Pages


Wednesday, May 4, 2011

Siaran TV Dah Ok

May 6, 2010 - Utusan Malaysia

Masalah transmisi RTM selesai

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Mei – Masalah transmisi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Sarawak dan Sabah bakal diselesaikan tidak lama lagi apabila ia akan dipancarkan terus menerusi satelit MEASAT milik kerajaan di bawah kendalian Astro.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, hasil kajian mendapati pemancaran menerusi satelit adalah lebih praktikal berbanding penambahan menara-menara transmisi baru kerana ia dapat menjimatkan kos hampir RM90 juta ringgit.

Menurutnya, kementerian juga sedang berunding dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membekalkan dekoder ke seluruh kawasan pedalaman Sarawak mengikut penggunaan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) di bawah SKMM supaya isyarat yang jelas dapat diterima oleh mereka.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membuat pengumuman itu di Sibu, Sarawak pada 12 Mei dan ia merupakan satu lonjakan pada titik sentuhan 1Malaysia yang akan kita lancarkan dengan jayanya.

“Tetapi khidmat ini akan dimulakan dengan televisyen terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat pasca Kabinet di kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rais berkata, kementerian juga sedang berbincang dengan SKMM supaya rakyat di Sarawak dan Sabah tidak dibebankan untuk memiliki dekoder tersebut.

“Jika SKMM menampung sebahagian kos dekoder tersebut, rakyat mungkin hanya bayar sedikit daripada kos sebenar supaya ia mampu dimiliki oleh semua terutamanya penduduk di rumah panjang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pada 12 Mei ini juga, Perdana Menteri dijangka melancarkan lebih 1,000 buah Komputer Rakyat 1Malaysia di Sibu.

Beliau berkata, bekalan komputer untuk rakyat tersebut akan diedarkan khusus untuk kegunaan pelajar-pelajar di sekolah menengah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu, pemimpin masyarakat di luar bandar serta penduduk rumah panjang di Sarawak.

“Bekalan komputer untuk rakyat ini selaras dengan pelancaran Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan oleh Perdana Menteri pada 24 Mac lalu sekali gus menunaikan janji serta komitmen kerajaan untuk meluaskan penggunaannya terutama di kawasan luar bandar,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...