Pages


Saturday, August 11, 2012

Housing Scheme Without Interest For Perakians



Skim Rumah Insan Amanjaya dilancar

August 2, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 1 Ogos - Kerajaan negeri hari ini melancarkan Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) di bawah Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) bagi membantu rakyat Perak yang berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 untuk memiliki kediaman tanpa dikenakan sebarang faedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, skim yang hanya memerlukan pembayaran yuran pendaftaran sebanyak RM200 itu membolehkan rumah bernilai RM52,000 dibayar antara tempoh 10 hingga 20 tahun dengan kadar ansuran serendah RM218 sebulan.

"Pada peringkat awal, kerajaan negeri memberi dana suntikan awal sebanyak RM10 juta seperti diperuntukkan dalam Bajet 2012 yang disasarkan dapat membantu lebih 180 keluarga di Perak tanpa mengaut sebarang keuntungan.

"Justeru, kita harap mereka yang menerima skim ini, mampu melangsaikan hutang supaya kita dapat terus membantu rakyat lain kerana adalah menjadi pegangan kerajaan negeri untuk menyediakan perumahan sebagai satu perkara penting dan asasi," katanya ketika ditemui selepas melancarkan SRIA di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi YBUDR, Datuk Saarani Mohamad; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk R. Ganesan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd. Ghazali Jalal.

Pada majlis tersebut, Zambry yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YBUDR turut menyampaikan surat kelulusan dan replika kunci kepada 10 penerima SRIA di negeri ini.

Antara syarat kelayakan bagi memiliki rumah tiga bilik berkeluasan 74 meter persegi itu ialah pemohon hendaklah berusia antara 18 hingga 50 tahun serta hidup berkeluarga, tidak mempunyai kediaman sendiri atau sedang mendiami rumah usang.

Selain itu, pemohon hendaklah mempunyai tanah atau tapak yang bersesuaian selain permohonan tersebut perlu mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua kampung masing-masing.

Bagi jaminan pembayaran pula, ia antara lain memerlukan geran tanah tapak milik sah manakala penjamin merupakan ahli keluarga terdekat pemohon yang mempunyai pekerjaan tetap.

Sementara itu, seorang penerima SRIA, Ramnah Bahari, 49, dari Teluk Nipah, Pangkor berkata, dia bersyukur kerana terpilih menerima skim berkenaan kerana rumah dua bilik miliknya kini tidak cukup untuk menampung keluarganya.

Ramnah yang mengusahakan chalet peninggalan arwah suaminya sejak tujuh tahun lalu, memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan bagi membesarkan anak-anaknya.

"Bukan rumah tak ada, tapi sudah tidak boleh muat semuanya, lagi pun anak-anak sudah besar. Saya ada dua anak yang tinggal di asrama, dua lagi sudah berkahwin dan dua lagi bersama saya," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...