Pages


Wednesday, May 4, 2011

Siasat nahas perahu naga

January 20, 2010 - Utusan Malaysia

‘Kerajaan negeri kena siasat’

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Kerajaan negeri Pulau Pinang diminta menyiasat punca pelbagai aspek keselamatan diabaikan dalam nahas perahu naga yang meragut enam nyawa dari sebuah sekolah di negeri itu semalam.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan menegaskan, penglibatan kerajaan negeri itu penting supaya perkara sama tidak berulang pada masa depan.

Beliau berkata, kejadian tersebut amat dikesali kerana laporan awal menunjukkan terdapat banyak garis panduan keselamatan yang tidak dipatuhi.

“Mengapa ada mangsa tidak memakai jaket keselamatan? Mengapa lokasi latihan ditukar ke perairan yang lebih berbahaya? Mengapa ada yang tidak pandai berenang dalam pasukan itu dan mengapa pihak polis tidak dimaklumkan mengenai pertukaran tempat latihan?

“Saya memohon semua pihak termasuk kerajaan negeri meneliti setiap laporan agar perkara sama tidak berlaku dan satu garis panduan kokurikulum di luar sekolah dapat dikemas kini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden nahas perahu naga pasukan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling, Air Itam semalam yang mengorbankan enam nyawa.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pihak terbabit seharusnya bertanggungjawab sekiranya siasatan mendapati aspek keselamatan gagal dititikberatkan.

Tegasnya, pelajar yang mengikuti aktiviti kokurikulum melibatkan sukan air perlu pandai berenang dan memakai jaket keselamatan.

“Pelajar yang menyertai aktiviti tersebut mesti pandai berenang dan kawalan keselamatan harus diselia sepanjang latihan tersebut dijalankan,” katanya.

Ditanya mengenai kewajaran seorang bapa pelajar sekolah terbabit yang ingin mengambil tindakan undang-undang di atas kecuaian pihak sekolah, beliau menyifatkan ia sebagai hak individu.

Beliau yang turut bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa berkata, peristiwa tersebut harus dijadikan iktibar supaya ia tidak berulang.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...