Pages


Wednesday, April 17, 2013

Mum, Children Burn To Death

 

Ibu serta tiga anak rentung


SUNGAI SIPUT 5 Feb. - Seorang ibu dan tiga anaknya mati rentung dengan dua daripadanya ditemui dalam keadaan berpelukan di rumah mereka yang terbakar di Taman Bukit Medan di sini tengah malam tadi.

Kejadian menyayat hati itu berlaku selang beberapa hari selepas kematian ketua keluarga mereka, S. Rajan, 48, pada Jumaat lalu.

Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam itu ialah S. Jeyaletchumi, 45; dan tiga anaknya, R. Thilagawati, 23; R. Buvaneswary, 20; dan R. Sugan, 16.

Jiran mangsa, Mok Kam Hing berkata, dia menyedari kebakaran itu sewaktu sedang menonton televisyen sebelum terdengar bunyi letupan kuat yang disangkanya mercun.

"Namun, setelah menjenguk ke luar rumah, saya dapati rumah sebelah sedang marak terbakar. Saya rasa letupan itu mungkin berpunca daripada tong gas, maka saya terus menelefon pihak bomba," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi jiran mangsa, Wah Kam Heng pula mendakwa, letupan kuat berkenaan turut mengakibatkan retakan di bahagian dinding rumahnya.

Sementara itu, difahamkan, keluarga berkenaan merahsiakan kematian Rajan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh akibat kanser paru-paru daripada pengetahuan jiran termasuk keluarga terdekat.

Abang kepada Jeyaletchumi, S. Ramesh Rao, 47, berkata, dia terkejut dengan tindakan nekad keluarga adik keempatnya itu yang difahamkan baru menetap di kawasan berkenaan sejak hampir sembilan bulan lalu.

Lebih mengejutkan, dia yang menetap di Taman Muhibbah di sini turut mendakwa baru sahaja mengetahui kematian adik iparnya yang disembunyikan oleh Jeyaletchumi dan anak-anaknya.

"Saya difahamkan pengkebumian Rajan diuruskan sendiri mereka Sabtu lalu. Memang mereka bertindak menjauhkan diri daripada keluarga kandung dan mertua sejak tiga tahun ekoran perselisihan faham," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput dan Ipoh bergegas ke tempat kejadian pada pukul 12.22 tengah malam.

Beliau yang mengesahkan siasatan kejadian itu setakat ini tidak mempunyai unsur jenayah berkata, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur dan berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 35 minit kemudian.

"Punca kejadian masih disiasat namun kita tidak tolak kemungkinan berpunca daripada letupan tong gas.
"Siasatan awal mendapati keempat-empat mangsa terlalu tertekan dengan kematian ketua keluarga mereka beberapa hari lalu.

"Maka, kita juga tidak menolak kemungkinan bahawa mereka membuat satu tindakan yang melulu," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...