Pages


Saturday, January 14, 2012

Laluan Alternatif Bercham ke Lebuh Raya Plus




20,000 pengguna kenderaan lega

Jan. 4, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 3 Jan. - Kira-kira 20,000 pengguna kenderaan yang melalui jalan utama ke Bercham setiap hari, kini boleh menarik nafas lega apabila satu laluan alternatif keluar ke Lebuh Raya Utara Selatan dibuka hari ini bagi memudahkan mereka untuk ke pusat bandar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, laluan yang dibina selama sebulan dengan kos RM230,000 itu dijangka mampu mengurangkan 30 peratus masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

"Walaupun projek ini kecil, tetapi kesannya terhadap 154,000 penduduk yang menetap di sekitar kawasan ini begitu besar dalam menyelesaikan kesesakan teruk terutamanya di laluan keluar di persimpangan Tesco Extra.

"Pada saya, pembangunan sesebuah negeri itu bukan sahaja daripada sudut ekonomi, tetapi juga melibatkan kemudahan rakyat bagi mendapatkan kehidupan berkualiti tanpa mengira sama ada kawasan itu dikuasai kerajaan mahupun pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan laluan alternatif Bercham keluar ke Lebuh Raya Utara Selatan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim.

Pada majlis tersebut, Zambry turut memandu kenderaan melalui laluan alternatif tersebut selain menyampaikan sumbangan angpau kepada warga emas masyarakat Cina di sini.

Laluan yang dibina oleh syarikat Topwish Realty Sdn. Bhd. di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu turut dilihat mampu mengurangkan kesesakan untuk ke Jalan Tasek yang digunakan oleh purata 40,000 kenderaan sehari.

Dalam perkembangan lain, Zambry mencadangkan kepada JKR negeri supaya mengkaji laluan terus ke pusat bandar tanpa perlu membuat pusingan 'U' sebaik sahaja keluar dari susur keluar ke Ipoh melalui persimpangan Tambun.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...