Pages


Wednesday, December 5, 2012

Improving Rural Basic Infrastructure



RM600,000 naik taraf kemudahan awam

Nov. 23, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

GERIK 22 Nov. - Program turun padang Menteri Besar, Datuk Zambry Abdul Kadir di kawasan Parlimen Lenggong dan Gerik hari ini membawa khabar gembira kepada rakyat apabila beliau mengumumkan peruntukan lebih RM600,000 untuk kerja-kerja menaikkan taraf kemudahan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering.

Selain kemudahan membina jambatan dan menaikkan taraf jalan, peruntukan itu antara lain bertujuan membina kubah masjid di Kampung Tanjung Kala dan Kampung Tanjung Rambai di sini.

Zambry memulakan program lawatan seharinya dengan meluangkan masa kira-kira sejam bersarapan bersama 400 keluarga melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Baru Air Kala, Kampung Baru Selat Pagar dan Kampung Baru Padang Grus di Lenggong.

Beliau yang kemudiannya meneruskan lawatan dengan bertemu masyarakat di Kampung Sawa, menceriakan penduduk di situ dengan menyerahkan 58 geran pemilikan tanah yang diusahakan sejak lebih 25 tahun bagi aktiviti pertanian.

Zambry turut menyampaikan bantuan bencana sumbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada pemilik 28 rumah Kampung Rancangan Merah di sini, yang ditimpa musibah kejutan elektrik ketika kerja-kerja menebang pokok mati pada 24 Jun lalu.

Seterusnya, Zambry terus disambut meriah oleh kira-kira 2,000 penduduk kampung, termasuk diiringi oleh tarian Orang Asli di tapak perkelahan Lata Ulu Lawin bagi program bertemu masyarakat.

"Walaupun kita tahu DUN Kenering ini menyumbangkan 76 peratus undi kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 2008, kita tidak mengabaikan kawasan ini. Kita berterima kasih kepada penduduk di sini yang setia menyokong kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan program turun padang di dua Parlimen iaitu Lenggong dan Gerik di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Datuk Mohd. Tarmizi Idris; ADUN Temenggor, Datuk Hasbullah Osman dan ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad.

Dalam pada itu, Zambry berkata, Parlimen Gerik dan Lenggong mempunyai dua kawasan bertaraf dunia yang perlu dipelihara iaitu Hutan Royal Belum dan Lembah Lenggong yang kini diiktiraf tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri telah merizabkan Hutan Royal Belum selain merangka pelan pembangunan Lenggong bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...