Pages


Sunday, January 8, 2012

Maher Zain Concert



Maher hiburkan orang Perak

Jan. 2, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

BERBEKALKAN kekuatan vokal pada melodi bergenre R&B soul, Maher Zain berjaya membuktikan sokongan peminat terhadapnya masih berbisa meskipun hampir dua tahun menyepi tanpa album baru.

Tampil dengan imej kasual dengan beret di kepala, penyanyi kelahiran Lebanon yang dibesarkan di Sweeden ini sememangnya mampu untuk menarik perhatian ribuan pendengar meskipun mesej yang disampaikannya berunsur ketuhanan.

Justeru, peluang mengadakan konsert di Stadium Perak bagi mempromosi Tahun Melawat Perak 2012, digunakan sepenuhnya oleh figura yang bernaung di bawah syarikat penerbitan Awakening Records itu.

Apatah lagi lebih 50,000 penonton membanjiri stadium berkenaan bagi menyaksikan secara dekat Konsert Maher Zain 'Untukmu Rakyat 1Malaysia' secara percuma yang dianjurkan oleh kerajaan negeri baru-baru ini.

Penonton yang hadir awal ke stadium pada sebelah petang semata-mata untuk mendapat parkir selesa, begitu teruja sejurus melihat kelibat Maher yang tiba-tiba muncul selepas gimik 'letupan' di pentas.

Bagaikan didodoi dengan angin sepoi-sepoi bahasa di stadium terbuka itu, konsert yang dimulakan dengan persembahan penyanyi Ramli Sarip, memecah keheningan malam di Ipoh dengan dendangan lima lagu popularnya termasuk Doa Buat Kekasih dan Kamelia.

Tepat pukul 9 malam, orang ramai mula memenuhi segenap ruang padang dan dihidangkan dengan nyanyian bertenaga oleh penyanyi kelahiran Pakistan, Irfan Makki menerusi lima buah lagu yang dipetik daripada album keduanya, I Believe.

Biarpun sistem audio yang kurang memuaskan halwa telinga menerobos ke setiap penjuru stadium, namun penonton bagaikan terus hanyut mendengar lagu-lagu seperti Mamma, Allahu, You and I, Waiting For The Call serta Mabrook yang digarap dengan lirik berbahasa Melayu.

Paling menarik, penyanyi dengan nama sebenarnya, Muhammad Murtaza Makki itu juga menyampaikan sebuah lagu yang dipopularkan mendiang Michael Jackson.

Biarpun begitu, penonton seolah-olah terpukau apabila Maher Zain mula menguasai pentas. Cahaya lampu limpah berwarna-warni bersama paparan latar pentas berupa skrin LCD yang berkelip-kelip, menyerlahkan lagi aura penyanyi berusia 29 tahun itu.

Peminat setia Maher tidak melepaskan peluang untuk turut sama menyanyikan setiap bait-bait lagu hitsnya, malah sorokan gemuruh dan kibaran bendera Jalur Gemilang dan negeri Perak menceriakan lagi suasana.

Sememangya naskhah lagu-lagu nasyid popular Maher seperti Always Be There dan The Chosen One yang mempunyai melodi berentak perlahan dan mendayu berjaya memikat hati para pendengar.

Alunan muzik lebih rancak menerusi Hold My Hand yang menyeru perjuangan untuk membantu sesama insan menerusi nukilan lirik indah oleh Bilal Hajji, menghangatkan lagi persembahan Maher pada malam itu.

Dendangan lagu yang memuji kemuliaan nabi menerusi Ya Nabi Salam Alayka diteruskan oleh Maher dengan baik melalui penyampaian Thank You Allah sekali gus menggamit kesyukuran kepada tuhan pencipta alam.

Tidak dinafikan persembahan bertenaga Maher yang berduet bersama Irfan dengan lagu Allahi Allah Kiya Karo dan I Believe juga berjaya mendapat tepukan gemuruh penonton.

Maher yang sudah berpengalaman beraksi di beberapa konsert di Shah Alam dan Kuching sebelum in, bijak berinteraksi dengan penonton apabila menyampaikan lagu bersama peminatnya melalui dendangan Open Your Eyes.

Gema suara Maher terus menyentuh hati pendengar apabila menyampaikan mesej penderitaan penduduk Palestin dan konflik di negara-negara Arab yang menuntut kebebasan menerusi lagu Palestine Will Be Free dan Calling For Freedom.

Sebagai menghargai peminat setianya di Malaysia, penyanyi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Angkasa itu turut menghiburkan penonton dengan untaian lagu berbahasa Melayu seperti Insha Allah dan Sepanjang Hidup.

Konsert yang berlangsung kira-kira empat jam itu ternyata tidak menghampakan apabila orang ramai bersorak keriangan tatkala penyanyi yang mempunyai sejuta pengikut di laman sosial Facebook itu menyerikan suasana dengan lagu rancak berkisahkan perkahwinan iaitu Baraka Allah Lakuma.

Pengacara majlis, Datuk AC Mizal yang ternyata serasi mengendalikan konsert besar, berjaya membuatkan penonton ternanti-nanti dengan kemunculan Maher untuk menyampaikan lagu terakhirnya.

Sebaik sahaja Maher keluar dengan berpakaian baju Melayu lengkap berwarna ungu serta bersampin dan bersongkok, penonton bagaikan terpegun melihat pesona penyanyi itu yang telah berkecimpung selama dua tahun lalu dalam arena seni muzik.

Apakan tidak, lagu For The Rest of My Life yang cukup romantik disampaikan Maher, memberikan kenangan indah kepada peminat-peminatnya lebih-lebih lagi apabila ia adalah kali pertama penyanyi tersebut mengadakan konsert secara besar-besaran di Ipoh.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli hadir menyaksikan konsert berkenaan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim.

Maher ketika ditemui pemberita selepas itu, meluahkan rasa terujanya dapat mengadakan persembahan di Perak kerana ia adalah konsert percuma yang ditujukan khas untuk rakyat.

Dia yang bertekad untuk terus menyampaikan mesej Islam dalam setiap lagu, berharap rakyat Malaysia akan terus menyokong perjuangannya.

"Saya kini dalam proses terakhir menyiapkan album kedua yang akan muncul tidak lama lagi pada tahun depan. Saya berharap peminat di Malaysia akan menyukainya, ia sebuah album yang terdiri daripada 15 atau 16 buah lagu.

"Ketika ini, terdapat dua nama yang masih belum diputuskan untuk tajuk album, tetapi saya tidak boleh mendedahkan dengan lebih lanjut, mungkin dalam tempoh sebulan lagi akan siap," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...