Pages


Friday, March 23, 2012

Robust Financial Control

Kewangan kukuh - Husni

March 12, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 11 Mac - Kerajaan mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh untuk membiayai sepenuhnya kos pelarasan gaji kira-kira 1.4 juta penjawat awam seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan juga menyasarkan unjuran pendapatan kewangan lebih tinggi pada tahun ini termasuk melalui agensi-agensi kutipan cukai.

Andaian secara konservatif itu katanya, dilakukan dengan mengambil kira keupayaan dan keberkesanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam meningkatkan kutipan hasil.

"Pembiayaan penyelarasan gaji tersebut akan dilakukan seperti biasa di bawah perbelanjaan mengurus. Namun, kita berpegang pada prinsip bahawa apabila ia ditolak dengan hasil, ia mestilah positif iaitu ada surplus (lebihan).

"Jadi, dengan peningkatan hasil yang dijangka dalam LHDN dan juga pihak Kastam, kita boleh mencapai positif setelah ditolak dengan perbelanjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian peruntukan membina lapan unit rumah kedai di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2 di Gugusan Manjoi di sini hari ini.

Hadir sama ADUN Manjoi, Datuk Nadzri Ismail dan Ketua Kampung berkenaan, Hassanudin Jiran.

Beliau diminta mengulas mengenai peruntukan lebih RM6 bilion bagi membiayai kos pelarasan gaji penjawat awam antara tujuh hingga 13 peratus seperti yang diumumkan kerajaan.

Peruntukan tambahan itu termasuk membayar Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) yang turut dinaikkan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Sementara itu, Ahmad Husni memberitahu, kerajaan sedia melanjutkan tempoh permohonan dan rayuan bagi mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dijadualkan tamat 15 Mac ini.

Beliau menjelaskan, peluang orang ramai untuk membuat rayuan masih terbuka kerana dasar kerajaan mementingkan setiap individu yang layak, dan berhak untuk memperolehnya.

"Kita sedang mendapatkan maklumat tentang bayaran BR1M terutamanya di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak melalui kerjasama pegawai LHDN, pegawai daerah dan pemimpin masyarakat dan ia masih belum selesai," katanya.

Menurutnya, sebanyak 99 peratus daripada rayuan orang ramai telah diluluskan, namun ada yang ditolak kerana memohon dua kali, menggunakan nama orang lain selain masalah teknikal seperti pengisian borang yang tidak betul.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...