Pages


Wednesday, May 4, 2011

Majlis Sains & Penyelidikan Kebangsaan

May 15, 2010 - Utusan Malaysia

Majlis Sains, Penyelidikan ditubuh

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Mei – Kajian penubuhan Majlis Sains dan Penyelidikan Kebangsaan yang bakal menyelaraskan segala aktiviti penyelidikan melibatkan pelbagai kementerian dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dijangka dibentangkan ke Kabinet pada September ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, majlis yang akan menyelia kajian dan pembangunan (R&D) pelbagai disiplin itu akan mampu mengelakkan persamaan aktiviti penyelidikan di institusi pengajian tinggi mahupun di peringkat kementerian.

Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ketika ini bertindak sebagai peneraju utama dalam pengurusan dana bagi kegiatan R&D yang turut dijalankan di empat lagi kementerian.

Empat kementerian tersebut ialah Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kesihatan.

“Majlis ini masih lagi dalam proses untuk ditubuhkan, sedang dikaji dan diperincikan oleh penasihat sains kerajaan, Profesor Emeritus Dr. Zakri Abdul Hamid.

“Kita berharap dalam masa tiga bulan ini segala terma rujukannya selesai dikaji dan kita boleh bawa ke peringkat Kabinet,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pameran Rekacipta, Inovasi & Teknologi Antarabangsa Ke-21 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan; Presiden Persatuan Rekaan dan Ciptaan Malaysia (Minds), Tan Sri Prof. Emeritus Datuk Dr. Augustine SH Ong serta Ketua Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia, Dr. Raslan Ahmad.

Pameran yang bertemakan Kreativiti: Ke Arah Ekonomi Berteraskan Inovasi itu mempersembahkan lebih 65 ciptaan melibatkan tidak kurang 50 organisasi termasuk pempamer dari luar negara seperti Russia, Iran, Korea, Taiwan, Hong Kong, Thailand dan Vietnam.

Pameran yang diadakan setiap tahun sejak 1989 itu juga buat julung kalinya menganjurkan Pameran Pencipta Muda Asia (AYIE) untuk golongan muda berusia 20 tahun ke bawah.

Pada majlis tersebut, Maximus turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Minds dan Yayasan Inovasi Malaysia bagi menjalinkan kerjasama untuk mempromosi budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memastikan keberhasilan penubuhan majlis tersebut, adalah penting bagi kementerian untuk menyemak semula dasar-dasar sains yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Tambah beliau, kementerian juga akan menyediakan satu pelan jangka panjang untuk tempoh 10 tahun akan datang bagi mengenal pasti serta menyokong keperluan dana aktiviti R&D di negara ini.

“Melalui penubuhan majlis ini juga, keperluan bidang R&D akan menjadi lebih jelas selain memudahkan produk penyelidikan untuk dikomersialkan ke pasaran secara lebih teratur,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...