Pages


Saturday, April 27, 2013

Not Losing Hope

 
Pix Credit : Malaysian Insider

BN Perak tumpu 59 DUN

IPOH 23 Feb. - Barisan Nasional (BN) akan menumpukan perhatian di semua 59 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di kawasan kubu kuat pembangkang yang dianggap 'tiada harapan' bagi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sepatutnya tidak ada istilah 'tiada harapan' bagi mana-mana kawasan kerana akhirnya rakyat sendiri akan membuat keputusan.

''Tempat-tempat itu jangan kita anggap sudah tiada harapan kerana ada yang beranggapan kita tidak perlu memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan yang sudah tentu kita tidak menang.

''Kita tidak boleh membuat andaian sedemikian kerana keadaan mungkin berlaku sebaliknya kerana akhirnya rakyat yang menentukan kerajaan mana yang mereka mahukan," katanya selepas melancarkan pertandingan esei DKLS Linguistic Ambassador anjuran bersama British Council di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah British Council Malaysia, Gavin Anderson dan Pengarah Eksekutif DKLS Industries Berhad, Ir. Sam Tuck Wah.

Zambry diminta mengulas kenyataannya sebelum ini bahawa BN akan membuat kejutan di DUN Pantai Remis ketika mengadakan program turun padang di Parlimen Beruas baru-baru ini.

Menurut Zambry, jentera parti perlu memfokuskan perhatian di semua kawasan memandangkan kemenangan BN diukur berdasarkan kemampuan parti itu menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau turut menekankan tiga aspek yang menjadi kunci kemenangan BN di Perak iaitu calon diterima rakyat, strategi serta pemahaman politik dan penyelesaian masalah di sesebuah kawasan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan pemberian bantuan kerajaan sebagai makanan haiwan sedangkan mereka melancarkan kempen negara kebajikan di Tambun semalam, Zambry berkata, itu sememangnya sikap pembangkang.

Illegal Firecrackers Seized



UPP rampas mercun RM500,000


GERIK 7 Feb. - Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Perak dengan kerjasama UPP Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai hampir RM500,000 setelah menyerbu sebuah lori yang diletakkan di tepi Jalan Gerik-Kuala Kangsar, dekat Hospital Gerik di sini semalam.

Komander UPP Perak, Asisten Supritendan Kasturi Othman berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 8.30 pagi itu, hasil maklumat awam dan risikan bagaimanapun gagal mengesan pemandu lori jenis Hicom Perkasa muatan lima tan tersebut meskipun setelah menunggu selama dua jam.

"Hasil pemeriksaan lori berwarna putih yang ditutup dengan kanvas itu, kita menemukan 150 kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api buatan China yang diseludup dari Thailand sebelum dibawa masuk ke negara ini melalui Kelantan.

"Lori berkenaan disyaki membawa muatan mercun dan bunga api menghala ke Gerik melalui Lebuh Raya Timur Barat Jeli-Gerik," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kasturi berkata, pihaknya akan menyerahkan kesemua hasil rampasan tersebut kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, setakat ini, rampasan tersebut merupakan yang pertama dan terbesar di Perak untuk tahun ini.

"Kita akan mengetatkan kawalan pintu masuk dan laluan Bukit Berapit menjelang perayaan Tahun Baharu Cina. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan boleh menghubungi UPP Perak di talian 04-4778663," kata beliau.

Wednesday, April 17, 2013

Mum, Children Burn To Death

 

Ibu serta tiga anak rentung


SUNGAI SIPUT 5 Feb. - Seorang ibu dan tiga anaknya mati rentung dengan dua daripadanya ditemui dalam keadaan berpelukan di rumah mereka yang terbakar di Taman Bukit Medan di sini tengah malam tadi.

Kejadian menyayat hati itu berlaku selang beberapa hari selepas kematian ketua keluarga mereka, S. Rajan, 48, pada Jumaat lalu.

Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam itu ialah S. Jeyaletchumi, 45; dan tiga anaknya, R. Thilagawati, 23; R. Buvaneswary, 20; dan R. Sugan, 16.

Jiran mangsa, Mok Kam Hing berkata, dia menyedari kebakaran itu sewaktu sedang menonton televisyen sebelum terdengar bunyi letupan kuat yang disangkanya mercun.

"Namun, setelah menjenguk ke luar rumah, saya dapati rumah sebelah sedang marak terbakar. Saya rasa letupan itu mungkin berpunca daripada tong gas, maka saya terus menelefon pihak bomba," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi jiran mangsa, Wah Kam Heng pula mendakwa, letupan kuat berkenaan turut mengakibatkan retakan di bahagian dinding rumahnya.

Sementara itu, difahamkan, keluarga berkenaan merahsiakan kematian Rajan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh akibat kanser paru-paru daripada pengetahuan jiran termasuk keluarga terdekat.

Abang kepada Jeyaletchumi, S. Ramesh Rao, 47, berkata, dia terkejut dengan tindakan nekad keluarga adik keempatnya itu yang difahamkan baru menetap di kawasan berkenaan sejak hampir sembilan bulan lalu.

Lebih mengejutkan, dia yang menetap di Taman Muhibbah di sini turut mendakwa baru sahaja mengetahui kematian adik iparnya yang disembunyikan oleh Jeyaletchumi dan anak-anaknya.

"Saya difahamkan pengkebumian Rajan diuruskan sendiri mereka Sabtu lalu. Memang mereka bertindak menjauhkan diri daripada keluarga kandung dan mertua sejak tiga tahun ekoran perselisihan faham," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput dan Ipoh bergegas ke tempat kejadian pada pukul 12.22 tengah malam.

Beliau yang mengesahkan siasatan kejadian itu setakat ini tidak mempunyai unsur jenayah berkata, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur dan berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 35 minit kemudian.

"Punca kejadian masih disiasat namun kita tidak tolak kemungkinan berpunca daripada letupan tong gas.
"Siasatan awal mendapati keempat-empat mangsa terlalu tertekan dengan kematian ketua keluarga mereka beberapa hari lalu.

"Maka, kita juga tidak menolak kemungkinan bahawa mereka membuat satu tindakan yang melulu," katanya.

Tuesday, February 12, 2013

RTD Vehicle Torched

Dua kertas siasatan siap - Polis

Pix Credit: taotauajer.blogspot.com
IPOH 27 Jan. - Polis melengkapkan kertas siasatan berhubung kes kemalangan dan cubaan membakar kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Ipoh-Lumut dekat Ayer Tawar pada 11 Januari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kedua-dua kertas siasatan itu yang dibuka mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, siasatan pihaknya dijalankan dengan mengambil kira kenyataan tiga pegawai JPJ yang terlibat termasuk saksi.

Polis juga menahan enam individu dan turut mencadangkan pendakwaan terhadap beberapa individu lain yang dirasakan bertanggungjawab dalam insiden berkenaan.

"Kesemua yang ditahan bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin. Ketika ini, polis menunggu keputusan sama ada perlu siasatan lebih lanjut atau tindakan lain.

"Saya juga tidak dapat mendedahkan sebarang hasil siasatan kerana tidak mahu berlaku sebarang percanggahan fakta. Apa yang penting, polis melengkapkan siasatan dan menunggu keputusan pendakwa raya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkenaan Ops Limau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK), di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim.

Polis sebelum ini, menahan empat suspek bagi membantu siasatan kes setelah kenderaan JPJ itu didakwa menjadi punca kemalangan teruk membabitkan lapan kenderaan termasuk dua bas sekolah.

Mereka yang berusia antara 17 hingga 40 tahun ditahan di sekitar Ayer Tawar dan Sitiawan pada 11 dan 12 Januari lalu.

Kenderaan JPJ berkenaan diterbalikkan sebelum dibakar dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Tindakan pantas anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan dan Seri Manjung berjaya mengawal keadaan sekali gus mengelakkan kenderaan jenis Toyota Fortuner itu musnah terbakar.

Ekoran kemalangan itu, empat orang mengalami kecederaan parah manakala 25 lagi menerima rawatan pesakit luar di Hospital Manjung.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan negeri turut mengarahkan Mohd. Shukri menyediakan laporan lengkap berhubung insiden berkenaan kerana ia telah dipolitikkan pihak tertentu, sekali gus boleh menggugat ketenteraman awam.

Mohd. Shukri dalam pada itu turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi supaya siasatan secara profesional itu dapat memberi keadilan kepada polis termasuk mangsa kemalangan.

Police Seek 2 Suspects in Car Theft

 

Pix Credit : Ipoh Echo

Polis buru dua anggota sindiket curi kenderaan

IPOH 27 Jan. - Polis sedang memburu dua penjenayah yang terlibat dalam sindiket mencuri kenderaan mewah di sekitar Lembah Klang dan Selangor selepas menahan seorang rakan mereka di Sitiawan awal pagi semalam.

Suspek berusia 26 tahun ditahan di sebuah stesen minyak ketika menaiki sebuah kereta jenis BMW 323i berwarna kelabu kerana disyaki terlibat dalam 12 kes jenayah termasuk dadah.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan, sebaik sahaja polis menahan lelaki itu dua rakannya masing-masing memandu sebuah kereta jenis BMW berwarna biru dan Honda CRZ berwarna merah, memecut menghala ke Pantai Remis.

Katanya, dua suspek itu melarikan diri setelah kenderaan BMW biru itu terbabas melanggar sebuah rumah di persimpangan Kuari Tin, Sungai Batu sementara kereta Honda CRZ pula ditinggalkan di kawasan perumahan di Jalan Gereja, Pantai Remis.

“Semakan polis terhadap tiga kereta tersebut mendapati nombor pendaftaran kenderaan berkenaan adalah palsu dan ketiga-tiganya dilaporkan hilang di Kota Damansara, Kelana Jaya dan Kepong, Kuala Lumpur antara 4 November lalu hingga 22 Januari baru-baru ini," katanya. - UTUSAN

Get Rid of Bad Smells


MB arah MBI jumpa penduduk


IPOH 23 Jan. - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mahu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengadakan pertemuan dan berbincang dengan jawatankuasa penduduk bagi menyelesaikan masalah bau busuk di sekitar tapak pelupusan sisa pepejal di Ulu Johan dekat sini.

Beliau yang memandang serius keluhan penduduk kawasan itu memberitahu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon juga sudah diminta menangani masalah tersebut.

"Saya mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku. Ini sangat penting kerana kita tidak boleh membenarkan ia terus berlaku.

"Datuk Mah Hang Soon kini sedang berusaha mengatasinya. Saya baharu menghubungi beliau pagi ini dan beliau telah memanggil jawatankuasa penduduk untuk berbincang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bertemu pelanggan di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai demonstrasi sekumpulan penduduk Ahad lalu yang memprotes tapak pelupusan sisa pepejal tersebut yang mengundang bau busuk.

Tapak pelupusan sisa pepejal yang dibuka berdekatan Lahat itu mula beroperasi 1 April tahun lalu bagi menggantikan tapak pembuangan sampah di Jalan Bercham-Tanjung Rambutan yang ditutup sebelum ini.

Berkeluasan 226.7 hektar tapak itu mempunyai satu sel pelupusan sanitari yang mampu menampung bilangan sampah antara 600 dan 700 tan metrik sehari untuk tempoh dua bulan.

Zambry berkata, Hang Soon juga akan meminta MBI membuat laporan lanjut berhubung aduan penduduk tersebut.

Audio Only - Sex Scandal

 

Pix Credit: The Malaysian Insider

 Cakera video seks cuma rakaman audio

IPOH 18 Jan. - Cakera padat yang didakwa mengandungi skandal adegan seks Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan bersama seorang wanita oleh pihak pembangkang tidak mempunyai sebarang rakaman visual, sebaliknya hanya berbentuk audio.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, cakera padat yang dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur itu juga perlu dirujuk dengan beberapa negara lain yang mempunyai kepakaran digital bagi meneliti kesahihannya.

"Cuma ada suara, yang lain tiada. Itu yang saya diberitahu. Saya tidak mengatakan cakera itu merupakan cakera kosong.

"Kes-kes melibatkan siber ini bukan senang kerana siasatan akan mengambil sedikit masa, mungkin dalam tiga ke empat bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat daerah Ipoh dan Batu Gajah di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Supritendan Sum Chang Keong dan Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif.

Pada 22 Disember lalu, Ganesan yang juga Timbalan Pengerusi MIC Perak, membuat laporan polis berhubung pendedahan dua pemimpin DAP negeri yang menerima cetakan artikel blog dan cakera padat didakwa mengandungi gambar lucah beliau bersama seorang wanita.

Ganesan yang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau terlibat dengan skandal seks berkenaan berkata, penerbitan dan pengedaran cakera berkenaan adalah berniat jahat untuk mengaibkan beliau serta memfitnahnya secara jenayah.

Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar dan Penolong Setiausaha Organisasinya, A. Sivasubramaniam dalam sidang akhbar pada Sidang DUN Ke-12 baru-baru ini mendakwa menerima sampul surat berisi cakera yang tertera di atasnya gambar lucah Ganesan bersama seorang wanita.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin DAP itu mendakwa tidak menyelidik isi kandungan cakera padat tersebut sebaliknya menyerahkannya kepada polis untuk siasatan lanjut.

Sivakumar berkata, beliau tidak mengetahui mengenai kebenaran skandal seks berkenaan sebaliknya mahu perkara itu disiasat supaya imej DUN Perak tidak terjejas.

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...