Pages


Thursday, May 5, 2011

Orang Cacat Pun Boleh Berjaya

Cacat bukan penghalang kejayaan

November 15, 2009 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Biarpun dikesan menghadapi masalah pendengaran ketika berusia 11 tahun, namun itu tidak menghalang Teh Cheang Hock mencapai kejayaan menerima Anugerah Canselor 2009 Open University Malaysia (OUM).

Bagi anak kelahiran Pulau Pinang ini, mata adalah telinganya. Untuk memahami apa yang dipelajari, dia terpaksa bergantung sepenuhnya kepada nota yang disalin teman sekelasnya.

Dia yang juga pernah mewakili negara dalam banyak kejohanan badminton tempatan dan antarabangsa untuk atlet kategori cacat pendengaran, kini berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat Dengan Kepujian.

Menurut Cheang Hock, tiada erti malas atau 'tidak apa' dalam hidupnya kerana dia sentiasa berusaha mengejar sebanyak mana skor 'A' yang boleh dicapai.

"Kesungguhan, disiplin diri, semangat dan minat yang mendalam dalam bidang sukan, saya mengaplikasikan ke dalam pelajaran untuk terus memburu kejayaan.

"Saya menasihatkan kepada rakan senasib saya untuk menguasai bahasa penulisan Melayu dan Inggeris kerana penggunaan bahasa isyarat tidak banyak membantu apabila mengikuti pengajian di peringkat tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Konvokesyen OUM Ke-7 di sini hari ini.

Turut hadir Canselor OUM, Tun Jeanne Abdullah dan Naib Canselornya, Tan Sri Anuwar Ali.

Pada konvokesyen tersebut, Jeanne turut menyampaikan Ijazah Doktor Kehormat Pendidikan kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Commonwealth of Learning, Sir John Daniel yang banyak memberikan sumbangan dalam memajukan pendidikan terbuka dan jarak jauh.

Selain itu, Chan Oy Leng, graduan Sarjana Muda Teknologi Maklumat Dengan Kepujian juga menerima Anugerah Komanwel Pusat Media Pendidikan Untuk Asia (CEMCA) kerana lulus dengan cemerlang.

Dalam ucapannya, Jeanne berharap para graduan bukan sahaja cemerlang dalam pekerjaan, tetapi menanamkan sikap kesukarelaan untuk membantu insan lain.

"Saya percaya, dengan menolong insan lain, kita juga membantu membentuk minda generasi akan datang kerana kitalah yang menjadi contoh terbaik kepada mereka," katanya.

Konvokesyen OUM kali ini mencatatkan jumlah graduan terbanyak apabila menyaksikan lebih 6,400 orang menerima ijazah sejak ia diadakan pada tahun 2004.

Selain itu, sebanyak 210 graduan kumpulan pertama universiti itu yang menjalani 13 program pengajian baru yang ditawarkan empat tahun lalu di peringkat sarjana, sarjana muda dan diploma, turut menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen kali ini.

Ini termasuk sejumlah 73 graduan dari Bahrain dan Indonesia yang memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Sarjana Teknologi Maklumat.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...