Pages


Wednesday, May 2, 2012

Increasing Public University Funding Through Private Investment


Tiga IPTA tubuh IPTS

1st May, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh Khairul Abidin Nuar
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 30 April - Tiga universiti awam di negara ini bakal menubuhkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) masing-masing untuk menjana pendapatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan.

Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menubuhkan IPTS bertaraf universiti manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mempunyai sebuah kolej swasta.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung berkata, ketiga-tiga universiti itu sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan dan penubuhan IPTS terbabit akan dilakukan dengan beberapa universiti luar negara.

"Terdapat 25 universiti luar negara telah menunjukkan minat untuk menubuhkan kampus cawangan di sini dan ia termasuk IPTS jenis baru yang bakal ditubuhkan oleh IPTA kita sendiri.

"Penubuhan IPTS jenis baru ini tidak akan menjejaskan institusi pendidikan swasta sedia ada, malah ia akan memberi lebih manfaat dalam menyumbang kepada persaingan sihat kepada pertumbuhan IPTS yang semakin memberangsangkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama IPTS Zon Utara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kok Chung berkata, penubuhan IPTS jenis baru itu akan didaftarkan di bawah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), sama seperti institusi pendidikan swasta lain tetapi tertakluk kepada beberapa syarat khas.

Beliau berkata, antara syarat khas yang ditetapkan ialah IPTA yang berminat perlu menubuhkan sebuah anak syarikat khusus untuk menjalankan operasi perkhidmatan pendidikan.

Tambah beliau, pembiayaan pengurusan IPTS yang ditubuhkan itu tidak boleh menggunakan sebarang geran mengurus tahunan, peruntukan pembangunan IPTA, geran penyelidikan atau apa jua sumber daripada kerajaan.

"Pengurusan IPTS tersebut hendaklah terpisah secara total dengan pengurusan IPTA selain beroperasi di luar kampus serta tidak menggunakan sebarang kemudahan milik IPTA berkenaan.

"Walaupun begitu, mereka masih boleh menggunakan model pengurusan sama seperti IPTA tetapi pengurusan IPTS yang dibentuk perlu diasingkan daripada pengurusan syarikat dengan melantik kakitangan dan pengurusannya sendiri," katanya.

Bagi tujuan pemantauan pula, beliau berkata, IPTS yang ditubuhkan itu perlu mengemukakan laporan tahunan kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU) IPTA berkenaan.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...