Pages


Wednesday, December 5, 2012

Trailer Rammed Propel Highway Maintenance Workers


Empat maut dirempuh treler

Nov. 22, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

KAMPAR 21 Nov. - Empat pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) terbunuh selepas dirempuh sebuah treler yang sarat membawa muatan makanan ringan di Kilometer 294.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Gopeng awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi, treler itu yang dalam perjalanan ke Ipoh merempuh lapan pekerja syarikat tersebut yang sedang menjalankan kerja-kerja menggantikan kabel optik telefon kecemasan SOS di laluan berkenaan.

Mereka yang terbunuh ialah Ismady Mohd. Rodzi, 32, dari Kulim, Kedah; Shaharuddin Abd. Aziz, 51, (Kuala Kangsar, Perak); Mohd Shafie Ismail, 56, (Ipoh, Perak) dan Hafez Yunus, 39, (Kuala Lumpur).

Shaharuddin, Mohd. Shafie dan Hafez mati di tempat kejadian sebelum mayat mereka dibawa ke Hospital Kampar manakala Ismady meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dekat sini.

Empat pekerja yang parah dan dirawat di HRPB ialah Dino Azmi, 36; Azhar Ismail, 44; Mahyuddin Idris, 48, dan Shafudin Abdul Jalil, 30.

Pemandu treler, Zulkifli Mohd. Noor, 41, dari Langkawi, Kedah dan kelindannya, Mohd. Rozi Mat Sharif, 44, turut dilaporkan parah dan sedang dirawat di hospital yang sama.

Utusan Malaysia difahamkan, pekerja terbabit sedang menggantikan kabel optik telefon kecemasan SOS di laluan itu yang dipercayai hilang akibat perbuatan vandalisme.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, empat kenderaan milik pekerja Propel yang diletakkan dalam satu barisan memanjang di lorong kecemasan lebuh raya itu turut dirempuh.

Kenderaan-kenderaan tersebut adalah sebuah kereta Proton Iswara, trak Mitsubishi Triton, van Nissan Vannette dan sebuah lori muatan satu tan berisi alatan perkakas.

"Hasil siasatan awal, ketika kejadian pekerja Propel hendak memulakan kerja penyelenggaraan yang mana kon-kon keselamatan telah pun diletakkan di sepanjang laluan kerja-kerja yang hendak dijalankan.

"Tiba-tiba, treler berkenaan hilang kawalan lalu merempuh kenderaan-kenderaan tersebut termasuk semua pekerja Propel yang berada di lorong kecemasan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Shukri memberitahu, ketika menuruni laluan sedikit curam di tempat kejadian dalam cuaca hujan renyai-renyai, pemandu treler berkenaan dipercayai tidak menyedari kenderaan yang sedang berhenti di lorong tersebut.

Menurut beliau, polis akan menahan reman pemandu treler berkenaan sebaik sahaja lelaki itu bersama kelindannya selesai menerima rawatan di hospital.

"Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan," katanya sambil memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...