Bukan sekadar wira samudera
Maritim Malaysia turut komited tingkatkan kualiti hidup masyarakat
Jan. 3, 2013 - Utusan Malaysia
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
BAGAN DATOH 2 Jan. - Biarpun saban hari berdepan
cabaran tugasan di lautan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
(Maritim Malaysia) tidak pernah lupa melaksanakan tanggungjawab
meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Walaupun nama Maritim Malaysia jarang menjadi bualan masyarakat
lantaran tugasnya lebih sinonim di lautan, namun hakikatnya agensi ini
turut memainkan peranan cukup signifikan di daratan.
Maritim Malaysia yang beribu pejabat di Putrajaya, pada dasarnya
menggalas tanggungjawab menguatkuasakan semua undang-undang maritim
Persekutuan selain menyelaras tugas mencari dan menyelamat di zon
maritim Malaysia.
Zon maritim Malaysia merangkumi kawasan laut iaitu bermula dari
pesisir pantai sehingga ke laut tengah di perbatasan zon ekonomi
eksklusif negara.
Sehubungan itu, sebagai langkah memperkenalkan organisasi tersebut
kepada rakyat tempatan, Maritim Malaysia mengorak langkah menganjurkan
Program Jiwa Murni Mega yang menggembleng aktiviti berbentuk
kemasyarakatan bersama komuniti marin.
Program itu melibatkan golongan yang terbabit secara langsung mahupun
tidak langsung dengan aktiviti di laut seperti nelayan, pekerja
pelabuhan dan limbungan, pengusaha feri dan bot-bot pelancong serta
agensi-agensi perkapalan.
Program itu yang julung kalinya diadakan di Kampung Simpang Empat,
Rungkup di sini, baru-baru ini antara lain menjadikan masyarakat desa
sebagai 'sahabat karib' Maritim Malaysia.
"Secara tidak langsung, 'sahabat karib' kita di daratan ini boleh
membantu menjadi mata dan telinga Maritim Malaysia dengan menyalurkan
maklumat serta kerjasama pada bila-bila masa," kata Ketua Pengarah
Maritim Malaysia, Laksamana Datuk Mohd. Amdan Kurish ketika ditemui
dalam majlis perasmian program itu baru-baru ini.
Mohd. Amdan berkata, Maritim Malaysia merupakan agensi penguatkuasaan
tunggal di laut yang bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas
pencegahan dan penguatkuasaan selain mencari dan menyelamat di laut.
Sehubungan itu katanya, tugas dan tanggungjawab Maritim Malaysia
lebih mencabar dalam menentukan keselamatan kawasan perairan negara
supaya sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman jenayah
maritim.
"Bagaimanapun, kita berharap dapat menerima sokongan dan kerjasama
masyarakat selain membantu memberi penerangan tentang kesedaran
keselamatan di laut," katanya.
Mohd. Amdan memberitahu, Projek Jiwa Murni Mega bersama masyarakat
Kampung Simpang Empat, Rungkup, Hutan Melintang dekat sini baru-baru ini
adalah antara contoh bagaimana Maritim Malaysia boleh berganding bahu
dengan masyarakat setempat.
Katanya, selain memberi pelbagai maklumat mengenai Maritim Malaysia,
agensi itu turut menyampaikan sumbangan berupa jaket keselamatan kepada
persatuan-persatuan nelayan di negeri ini serta mengatur program sukan
rakyat, kempen derma darah serta pemeriksaan kesihatan percuma.
Malah, Mohd. Amdan memberitahu, bagi memenuhi keperluan setempat,
Maritim Malaysia dengan kerjasama penduduk Kampung Simpang Empat
bersetuju menjalankan kerja-kerja penyambungan jeti sepanjang 150 meter
bagi memudahkan pengangkutan para nelayan.
Menurutnya, dengan terbinanya jeti itu, beliau yakin kerja-kerja
penyimpanan bot-bot nelayan dapat dilakukan dengan mudah dan lebih
selamat.
"Selain itu, Maritim Malaysia juga bergotong-royong dengan penduduk
kampung untuk kerja-kerja mengecat rumah stor nelayan, dewan serba guna,
perpustakaan desa, masjid serta membersihkan kawasan tanah perkuburan
di sini.
"Saya percaya dan berharap jalinan kerjasama seumpama ini dapat
diteruskan pada masa hadapan," katanya yang turut memuji usaha warga
Daerah Maritim 3 Lumut menjayakan program berkenaan.
Beliau menarik perhatian Maritim Malaysia sedar beberapa perkampungan
di Simpang Empat, Rungkup dan Hutan Melintang merupakan antara kawasan
strategik yang boleh dijadikan sasaran jenayah maritim.
Sehubungan itu katanya, kerjasama daripada semua penduduk dalam
menyampaikan sebarang maklumat kepada Maritim Malaysia dapat membantu ke
arah membanteras pelbagai aktiviti jenayah berkenaan secara berkesan.