Pesona ladang gaharu Gopeng
Feb. 29, 2013 - Utusan Malaysia
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
GOPENG 28 Feb. - Terletak hampir tiga kilometer
dari pekan Gopeng, siapa sangka wujudnya sebuah ladang gaharu seluas 120
hektar di tengah-tengah Kampung Sungai Itik dan Kampung Pintu Padang.
Persis Tembok Besar Cina sepanjang tiga meter, kawasan
agropelancongan terbaharu di negeri Perak itu mempunyai potensi besar
menarik kunjungan pelancong asing mahupun rakyat tempatan.
Apa tidaknya, gaharu yang biasanya dikenali sebagai tumbuhan liar di
hutan dan sering menjadi mangsa kerakusan pembalakan kini ditanam secara
komersial di ladang berbukit dengan jarak tersusun tiga meter antara
satu sama lain.
Namun, apa yang lebih menarik perhatian ialah harga satu kilogram
gaharu di pasaran kini bernilai RM25,000 dan ia boleh mencecah sehingga
RM100,000 mengikut gred.
Dengan pembangunan ladang secara organik melibatkan kira-kira 200,000
batang pokok gaharu, kebanyakan kos operasi dikatakan tertumpu kepada
penyelenggaraan kawasan ladang termasuk pembinaan jalan bagi memudahkan
perjalanan keluar masuk kenderaan.
Gaharu yang dikategorikan sebagai spesies tumbuhan terancam itu
memerlukan semburan enzim mikroorganisma efektif dua minggu sekali
supaya boleh mencapai ketinggian antara 15 hingga 18 meter.
Menceritakan lebih lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif Gaharu
Technologies Sdn. Bhd., Nicklaus Ho C.W. berkata, gaharu yang ditanam
secara komersial di kawasan berkenaan sejak 2008 merupakan jenis hibrid
yang dikacukkan dengan 12 jenis spesies lain di Jepun.
Sehubungan itu, katanya, pokok gaharu yang ditanam di kawasan
berdekatan Gua Tempurung dan Hutan Rizab Bukit Kinta itu mampu menjana
hasil lebih cepat iaitu dalam tempoh tiga tahun.
"Kita juga hasilkan pelbagai jenis produk seperti teh gaharu, sup
gaharu, minyak gaharu, cip kayu gaharu, mi segera gaharu, nougat, biskut
dan aiskrim gaharu.
"Semua kerja pemprosesan dan pembungkusan produk kita lakukan di kilang yang turut dibuka di sini," katanya ketika ditemui
Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Nicklaus berkata, daun pokok gaharu yang diproses
menjadi teh hijau mempunyai khasiat mengubati pelbagai jenis penyakit
seperti gout, kencing manis, darah tinggi serta membantu melancarkan
sistem edaran darah.
Selain boleh digunakan untuk rawatan kecantikan dan awet muda, kajian
mengenai khasiat gaharu itu juga telah dijalankan bersama Sekolah Sains
Farmaseutikal Universiti Sains Malaysia (USM) sejak empat tahun lalu.
"Disebabkan gaharu mempunyai permintaan yang tinggi, kita membuka
cawangan perniagaan yang pertama di Hong Kong bersama-sama Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail
Sabri pada 9 Disember tahun lalu.
"Kita juga menyasarkan untuk memasarkan produk gaharu ini ke
Indonesia seperti di Jakarta, Medan dan Surabaya selain Singapura, Dubai
dan menembusi pasaran di pasar raya sekitar England," katanya.
Tambah beliau, selain menerima pensijilan organik buat julung kalinya
untuk produk gaharu oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani, pihaknya
turut mendapat pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim).
Namun, rata-rata pengunjung yang gemar mengunjungi ladang berkenaan
adalah kaum Cina kerana pokok gaharu dikatakan mendatangkan 'feng shui'
yang baik kepada mereka.
Selain dapat melihat pertukaran pucuk baharu pokok gaharu pada setiap
awal tahun, pengunjung juga boleh bersantai di Holistic Gaharu (Hoga)
Tower yang kini dibina dan dijangka siap sepenuhnya Jun tahun ini.
Beliau berkata, pada zaman dahulu, gaharu dan sarang burung walet
selalunya dimasak bersama dan digunakan kerabat diraja Cina untuk tujuan
kecantikan serta resipi umur panjang.
"Seperkara lagi yang menarik di sini ialah terdapat pokok yang kita
namakan 'Loving Tree' kerana terdapat satu pokok berbatang hitam dilihat
seolah-olah memeluk satu lagi pohon berbatang putih.
"Penduduk di kampung ini ada mengatakan terdapat satu legenda
kononnya ada seorang anak perempuan 'mat saleh' jatuh cinta kepada orang
tempatan," katanya.
Selain itu, katanya, di puncak bukit ladang itu terdapat ibu pokok gaharu yang ditanam sejak 1992.