Pages


Saturday, August 11, 2012

EPF Full Withdrawing Remains At 55

Keluaran penuh KWSP kekal 55 tahun

August 5, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 4 Ogos - Kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan had umur bagi pengeluaran penuh caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada 55 tahun kepada 60 tahun ketika ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ura-ura tersebut timbul ekoran keputusan kerajaan melanjutkan had umur persaraan minimum bagi pekerja swasta kepada 60 tahun baru-baru ini.

"Pada peringkat ini, kerajaan tidak bercadang melaksanakan sistem tersebut. Mereka yang mempunyai akaun dengan KWSP boleh mengeluarkan wang tersebut pada umur 55 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian kain jubah, buah tamar dan air zam-zam kepada jawatankuasa masjid seluruh Parlimen Tambun, di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan pindaan Akta KWSP 1991 berikutan kelulusan Rang Undang-undang Umur Persaraan Minimum 2012 di Parlimen yang menetapkan pekerja sektor swasta hanya boleh bersara wajib setelah mencapai umur 60 tahun.

Cadangan kenaikan had umur pengeluaran penuh KWSP kepada 60 tahun yang dikatakan selari dengan batas umur persaraan minimum swasta bagaimanapun telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan para pencarum.

Ketika ini, para pencarum boleh membuat pengeluaran separa KWSP pada usia 50 tahun sementara pengeluaran penuh hanya dibenarkan ketika seseorang itu berumur 55 tahun iaitu selepas bersara.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Husni berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kali kedua merupakan satu daripada inisiatif yang kini sedang dikaji oleh kerajaan dalam penyediaan Bajet 2013.

Namun katanya, keputusan itu tertakluk kepada hasil pendapatan kerajaan yang mana ia perlu melebihi daripada perbelanjaan mengurus.

"Kita menerima kerjasama yang baik daripada sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu-individu dari segi pemberian input. Kita dapati bahawa budaya timbal balik antara kerajaan dan rakyat begitu memberangsangkan.

"Sebahagian besar yang menjadi kebimbangan umum adalah kos sara hidup akibat kenaikan harga makanan. Jadi, mereka ingin mengetahui apakah inisiatif yang akan diperkenalkan kerajaan untuk memastikan semua rakyat mendapat manfaat," katanya.

Sejurus menghadiri majlis tersebut, Ahmad Husni turut meluangkan masa melawat seorang wartawan sambilan Bernama, Tajul Safuan Abu Hasan yang menghadapi masalah kegagalan jantung di Hospital Pakar KPJ di sini.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...