July 7, 2009 - Utusan Malaysia
Perkasa sektor kebajikan
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 6 Julai - Kerajaan hari ini dicadang menubuhkan satu institusi yang boleh menguruskan harta wakaf di peringkat nasional bagi memperkasakan sektor ijtima'iy yang juga dikenali sebagai sektor kebajikan atau sosial berasaskan sistem ekonomi Islam.
Pengerusi Eksekutif BIMB Securities Sdn. Bhd., Datuk Dr. Abdul Halim Ismail berkata, pada ketika ini, pengurusan sektor tersebut terletak di bawah majlis agama Islam negeri-negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan urusan agama di bawah kerajaan negeri.
"Ketiadaan penyeragaman pengurusan menyukarkan pelaburan untuk sumbangan amal jariah bagi membantu golongan miskin, peniaga kecil, ibu tunggal dan anak yatim.
"Sebaliknya di Singapura, pembangunan harta wakafnya begitu berdaya maju dengan jumlah harta wakafnya dianggarkan sebanyak RM574 juta meliputi 100 bidang tanah wakaf meskipun ia digerakkan oleh penduduk minoriti beragama Islam di sana," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Wacana Memperkasa Sektor Ijtima'iy (WMSI) bertemakan Mengurusperdanakan Sektor Ijtima'iy Dalam Sistem Ekonomi Negara di sini, kelmarin.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Datuk Ahmad Tajudin Abd. Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz dan Ketua Pengarah Yapeim, Dr. Abd. Malek Awang Kechil.
Abdul Halim berkata, wakaf adalah harta masyarakat yang dapat digunakan untuk kepentingan bersama selain memberikan manfaat bagi jangka masa panjang berbanding wang ringgit.
"Penerokaan khazanah wakaf untuk menggerakkan ekonomi umat Islam wajar diberikan perhatian kerana jika dimanfaatkan secara jujur dan efisien, hartanah wakaf dapat memberi sumbangan besar kepada perkembangan ekonomi negara.
"Sebagai contoh, di Mesir, Universiti Al-Azhar ditubuhkan dan ditadbir oleh sebuah perbadanan wakaf lebih daripada 1,000 tahun," katanya.
Tambah beliau, pembangunan sektor ijtima'iy juga perlu diperluas kepada institusi zakat, baitulmal, sedekah dan pinjaman kebajikan (qardhul hassan).
Jelasnya, sektor ijtima'iy perlu diperkembang seiring dengan sektor awam dan swasta kerana ketiga-tiga sektor itu saling melengkapi antara satu sama lain ke arah pembangunan negara.
"Penekanan kepada sektor ijtima'iy adalah bagi memastikan pembangunan ekonomi Islam selaras dengan objektif utama syariah yang memelihara lima dasar dan keperluan asasi manusia iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta," katanya.
WMSI adalah manifestasi kesungguhan Yapeim bagi menggerakkan Resolusi Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) yang dianjurkan 12 Januari lalu.
Penganjurannya dilihat sebagai usaha memperkukuh sektor ijtima'iy seperti disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan perhatian diberikan kepada sektor tersebut mengikut apa yang telah digariskan dalam resolusi KEI-3 lalu.
Wednesday, May 4, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment