Pages


Tuesday, February 12, 2013

RTD Vehicle Torched

Dua kertas siasatan siap - Polis

Pix Credit: taotauajer.blogspot.com
IPOH 27 Jan. - Polis melengkapkan kertas siasatan berhubung kes kemalangan dan cubaan membakar kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Ipoh-Lumut dekat Ayer Tawar pada 11 Januari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kedua-dua kertas siasatan itu yang dibuka mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, siasatan pihaknya dijalankan dengan mengambil kira kenyataan tiga pegawai JPJ yang terlibat termasuk saksi.

Polis juga menahan enam individu dan turut mencadangkan pendakwaan terhadap beberapa individu lain yang dirasakan bertanggungjawab dalam insiden berkenaan.

"Kesemua yang ditahan bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin. Ketika ini, polis menunggu keputusan sama ada perlu siasatan lebih lanjut atau tindakan lain.

"Saya juga tidak dapat mendedahkan sebarang hasil siasatan kerana tidak mahu berlaku sebarang percanggahan fakta. Apa yang penting, polis melengkapkan siasatan dan menunggu keputusan pendakwa raya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkenaan Ops Limau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK), di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim.

Polis sebelum ini, menahan empat suspek bagi membantu siasatan kes setelah kenderaan JPJ itu didakwa menjadi punca kemalangan teruk membabitkan lapan kenderaan termasuk dua bas sekolah.

Mereka yang berusia antara 17 hingga 40 tahun ditahan di sekitar Ayer Tawar dan Sitiawan pada 11 dan 12 Januari lalu.

Kenderaan JPJ berkenaan diterbalikkan sebelum dibakar dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Tindakan pantas anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan dan Seri Manjung berjaya mengawal keadaan sekali gus mengelakkan kenderaan jenis Toyota Fortuner itu musnah terbakar.

Ekoran kemalangan itu, empat orang mengalami kecederaan parah manakala 25 lagi menerima rawatan pesakit luar di Hospital Manjung.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan negeri turut mengarahkan Mohd. Shukri menyediakan laporan lengkap berhubung insiden berkenaan kerana ia telah dipolitikkan pihak tertentu, sekali gus boleh menggugat ketenteraman awam.

Mohd. Shukri dalam pada itu turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi supaya siasatan secara profesional itu dapat memberi keadilan kepada polis termasuk mangsa kemalangan.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...