Pages


Wednesday, April 11, 2012

Anwar, WikiLeaks & Najib

Anwar tidak konsisten - PM

March 18, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

IPOH 17 Mac - Keengganan Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan dengan pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin sebagai panel dalam forum anjuran WikiLeaks membuktikan Ketua Pembangkang itu seorang yang tidak konsisten dalam percakapan dan perbuatannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hakikat itu jelas kerana Anwar sering mengangkat dirinya sebagai orang yang memperjuangkan prinsip demokrasi dan menuduh kerajaan tidak bersifat terbuka.

''Nampaknya dia tidak sanggup berdepan dengan Raja Petra. Ini maknanya kita mesti konsisten, yang mana dia selalu persalahkan kerajaan, kata tidak demokratik dan tidak terbuka.

''Tetapi daripada segi tindakan, tidak membenarkan atau mengharamkan sesetengah akhbar hadir sidang akhbar mereka, apakah itu konsisten dengan apa yang diluahkan selama ini?

''Kali ini, timbul pula dia tidak mahu orang duduk sekali dengan dia, jadi nampak apa yang dia cakap dan apa yang dia lakukan itu tidak konsisten," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Wan Hwa II di sini hari ini.

Najib diminta mengulas pendedahan Raja Petra yang mendakwa digugurkan daripada senarai ahli panel sebuah forum di Kent, England hari ini, atas permintaan Anwar.

Forum yang membincangkan senario politik global dan dirakamkan untuk dokumentari laman web WikiLeaks itu turut mempertemukan pengasasnya, Julian Assange dan Anwar menerusi komunikasi Skype.

Raja Petra mendakwa, beliau menerima panggilan daripada Wikileaks berhubung penolakan Anwar dengan kehadiran beliau sebagai ahli panel.

Sehubungan itu, Raja Petra menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai 'pengecut' kerana bimbang perbincangan tersebut akan membangkitkan isu politik semasa tanah air.

Perdana Menteri berkata, sikap Anwar itu lambat-laun akan dipersoalkan oleh rakyat.

Friday, March 23, 2012

Indonesian Maids Make The Headline

Amah: Tidak Munasabah

March 18, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 17 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kenyataan seorang pegawai buruh Indonesia mengenai konsep satu amah, satu kerja dengan gaji minimum RM700 sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, Malaysia tidak akan berganjak daripada ketetapan yang sudah dipersetujui dengan Indonesia berhubung penghantaran semula amah dari republik itu ke negara ini yang dijadualkan bermula bulan depan.

Menurut beliau, Indonesia seharusnya kembali kepada persefahaman yang sudah dicapai antara beliau dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sebelum ini.

"Pada masa itu, semua syaratnya telah dibincangkan dan kedua-dua menteri juga berpuas hati dengan persefahaman yang dicapai.

"Tidak ada apa-apa pun yang dibangkitkan ketika itu. Jadi saya pun rasa hairan kenapa pada saat ini, setelah ditandatangani persefahaman tersebut, dia (Indonesia) bangkit macam-macam perkara," katanya selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Wan Hwa II di sini hari ini.

Najib kemudian menghadiri majlis Mesra Bersama Rakyat di Kampung Kacang Putih, Buntung di sini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Reyna Usman mengenai ketetapan supaya amah dari Indonesia melakukan hanya satu tugas khusus di rumah majikan dengan gaji minimum RM700.

Dengan ketetapan itu, Reyna berkata, seandainya seorang amah diupah untuk mengasuh bayi, tugasnya hanya mengasuh bayi dan tidak akan melakukan kerja-kerja rumah yang lain.

Reyna turut memberitahu, majikan yang memerlukan khidmat amah pada hari cuti rehat juga diwajibkan membayar gaji lebih masa sebanyak RM27 sehari atau RM108 sebulan jika bekerja tanpa cuti.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mencari jalan penyelesaian melalui saluran diplomatik bagi menangani segala perkara berbangkit berhubung isu tersebut.

"Kita akan cari jalan penyelesaian tetapi saya terkejut selepas dua pemimpin tertinggi sudah bersetuju, perkara ini boleh berlaku," katanya.

Indonesia pada 26 Jun 2009 membuat keputusan membekukan sementara penghantaran pembantu rumah selepas beberapa kes penderaan dan penganiayaan ke atas amah negara itu terjadi di Malaysia.

Bagaimanapun, pembekuan itu ditarik balik selepas Najib dan Susilo mencapai kata sepakat berhubung perkara itu ketika pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat dan Bali pada Oktober dan November tahun lalu.

Lower Tuition Fees at Quest International University Perak

QUIP turunkan yuran pengajian

March 14, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 13 Mac - Quest International University Perak (QUIP) mengurangkan yuran pengajiannya sehingga 50 peratus mulai tahun ini, sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan negeri menjadikan Perak sebagai hab pendidikan di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah itu akan memudahkan rakyat mendapat akses pendidikan di peringkat pengajian tinggi pada kadar yuran yang berpatutan khususnya bagi Ijazah Sarjana Muda.

"QUIP mempunyai kurikulum yang bermutu kerana mereka memfokuskan sasaran mencapai taraf universiti penyelidikan. Mereka juga sedang membuat beberapa cadangan kursus baru termasuk program perubatan dan sains sosial.

"Sehubungan itu, kita mengharapkan lebih ramai pelajar dapat belajar di universiti berkenaan yang turut mendapat sokongan daripada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama pelanggan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Pada program itu, lebih 150 rakyat Perak terdiri daripada pelbagai kaum hadir bertemu Zambry bagi memohon penyelesaian terhadap permasalahan mereka dalam sesi yang berlangsung lebih empat jam.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Majlis QUIP, Kuna Senathirajah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengurangkan yuran pengajian untuk program Pengajian Perniagaan dan Sains Komputer untuk tahun pengajian ketiga dari RM36,000 kepada RM19,000.

Beliau berkata, para pelajar yang mendaftar untuk kemasukan pada April ini juga akan mendapat sebuah komputer riba percuma sebagai satu bentuk insentif tambahan.

"Bagi Kursus Pengajian Asas dalam Sains dan Perniagaan yang mengambil masa 13 bulan pula, yuran pengajian juga masing-masing telah diturunkan daripada RM3,500 kepada hanya RM2,500," katanya.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana pelajar yang berminat untuk mendaftar, boleh menghubungi talian hotline universiti berkenaan di 1-800-88-7487.

Proposed Tilapia Park in Hulu Perak

Buka Tilapia Park di Hulu Perak

March 13, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 12 Mac - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) bercadang membuka taman perusahaan ikan tilapia dikenali sebagai Tilapia Park di Hulu Perak dalam usaha merancakkan industri ternakan haiwan itu secara besar-besaran.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, cadangan membuka tapak perusahaan haiwan itu sedang diperincikan bersama sebuah syarikat rakan kongsi dari Norway.

Beliau yang juga Pengerusi PPPNP berkata, jika dibuka kelak, Tilapia Park turut menjalankan pelbagai aktiviti hiliran memproses ikan tilapia.

''Ia termasuk aktiviti seperti pelaksanaan perusahaan kilang pemprosesan dan pembungkusan tilapia yang akan diperincikan bersama rakan kongsi dari Norway.

''Selain itu, PPPNP juga bercadang untuk melaksanakan projek 'Set-Net' iaitu pemasangan jaring dan sangkar ikan di laut melibatkan keluasan dua hingga lima hektar bagi tujuan eko-pelancongan serta rekreasi perikanan laut di Pulau Pangkor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PPPNP yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, A. Rizal Abd Rahman.

Pada majlis itu, Zambry turut meraikan 151 kakitangan PPPNP yang bakal menunaikan umrah dalam masa terdekat berikutan peningkatan keuntungan PPPNP yang melonjak sebanyak RM16,509 berbanding tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry memberitahu, PPPNP bakal mengambil alih sebuah syarikat pengeluaran produk kesihatan berasaskan pertanian dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatannya.

Bagaimanapun kata beliau, usaha itu masih di peringkat cadangan dan ia bakal diumumkan apabila tiba masanya.

''Kita masih mengkaji beberapa syarikat dan ia bergantung kepada timbang tara yang dilakukan sebelum membuat sebarang keputusan muktamad," jelas beliau.

Mengenai prestasi PPPNP, beliau memberitahu, pihaknya mengunjurkan kenaikan keuntungan bersih sebanyak lima peratus iaitu sekitar RM80 juta berbanding RM75.14 juta yang dicatatkan pada tahun lalu," katanya.

Robust Financial Control

Kewangan kukuh - Husni

March 12, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 11 Mac - Kerajaan mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh untuk membiayai sepenuhnya kos pelarasan gaji kira-kira 1.4 juta penjawat awam seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan juga menyasarkan unjuran pendapatan kewangan lebih tinggi pada tahun ini termasuk melalui agensi-agensi kutipan cukai.

Andaian secara konservatif itu katanya, dilakukan dengan mengambil kira keupayaan dan keberkesanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam meningkatkan kutipan hasil.

"Pembiayaan penyelarasan gaji tersebut akan dilakukan seperti biasa di bawah perbelanjaan mengurus. Namun, kita berpegang pada prinsip bahawa apabila ia ditolak dengan hasil, ia mestilah positif iaitu ada surplus (lebihan).

"Jadi, dengan peningkatan hasil yang dijangka dalam LHDN dan juga pihak Kastam, kita boleh mencapai positif setelah ditolak dengan perbelanjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian peruntukan membina lapan unit rumah kedai di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2 di Gugusan Manjoi di sini hari ini.

Hadir sama ADUN Manjoi, Datuk Nadzri Ismail dan Ketua Kampung berkenaan, Hassanudin Jiran.

Beliau diminta mengulas mengenai peruntukan lebih RM6 bilion bagi membiayai kos pelarasan gaji penjawat awam antara tujuh hingga 13 peratus seperti yang diumumkan kerajaan.

Peruntukan tambahan itu termasuk membayar Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) yang turut dinaikkan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Sementara itu, Ahmad Husni memberitahu, kerajaan sedia melanjutkan tempoh permohonan dan rayuan bagi mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dijadualkan tamat 15 Mac ini.

Beliau menjelaskan, peluang orang ramai untuk membuat rayuan masih terbuka kerana dasar kerajaan mementingkan setiap individu yang layak, dan berhak untuk memperolehnya.

"Kita sedang mendapatkan maklumat tentang bayaran BR1M terutamanya di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak melalui kerjasama pegawai LHDN, pegawai daerah dan pemimpin masyarakat dan ia masih belum selesai," katanya.

Menurutnya, sebanyak 99 peratus daripada rayuan orang ramai telah diluluskan, namun ada yang ditolak kerana memohon dua kali, menggunakan nama orang lain selain masalah teknikal seperti pengisian borang yang tidak betul.

Pekan - Pekan Kecil di Perak

Pembangunan semula dipercepat

March 4, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 5 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mahu supaya pelan pembangunan semula 14 pekan kecil di Perak dipercepatkan supaya kesannya boleh dinikmati oleh penduduk di kawasan terbabit dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang.

Menurut beliau, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah diminta menjalankan kajian terperinci berhubung pelan pembangunan di kawasan berkenaan supaya sebarang program yang akan dilaksanakan kelak mampu memenuhi keperluan penduduk setempat.

"Kita tidak mahu kajian ini hanya tinggal kajian sahaja. Justeru itu, pasukan khas bagi memantau perkembangan ini melibatkan pegawai daerah dan Yang Dipertua (pihak berkuasa tempatan) sudah ditubuhkan dan saya sendiri mempengerusikan mesyuaratnya setiap bulan.

"Selain itu, kita juga mahu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyediakan pelan perancangan di kawasan utara melibatkan Parit Buntar, Bagan Serai, Gerik, Lenggong dan sebahagian kawasan Kuala Kangsar bagi membantu pertumbuhan pekan kecil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah dalam program Selamat Pagi Perak yang disiarkan secara langsung di Perak FM di sini hari ini.

Zambry berkata, pembangunan semula 14 pekan kecil terbabit bertujuan mengimbangi pembangunan serta agihan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.

Sebanyak 14 pekan kecil yang dikenal pasti ialah Tapah, Lawin, Gugusan Majoi, Changkat Lada, Ijok, Bandariang, Changkat Tin, Trong, Lekir, Batu Kurau, Sauk, Kati, Pengkalan Pegoh dan Kubu Gajah.

Beliau menjelaskan, pembangunan semula yang dirangka di bawah pelan Perak Amanjaya itu akan memberi penekanan terhadap potensi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

"Kita juga ada menerima cadangan untuk membangunkan sekali Tanjung Rambutan. Namun, apa yang penting di sini adalah kita mewujudkan semula permintaan dari segi ekonomi terutamanya melibatkan pekan-pekan 'mati'.

"Dahulunya, pekan-pekan ini menjadi laluan utama, namun selepas lebuh raya dibuka, kawasan ini kelihatan seperti tertinggal dan terbiar selain terdapat banyak bangunan yang usang," katanya.

Jangan Main Campak

Denda RM250 jika 'lontar' sampah

March 2, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 1 Mac - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengenakan kompaun maksimum RM250 kepada mana-mana penghuni kawasan rumah pangsa Kinta Height di sini yang didapati membuang sampah dari tingkat atas berikutan masalah berkenaan telah berlarutan lebih lima tahun lalu.

Ahli Majlis MBI, Choo Kean Sen berkata, mereka yang terlibat juga boleh disenarai hitam daripada menjadi penyewa harta MBI kerana tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab itu menjejaskan tahap kebersihan di kawasan berkenaan yang terletak di pusat bandar.

"Kita melakukan perkara ini bukan untuk mendenda kira-kira 1,500 penghuni di sini, tetapi sebenarnya bertujuan memberi pendidikan kepada mereka supaya lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan.

"Sikap suka membuang sampah dari tingkap atas, termasuk di koridor waktu malam adalah sangat teruk.

"Mereka hanya membayar sewa RM130 sebulan dan tiada bayaran kos penyelenggaraan yang perlu ditanggung," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kinta Height, Zulkifli Ismail.

Dalam perkembangan berkaitan, Kean Sen berkata, MBI akan menggantikan tangki air lama di bangunan rumah pangsa setinggi 19 tingkat itu yang bocor dan berusia hampir 30 tahun melibatkan kos sebanyak RM66,320.

Beliau berkata, projek itu yang akan dimulakan pertengahan bulan ini, dijangka siap dalam tempoh dua minggu.

"MBI juga akan memasang semula sistem pencegahan kebakaran membabitkan kos RM99,540 bagi menggantikan sistem sedia ada yang tidak berfungsi disebabkan sebahagian besar peralatannya telah rosak dan hilang.

"Tindakan ini dibuat demi keselamatan penduduk selain menjadikan kawasan ini sebagai satu tempat yang selesa untuk didiami," tambahnya.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...