Pages


Sunday, February 10, 2013

Malaysian Maritime Enforcement Agency : Beyond Ordinary


Bukan sekadar wira samudera

Maritim Malaysia turut komited tingkatkan kualiti hidup masyarakat 

 Jan. 3, 2013 - Utusan Malaysia


BAGAN DATOH 2 Jan. - Biarpun saban hari berdepan cabaran tugasan di lautan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak pernah lupa melaksanakan tanggungjawab meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Walaupun nama Maritim Malaysia jarang menjadi bualan masyarakat lantaran tugasnya lebih sinonim di lautan, namun hakikatnya agensi ini turut memainkan peranan cukup signifikan di daratan.

Maritim Malaysia yang beribu pejabat di Putrajaya, pada dasarnya menggalas tanggungjawab menguatkuasakan semua undang-undang maritim Persekutuan selain menyelaras tugas mencari dan menyelamat di zon maritim Malaysia.

Zon maritim Malaysia merangkumi kawasan laut iaitu bermula dari pesisir pantai sehingga ke laut tengah di perbatasan zon ekonomi eksklusif negara.

Sehubungan itu, sebagai langkah memperkenalkan organisasi tersebut kepada rakyat tempatan, Maritim Malaysia mengorak langkah menganjurkan Program Jiwa Murni Mega yang menggembleng aktiviti berbentuk kemasyarakatan bersama komuniti marin.

Program itu melibatkan golongan yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dengan aktiviti di laut seperti nelayan, pekerja pelabuhan dan limbungan, pengusaha feri dan bot-bot pelancong serta agensi-agensi perkapalan.

Program itu yang julung kalinya diadakan di Kampung Simpang Empat, Rungkup di sini, baru-baru ini antara lain menjadikan masyarakat desa sebagai 'sahabat karib' Maritim Malaysia.

"Secara tidak langsung, 'sahabat karib' kita di daratan ini boleh membantu menjadi mata dan telinga Maritim Malaysia dengan menyalurkan maklumat serta kerjasama pada bila-bila masa," kata Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Datuk Mohd. Amdan Kurish ketika ditemui dalam majlis perasmian program itu baru-baru ini.

Mohd. Amdan berkata, Maritim Malaysia merupakan agensi penguatkuasaan tunggal di laut yang bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas pencegahan dan penguatkuasaan selain mencari dan menyelamat di laut.

Sehubungan itu katanya, tugas dan tanggungjawab Maritim Malaysia lebih mencabar dalam menentukan keselamatan kawasan perairan negara supaya sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman jenayah maritim.

"Bagaimanapun, kita berharap dapat menerima sokongan dan kerjasama masyarakat selain membantu memberi penerangan tentang kesedaran keselamatan di laut," katanya.

Mohd. Amdan memberitahu, Projek Jiwa Murni Mega bersama masyarakat Kampung Simpang Empat, Rungkup, Hutan Melintang dekat sini baru-baru ini adalah antara contoh bagaimana Maritim Malaysia boleh berganding bahu dengan masyarakat setempat.

Katanya, selain memberi pelbagai maklumat mengenai Maritim Malaysia, agensi itu turut menyampaikan sumbangan berupa jaket keselamatan kepada persatuan-persatuan nelayan di negeri ini serta mengatur program sukan rakyat, kempen derma darah serta pemeriksaan kesihatan percuma.

Malah, Mohd. Amdan memberitahu, bagi memenuhi keperluan setempat, Maritim Malaysia dengan kerjasama penduduk Kampung Simpang Empat bersetuju menjalankan kerja-kerja penyambungan jeti sepanjang 150 meter bagi memudahkan pengangkutan para nelayan.

Menurutnya, dengan terbinanya jeti itu, beliau yakin kerja-kerja penyimpanan bot-bot nelayan dapat dilakukan dengan mudah dan lebih selamat.

"Selain itu, Maritim Malaysia juga bergotong-royong dengan penduduk kampung untuk kerja-kerja mengecat rumah stor nelayan, dewan serba guna, perpustakaan desa, masjid serta membersihkan kawasan tanah perkuburan di sini.

"Saya percaya dan berharap jalinan kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan," katanya yang turut memuji usaha warga Daerah Maritim 3 Lumut menjayakan program berkenaan.

Beliau menarik perhatian Maritim Malaysia sedar beberapa perkampungan di Simpang Empat, Rungkup dan Hutan Melintang merupakan antara kawasan strategik yang boleh dijadikan sasaran jenayah maritim.

Sehubungan itu katanya, kerjasama daripada semua penduduk dalam menyampaikan sebarang maklumat kepada Maritim Malaysia dapat membantu ke arah membanteras pelbagai aktiviti jenayah berkenaan secara berkesan.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...