Pages


Monday, May 14, 2012

Oppss... Politics Again! BN vs PKR

Boon Chye bersikap kasar

April 26, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 25 April - Seorang ahli Persatuan Penduduk Muhibbah Pasir Pinji (PPMPP) kesal dengan Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye yang didakwa bersikap kasar dan menimbulkan kekecohan pada satu majlis jamuan dan upacara sembahyang malam kelmarin.

Loh Kok Beng, 48, mendakwa kekecohan timbul apabila Boon Chye bersama sekumpulan lelaki meminta pembesar suara di majlis itu diperlahankan kerana kononnya mengganggu majlis pelancaran kempen Bersih 3.0 yang diadakan berhampiran kawasan tersebut.

Menurutnya, majlis yang dianjurkan sebagai salah satu aktiviti tahunan PPMPP itu dikepung kira-kira 50 orang yang memakai baju Bersih 3.0, Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) dan Pas kira-kira pukul 10.30 malam.

"Mereka berkelakuan seperti kumpulan samseng dan Boon Chye dengan nada keras mengarahkan saya memperlahankan pembesar suara tetapi saya menjawab orang yang mengendalikan pembesar muzik telah keluar.

"Saya juga merayu kepadanya supaya mereka tidak mengganggu majlis kami tetapi Boon Chye dengan tidak sopan terus memarahi saya sedangkan ini sebahagian daripada majlis keagamaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, kira-kira 500 ahli PPMPP termasuk keluarga serta penduduk sekitarnya berkumpul di Padang Desa Pakatan, di sini pada pukul 9 malam sambil dihiburkan dengan iringan persembahan nyanyian, tarian singa, naga dan bunga api.

Pada masa sama, majlis pelancaran Bersih 3.0 peringkat Parlimen Gopeng yang dihadiri beberapa pemimpin pembangkang termasuk Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diadakan kira-kira 100 meter dari situ.

Kok Beng mendakwa, Boon Chye juga bertindak lebih agresif dengan membuka khemah majlis walaupun tanpa kebenaran penganjur.

Namun katanya, tindakan pantas pihak polis yang sampai tepat pada masanya menyebabkan kumpulan itu beredar.

"Walaupun sudah meninggalkan majlis mereka masih memaki, mengugut serta menjerit perkataan-perkataan kesat terhadap saya dan orang ramai. Ada juga yang membaling batu ke arah kereta penyanyi undangan kami," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...