Pages


Wednesday, May 4, 2011

Fiksyen Sains

June 10, 2009 - Utusan Malaysia

Fiksyen sains perkukuh jati diri

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 9 Jun - Penulisan fiksyen sains dan teknologi dilihat mampu memperkukuh jati diri di kalangan generasi muda melalui pemaparan nilai, penyampaian sastera dan ideologi yang berteraskan kebangsaan.

Pengarah Penerbit UTM Press, Prof. Hishamuddin Jamaluddin berkata, gaya penulisan fiksyen sains dan teknologi yang memaparkan kisah yang mungkin wujud pada masa akan datang mampu menggalakkan rakyat Malaysia berfikir secara saintifik, kreatif dan penuh inovasi.

''Gabungan sains dan sastera yang digarap dalam sesebuah karya bertunjangkan prinsip Rukun Negara misalnya mampu memperkembangkan ideologi-ideologi kenegaraan tanpa melencong ke arah fiksyen sains fantasi,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media sempena penganjuran Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kumpulan Utusan di sini semalam.

Hishamuddin berkata, sayembara yang dilancarkan pada 10 Februari lalu terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM30,000.

Pemenang pertama akan menerima wang tunai RM15,000 diikuti kedua RM7,500 dan ketiga RM5,000 serta lima pemenang sagu hati, masing-masing menerima RM500 di samping membawa pulang watikah dan trofi setiap satu.

Selain itu, semua karya pemenang juga bakal diterbitkan oleh Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Terdahulu, Hishamuddin berkata, enam bengkel bersiri penulisan fiksyen sains dan teknologi telah diadakan di peringkat kebangsaan bagi mempertingkat mutu penyertaan.

''Setakat ini, kita menerima beberapa manuskrip dan kita berharap dapat menambah bilangannya sekurang-kurangnya kepada 20 manuskrip untuk penyertaan kali ini.

''Kita juga menggalakkan lebih kurang 120 penulis yang mengikuti bengkel penulisan tempoh hari supaya dapat menghantar karya mereka sebelum 31 Ogos ini,'' katanya.

Tambahnya, penyertaan sayembara yang julung kalinya bertemakan fiksyen sains dan teknologi tersebut terbuka kepada individu atau berkumpulan.

''Untuk karya berkumpulan, kita menetapkan penyertaan tidak boleh melebihi tiga orang ahli.

''Peserta boleh menghantar seberapa banyak karya kerana tiada had penyertaan bagi peserta individu mahupun berkumpulan,'' ujar beliau.

Mereka yang berminat menghantar manuskrip untuk menyertai sayembara tersebut boleh mengisi borang yang boleh didapati daripada pihak sekretariat di Penerbit UTM Press, UTM Skudai, Johor atau memuat turun melalui laman web www.penerbit.utm.my atau www.mybooks.com.my.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...