Pages


Wednesday, May 4, 2011

Pilihan Raya Kampus

January 28, 2010 - Utusan Malaysia

Kematangan demokrasi siswa

Mukadimah

BAHANG pilihan raya kampus sesi 2009/2010 semakin hangat. Kempen-kempen untuk memenangi pemilihan bagi menduduki barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kini mengambil tempat dalam pelbagai cara.

Ramai calon dilihat masih mengambil pendekatan konvensional untuk berkempen termasuk mengedarkan risalah dan berpidato. Namun pada masa yang sama, mereka tidak ketinggalan menggunakan teknologi moden untuk cuba mendekati pengundi.

Antaranya menerusi penggunaan sepenuhnya ruang maya. Ramai yang berkempen menerusi blog dan laman sosial seperti Facebook dan juga Twitter.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK dan KHAIRUL ABIDIN NUAR cuba mengupas isu pemilihan ini dengan lebih mendalam menerusi laporan mereka.



KUALA LUMPUR 27 Jan. – Kehangatan kempen pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) makin terasa. Minggu lalu, pelajar di empat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah melangsaikan tanggungjawab mereka.

Pemilihan di Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Utara Malaysia pada 17 Januari lalu bakal menyaksikan pemenang bergabung membentuk barisan kepimpinan .

Begitu juga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mengadakan pemilihan 21 Januari lalu, Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam dan sembilan lagi universiti yang akan mengadakan pilihan raya esok hari ini.

Pilihan raya kampus yang diadakan melihat kepada kematangan mahasiswa bergerak secara demokrasi tanpa banyak insiden yang menjejaskan reputasi mahasiswa.

Antara IPTA yang menunjukkan kematangan pada pemilihan MPP kali ini ialah UIAM. Kebanyakan calon yang bertanding mengamalkan sikap keterbukaan dalam memilih wakil pelajar yang menjadi aspirasi kepada pembangunan universiti.

UIAM dilihat membuktikan sistem pemilihan MPP UIAM melalui Undi Elektronik (E-Undi) sejak tujuh tahun lalu berjaya dilaksanakan.

Namun terdapat segelintir pihak menuduh dasar universiti yang condong kepada perjuangan politik prokerajaan dan juga membantah penggunaan sistem E-Undi pada pilihan raya kampus.

Baru-baru ini, polemik E-Undi dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu bagi membantah penggunaannya secara meluas di seluruh IPTA.

Ia terus menjadi isu apabila dua pelajar universiti dan seorang wartawan portal berita pembangkang ditahan ketika menyertai demonstrasi membantah sistem pengundian E-Undi pada pilihan raya kampus di hadapan Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya, baru-baru ini.

Pelajar terbabit dikatakan mewakili kumpulan lebih 50 anggota, Soladiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang berkumpul bagi menghantar memorandum tersebut, kira-kira pukul 3 petang, 15 Januari lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan tindakan kumpulan itu di hadapan pejabatnya sebagai strategi ‘kempen’ pilihan raya kampus.

Seharusnya, dalam era teknologi terkini, E-Undi bukan isu yang perlu diperbesarkan kerana mahasiswa kini sangat terdedah kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Penggunaan sistem E-Undi merupakan teknologi terkini dalam melaksanakan pemilihan kampus ke arah menjadikannya setanding dengan universiti terkemuka dunia yang turut melaksanakan E-Undi seperti Universiti Oxford, Universiti Cambridge dan Universiti Harvard.

Sementara itu, isu lain yang diutarakan oleh gabungan pelajar yang menggelarkan diri mereka ‘Pro Mahasiswa’ di UPM ialah tempoh berkempen yang singkat.

Pengerusi Pro Mahasiswa UPM, Ahmad Faris Rakbi berkata, integriti pilihan raya kampus telah tercabar kerana calon hanya mempunyai masa singkat untuk berkempen.

“Selepas penamaan, calon diwajibkan menghadiri kursus dua hari berturut-turut dan hanya mempunyai sehari untuk kempen,” katanya.

Menurut Ahmad Faris, tempoh singkat berkempen menyebabkan mahasiswa kehilangan peluang untuk mengenali calon sekali gus tidak dapat memilih wakil berkaliber.

Namun begitu, lain pula di Universiti Sains Malaysia (USM).

Naib Canselornya, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, tempoh singkat berkempen terbukti berkesan dan tidak menimbulkan masalah.

Katanya, tempoh yang panjang boleh mengganggu pembelajaran.

“Masa yang singkat tidak timbul kerana mereka wajar mengaplikasikan teknologi maklumat seperti sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel, laman web sosial Facebook atau Friendster selain menggunakan sepenuhnya sudut pidato,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...