkan festival kali ini termasuklah Proton, Celcom, Bank Simpanan Nasional (BSN), Sasbadi, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. serta Suruhanjaya Sekuriti.

Institusi pengajian tinggi (IPT) turut tidak ketinggalan menyertai festival tersebut, antaranya ialah University of Nottingham Malaysia Campus, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) dan Kolej Antarabangsa Kirkby Cyberjaya.

Teacher Love Students

'Budayakan Guru Penyayang'

May 16, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

KUALA KANGSAR 15 Mei - Semua sekolah di negara ini disaran membudayakan program 'Guru Penyayang' bagi menyemai sifat semulajadi dalam kalangan para pendidik selain meningkatkan motivasi para pelajar untuk ke sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud berkata, program yang bermula sejak Mac lalu itu dilaksanakan di kira-kira 70 peratus daripada 10,000 sekolah di seluruh negara.

"Berdasarkan kajian Indeks Persepsi Murid (IPM) yang telah kita jalankan sejak program ini dilancarkan beberapa bulan lalu, kira-kira 50.8 peratus murid menganggap guru mereka sebagai penyayang, 46.6 peratus pula sederhana dan 3.6 peratus lagi kurang penyayang.

"Justeru itu, kita harap program ini dapat dilaksanakan 100 peratus di semua sekolah di negara ini kerana secara psikologinya, apabila murid dibantu dengan motivasi dan kasih sayang, ia akan menggalakkan mereka untuk hadir ke sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program Guru Penyayang peringkat kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin, di sini hari ini yang turut dihadiri Pemangku Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Idris Ramli.

Pada majlis tersebut, Abd. Ghafar turut sama mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah pada awal pagi, selain menyampaikan kad hari lahir. Beliau turut menyaksikan pemotongan kek bagi murid dan guru sekolah berkenaan yang jatuh hari kelahiran pada bulan ini.

Program Guru Penyayang yang antara lain bertujuan menginsafi bahawa kehadiran setiap murid merupakan rahmat dan aset kepada sekolah turut menitikberatkan tiga aktiviti utama bagi fasa pertama pelaksanaannya.

Ia termasuk guru mengalu-alukan kehadiran murid, memberi penghargaan kepada mereka serta melaksanakan program 'Mentor Mantee' bagi mendalami aspek kebajikan dan sahsiah murid, sekali gus para pendidik perlu lebih kreatif dalam merapatkan hubungan bersama.

Dalam pada itu, Abd Ghafar berkata, beliau yakin bahawa pendidikan merupakan penawar utama dalam mengatasi masalah gejala sosial kerana sekolah merupakan ejen sosialisasi utama yang berupaya untuk melakukan sebarang perubahan dari peringkat awal.

Justeru itu katanya, persekitaran sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi menyumbang kepada pembentukan daya pemikiran kritis, kreatif dan inovatif meliputi aspek rohani dan jasmani selaras Falsafah Pendidikan Negara.

"Statistik Kementerian Pelajaran bagi tempoh lima tahun bermula pada 2007 melibatkan kes pergaduhan, ponteng dan kekemasan diri telah menurun daripada 2.07 peratus kepada 2.05 peratus pada tahun lalu.

"Masalah ponteng sekolah merupakan isu utama yang perlu diberi perhatian, namun kementerian telah berjaya mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ingin dicapai," katanya.

Proposed New LCCT in Northern Perak

Perak tetap mahu buka LCCT

May 15, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 14 Mei - Kerajaan negeri akan meneruskan rundingan bersama kerajaan Pusat bagi merealisasikan hasrat membuka sebuah terminal penerbangan tambang murah (LCCT) di utara Perak walaupun terdapat kebimbangan ia bakal menjejaskan lapangan terbang sedia ada di Pulau Pinang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, LCCT yang akan dikenali sebagai Terminal Udara Utara Malaysia (UMAT) itu wajar dilihat dalam konteks kerjasama yang bakal memberi manfaat terutamanya di negeri-negeri utara Semenanjung.

“Saya tidak mengatakan idea ini akan diberhentikan, sebaliknya memerlukan perbincangan lanjut dan berharap perkongsian pintar antara kerajaan negeri dengan swasta ini akan diletakkan di bawah ‘blueprint’ Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

“Kita juga sedang bekerjasama dengan Sime Darby kerana mereka memiliki kawasan tanah yang luas di sana, tetapi saya tidak boleh beritahu di mana tempatnya pada masa ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program Selamat Pagi Perak anjuran Perak FM bertajuk Pelaburan Perak: Cabaran dan Prospek di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zambry berkata, pembukaan lapangan tersebut yang dicadang oleh AirAsia untuk menjadi LCCT serantau, bakal menggalakkan aliran transit dan pergerakan manusia di Asia Tenggara apabila model sama akan dibuka di Filipina dan Vietnam.

Tambah beliau, projek pelaburan yang akan menelan belanja jutaan ringgit itu juga bakal dilengkapi dengan pembangunan sebuah bandar baru termasuk industri berkaitan terutamanya pelancongan.

“Apabila kita bercadang untuk membuka LCCT ini, kita juga sebenarnya mengambil kira lapangan terbang berhampiran (di Pulau Pinang) yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan.

“Lapangan Terbang Pulau Pinang merupakan lapangan antarabangsa dan ia tidak akan diganggu tetapi cadangan yang kita kemukakan ini agak berbeza kerana ia menggalakkan pertumbuhan di peringkat bandar," katanya.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...