Pages


Friday, March 23, 2012

Pekan - Pekan Kecil di Perak

Pembangunan semula dipercepat

March 4, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 5 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mahu supaya pelan pembangunan semula 14 pekan kecil di Perak dipercepatkan supaya kesannya boleh dinikmati oleh penduduk di kawasan terbabit dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang.

Menurut beliau, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah diminta menjalankan kajian terperinci berhubung pelan pembangunan di kawasan berkenaan supaya sebarang program yang akan dilaksanakan kelak mampu memenuhi keperluan penduduk setempat.

"Kita tidak mahu kajian ini hanya tinggal kajian sahaja. Justeru itu, pasukan khas bagi memantau perkembangan ini melibatkan pegawai daerah dan Yang Dipertua (pihak berkuasa tempatan) sudah ditubuhkan dan saya sendiri mempengerusikan mesyuaratnya setiap bulan.

"Selain itu, kita juga mahu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyediakan pelan perancangan di kawasan utara melibatkan Parit Buntar, Bagan Serai, Gerik, Lenggong dan sebahagian kawasan Kuala Kangsar bagi membantu pertumbuhan pekan kecil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah dalam program Selamat Pagi Perak yang disiarkan secara langsung di Perak FM di sini hari ini.

Zambry berkata, pembangunan semula 14 pekan kecil terbabit bertujuan mengimbangi pembangunan serta agihan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.

Sebanyak 14 pekan kecil yang dikenal pasti ialah Tapah, Lawin, Gugusan Majoi, Changkat Lada, Ijok, Bandariang, Changkat Tin, Trong, Lekir, Batu Kurau, Sauk, Kati, Pengkalan Pegoh dan Kubu Gajah.

Beliau menjelaskan, pembangunan semula yang dirangka di bawah pelan Perak Amanjaya itu akan memberi penekanan terhadap potensi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

"Kita juga ada menerima cadangan untuk membangunkan sekali Tanjung Rambutan. Namun, apa yang penting di sini adalah kita mewujudkan semula permintaan dari segi ekonomi terutamanya melibatkan pekan-pekan 'mati'.

"Dahulunya, pekan-pekan ini menjadi laluan utama, namun selepas lebuh raya dibuka, kawasan ini kelihatan seperti tertinggal dan terbiar selain terdapat banyak bangunan yang usang," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...