Pages


Tuesday, February 12, 2013

Kuala Sepetang Railway Land Settlement


Kerajaan BN tunai janji - MB


TAIPING 14 Jan. - Kerajaan negeri mampu menunaikan janji untuk menyelesaikan kemelut tanah di sepanjang tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Taiping-Kuala Sepetang apabila menganugerahkan 870 geran hak milik sementara kepada penduduk terlibat.

Selain memberi 560 lot kepada penduduk di Kampung Kurnia Jaya, 320 lot lagi turut diberikan bagi penempatan semula penduduk bagi memberi laluan kepada pembinaan landasan kereta api berkembar Ipoh-Padang Besar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, penyelesaian isu itu adalah antara intipati lawatan turun padang beliau ke sekitar Parlimen Bukit Gantang bagi memastikan janji-janji Barisan Nasional (BN) sebelum ini dikotakan kepada rakyat.

Beliau berkata, ia termasuk pembinaan masjid, sekolah agama, surau, jalan raya serta lampu isyarat selain pembinaan 20 Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kurnia Jaya bernilai RM40,000.
"Ini merupakan sebahagian daripada sentuhan akhir bagi melihat sejauh mana pelaksanaan terhadap janji-janji yang telah dibuat.

"Tiada kena-mengena dengan pilihan raya kerana program turun padang ini sudah dibuat sejak empat tahun ini dan hampir seharian kita ke seluruh ceruk kampung bertemu masyarakat," katanya selepas mengadakan pertemuan kali ketiga bersama penduduk Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kurnia Jaya Tambahan, di sini semalam.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Saripah Zulkifli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Datuk Rosli Husin, ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Mohd. Jailu, Penasihat Hal Ehwal Kaum India negeri, Datuk S. Veerasingam dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq.

Pada majlis itu, Zambry turut menyampaikan bantuan beg sekolah oleh NCIA, basikal sumbangan Persatuan Nelayan Negeri Perak dan beberapa kotak makanan kepada Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM30,000 bagi kerja-kerja membaik pulih sebuah sekolah agama di Kurnia Jaya dan RM37,000 lagi untuk mengganti kelengkapan perabot Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al Falah Addiniah di Taman Yayasan, Kamunting.

Zambry turut menyerahkan sumbangan replika kunci bernilai RM35,000 kepada Mohd. Zin Saad bagi membaik pulih rumah keluarganya yang terbakar baru-baru ini.

Selain itu, beliau juga sempat menghadiri kenduri penduduk tempatan, Tarmizi Shamsuddin yang melangsungkan perkahwinan anak keduanya, Mohd. Helmi bersama pasangannya, Fathimatusshifaa Mohd. Zulkifli.

Kemelut tanah yang berlarutan sejak April 2009 melibatkan masalah setinggan di kawasan sepanjang jalan kereta api Taiping-Kuala Sepetang pada awalnya menemui jalan buntu apabila KTMB meminta RM37 juta untuk mengambil alih tanah berkenaan.

Namun, kerajaan negeri merayu kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengetepikan bayaran itu demi kepentingan rakyat memandangkan ia telah didiami oleh beberapa generasi kira-kira selama 60 tahun.

Berikutan itu, Kerajaan Pusat akhirnya bersetuju melepaskan tanah rizab itu kepada Kerajaan Perak kerana ia tidak lagi digunakan untuk operasi kereta api sejak 1941.

Terdahulu, Zambry yang dalam lawatan sehari di sini, bersarapan pagi di Gerai Kota Jaya di Simpang sebelum bertemu masyarakat di dewan Kuil Sri Meenachi Soma Sundareswarar di Simpang Halt di sini.

Beliau turut sempat melawat tapak pembinaan Masjid Taman Yayasan di sini bernilai RM1.5 juta yang boleh memuatkan kira-kira 500 jemaah dan dijangka siap pada Mei tahun ini.

Sunday, February 10, 2013

Ipoh Municipal Council

Pix Credit -  kembarasemalaysia.blogspot.com

Turun padang keutamaan MBI

IPOH 12 Jan. - Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim berikrar menjadikan program turun padang sebagai agenda utama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada tahun ini bagi memantapkan strategi penyelesaian permasalahan rakyat.

Beliau yang akan mengetuai sendiri pasukan turun padang melibatkan 23 zon di kawasan MBI berkata, ahli majlis juga telah diarahkan untuk bertemu masyarakat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada penduduk.

‘‘"Menyelesaikan masalah sampah dan kebersihan merupakan antara agenda utama program turun padang saya, begitu juga dengan ahli majlis.Ini selaras dengan misi kerajaan negeri yang menjadikan 2013 sebagai tahun menggalakkan amalan kebersihan," katanya kepada pemberita selepas sesi minum pagi bersama media di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Roshidi berkata, selain menekankan aspek kebersihan, MBI juga berusaha menjadikan Ipoh sebagai destinasi pelancongan menarik dari segi pengindahan dan keceriaan bandar.

Menurutnya, landskap pembangunan bandar raya ini telah banyak berubah dengan kewujudan bangunan tinggi serta pusat-pusat komersial baru dan dijangka terus pesat membangun dalam tempoh lima tahun akan datang.

‘‘Walaupun mengalami pembangunan rancak ketika ini, Ipoh masih kekal dengan identiti warisan bangunan-bangunan lama yang menjadi daya tarikan kepada pelancong.

‘‘Pemilik-pemilik bangunan lama juga telah mula menyedari nilai bangunan warisan yang ada di sini. Mereka memulihara serta memberi wajah baru lebih segar kepada bangunan lama ini dengan menjadikannya sebagai restoran dan kafe," katanya.

Hot Politics in Perak

                                                        Pix Credit : Perak Today

Zambry selar pembangkang

Jan. 12, 2013 - Utusan Malaysia

IPOH 11 Jan. - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyelar sikap pemimpin pembangkang di negeri itu yang menganggap diri mereka terlalu suci sedangkan dipalit dengan pelbagai isu integriti ketika diberi peluang memerintah selama 11 bulan.

Menurutnya, pemimpin pembangkang sering menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) korup tetapi rakyat sudah melihat satu persatu ‘kekotoran’ yang mereka lakukan sepanjang tempoh tersebut.

"“Apabila memainkan isu konsesi balak, mereka persoalkan kepada siapa yang kita luluskan. Pembangkang tahu dalam proses kelulusan balak, kita ada jawatankuasa untuk buat sebarang keputusan. Kita tidak pergi secara terperinci di mana syarikat itu. Anda tahu syarikatnya, kemudian ambil keputusan luluskan atau tidak.

"Sama juga ketika masa kami.‘‘Sikap pembangkang menunjukkan sebenarnya mereka lebih teruk kerana sanggup menutup mata tanpa mematuhi undang-undang sedia ada dalam proses pemberian konsesi balak," katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, Zambry mendakwa bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melakukan salah guna kuasa apabila meluluskan kawasan hutan simpan tanpa memanggil mesyuarat Jawatankuasa Balak semasa beliau menjadi Menteri Besar pada 2008.

Zambry membuat dakwaan itu selepas pemimpin Pas berkenaan mendakwa kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) memberikan tiga kelulusan kawasan pembalakan seluas 245 hektar di Belukar Semang, Pengkalan Hulu, Gerik kepada tiga syarikat yang mempunyai alamat dan pengarah sama.

Isu itu menjadi lebih panas apabila sebuah blog, Pisau.net pula mendakwa Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausahanya, Nga Kor Ming menerima tawaran tanah di Gua Musang, Kelantan sebagai balasan untuk menerima Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar pada 2008.

Koo Ham dalam satu kenyataan mengakui mempunyai kepentingan dalam syarikat Upayapadu. Sdn. Bhd., yang mendapat projek pembalakan di Kelantan tetapi mendakwanya sebagai urusan perniagaan semata-mata.

Ditanya sama ada beliau akan menghantar bukti salah guna kuasa oleh Mohammad Nizar dalam isu kelulusan balak tersebut ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zambry berkata, pihaknya sedang meneliti kemungkinan itu.

Muhyiddin, Anwar and Felda ...


Jan. 6, 2013 - Utusan Malaysia

SC perlu panggil Anwar - TPM

TANJUNG MALIM 5 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperjelaskan tuduhan beliau yang mendakwa harga saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) akan menjadi lebih rendah jika tidak kerana campur tangan beberapa institusi termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Muhyiddin berkata, ini berikutan kenyataan tidak bertanggungjawab serta niat jahat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan menjadikan rakyat yang menjadi pemegang sahamnya rugi, sekali gus membangkitkan kemarahan golongan peneroka Felda kepada kerajaan.

"Ketua Pembangkang patut tahu bahawa ini adalah satu syarikat awam, jadi bila dia buat kenyataan sebegitu, saham itu jatuh, dia bertanggungjawab. Jadi, orang Felda harus mempersalahkan Anwar yang cuba mencampuri urusan perniagaan dengan membuat kenyataan politik tidak betul supaya saham itu terus terjerumus jatuh dan orang-orang Felda akan marah kepada kerajaan.

"Itu muslihatnya, saya percaya ini merupakan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab. Ini merupakan syarikat tersenarai awam yang memiliki tawaran awam permulaan (IPO) antara terbesar di dunia. Jadi, dia rasa iri hati yang amat sangat. Selagi saham syarikat ini tak jatuh terjunam, dia takkan berhenti daripada membuat pelbagai tuduhan.

"Saya tidak tahu sama ada Suruhanjaya Sekuriti boleh mempersoal dia balik ke atau Bursa Malaysia boleh panggil dia ke apa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan majlis pertemuan bersama warga kerja Proton di Proton City Tanjung Malim di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengerusi Eksekutif Proton Holdings Bhd., Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil.

Beliau diminta mengulas tentang kenyataan Anwar yang antara lain menyebut harga saham FGVH berada paras RM4.62 adalah disebabkan oleh campur tangan dalam bentuk pembelian oleh KWSP, Kumpulan Wang Persaraan diperbadankan dan institusi-institusi lain.

Anwar turut mendakwa penilaian bank menunjukkan bahawa harga saham tersebut merupakan kenaikan buatan walaupun tidak menamakan dengan jelas nama-nama bank yang terlibat.

Muhyiddin menegaskan bahawa penyenaraian awam FGVH di bursa saham menepati peraturan-peraturan yang telah digariskan oleh Suruhanjaya Sekuriti, justeru Anwar tidak layak mempertikaikannya, selain mengaitkan dengan campur tangan mana-mana pihak.

Malah katanya, prosedur yang sama itu turut dilalui oleh mana-mana syarikat yang telah tersenarai supaya mengikut segala syarat dan undang-undang sebelum ini.

"Sama ada ada penyertaan daripada mana-mana pihak, agensi, institusi, individu, pemilik saham swasta atau awam itu soal lain. Saya fikir tujuannya tidak lain. Dia iri hati, ingin dipolitikkan, kalau boleh saham itu terus jatuh, jadi dia boleh kata 'betullah saya cakap saham ini tidak bagus, dimanipulasi'," katanya.

Malaysian Maritime Enforcement Agency : Beyond Ordinary


Bukan sekadar wira samudera

Maritim Malaysia turut komited tingkatkan kualiti hidup masyarakat 

 Jan. 3, 2013 - Utusan Malaysia


BAGAN DATOH 2 Jan. - Biarpun saban hari berdepan cabaran tugasan di lautan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak pernah lupa melaksanakan tanggungjawab meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Walaupun nama Maritim Malaysia jarang menjadi bualan masyarakat lantaran tugasnya lebih sinonim di lautan, namun hakikatnya agensi ini turut memainkan peranan cukup signifikan di daratan.

Maritim Malaysia yang beribu pejabat di Putrajaya, pada dasarnya menggalas tanggungjawab menguatkuasakan semua undang-undang maritim Persekutuan selain menyelaras tugas mencari dan menyelamat di zon maritim Malaysia.

Zon maritim Malaysia merangkumi kawasan laut iaitu bermula dari pesisir pantai sehingga ke laut tengah di perbatasan zon ekonomi eksklusif negara.

Sehubungan itu, sebagai langkah memperkenalkan organisasi tersebut kepada rakyat tempatan, Maritim Malaysia mengorak langkah menganjurkan Program Jiwa Murni Mega yang menggembleng aktiviti berbentuk kemasyarakatan bersama komuniti marin.

Program itu melibatkan golongan yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dengan aktiviti di laut seperti nelayan, pekerja pelabuhan dan limbungan, pengusaha feri dan bot-bot pelancong serta agensi-agensi perkapalan.

Program itu yang julung kalinya diadakan di Kampung Simpang Empat, Rungkup di sini, baru-baru ini antara lain menjadikan masyarakat desa sebagai 'sahabat karib' Maritim Malaysia.

"Secara tidak langsung, 'sahabat karib' kita di daratan ini boleh membantu menjadi mata dan telinga Maritim Malaysia dengan menyalurkan maklumat serta kerjasama pada bila-bila masa," kata Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Datuk Mohd. Amdan Kurish ketika ditemui dalam majlis perasmian program itu baru-baru ini.

Mohd. Amdan berkata, Maritim Malaysia merupakan agensi penguatkuasaan tunggal di laut yang bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas pencegahan dan penguatkuasaan selain mencari dan menyelamat di laut.

Sehubungan itu katanya, tugas dan tanggungjawab Maritim Malaysia lebih mencabar dalam menentukan keselamatan kawasan perairan negara supaya sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman jenayah maritim.

"Bagaimanapun, kita berharap dapat menerima sokongan dan kerjasama masyarakat selain membantu memberi penerangan tentang kesedaran keselamatan di laut," katanya.

Mohd. Amdan memberitahu, Projek Jiwa Murni Mega bersama masyarakat Kampung Simpang Empat, Rungkup, Hutan Melintang dekat sini baru-baru ini adalah antara contoh bagaimana Maritim Malaysia boleh berganding bahu dengan masyarakat setempat.

Katanya, selain memberi pelbagai maklumat mengenai Maritim Malaysia, agensi itu turut menyampaikan sumbangan berupa jaket keselamatan kepada persatuan-persatuan nelayan di negeri ini serta mengatur program sukan rakyat, kempen derma darah serta pemeriksaan kesihatan percuma.

Malah, Mohd. Amdan memberitahu, bagi memenuhi keperluan setempat, Maritim Malaysia dengan kerjasama penduduk Kampung Simpang Empat bersetuju menjalankan kerja-kerja penyambungan jeti sepanjang 150 meter bagi memudahkan pengangkutan para nelayan.

Menurutnya, dengan terbinanya jeti itu, beliau yakin kerja-kerja penyimpanan bot-bot nelayan dapat dilakukan dengan mudah dan lebih selamat.

"Selain itu, Maritim Malaysia juga bergotong-royong dengan penduduk kampung untuk kerja-kerja mengecat rumah stor nelayan, dewan serba guna, perpustakaan desa, masjid serta membersihkan kawasan tanah perkuburan di sini.

"Saya percaya dan berharap jalinan kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan," katanya yang turut memuji usaha warga Daerah Maritim 3 Lumut menjayakan program berkenaan.

Beliau menarik perhatian Maritim Malaysia sedar beberapa perkampungan di Simpang Empat, Rungkup dan Hutan Melintang merupakan antara kawasan strategik yang boleh dijadikan sasaran jenayah maritim.

Sehubungan itu katanya, kerjasama daripada semua penduduk dalam menyampaikan sebarang maklumat kepada Maritim Malaysia dapat membantu ke arah membanteras pelbagai aktiviti jenayah berkenaan secara berkesan.

Tuesday, January 22, 2013

Grease Trap Is A Must

                                                                Pix Credit : Ipoh Echo

Beli perangkap minyak tepati piawaian

IPOH 30 Dis. - Semua pengusaha restoran atau kedai makan di bandar raya ini yang diwajibkan untuk memasang perangkap minyak di premis masing-masing, bebas untuk membeli alatan tersebut daripada mana-mana syarikat selagi ia menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim menegaskan, tiada arahan dikeluarkan oleh pihaknya supaya alatan tersebut yang bertujuan mengasingkan sisa-sisa makanan hanya boleh dibeli daripada tiga syarikat terpilih.

"Setakat ini sebanyak 492 premis atau 28 peratus telah memasangnya termasuk di kawasan MBI Terrace. Kita bukan memaksa mereka untuk membeli daripada syarikat tertentu.

"Kita hanya mahu pastikan longkang-longkang di premis ini tidak tersumbat dan kita tiada kepentingan ke atas syarikat-syarikat tersebut. Cuma, kita mencadangkan syarikat-syarikat berkenaan kerana mereka mempunyai paten mengikut kesesuaian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Restoran Dim Sum Cafe Sdn. Bhd. di Pusat Perdagangan Greentown di sini yang muncul sebagai premis terbaik oleh Jabatan Kesihatan di peringkat negeri baru-baru ini.

Dalam pada itu Roshidi berkata, pemasangan perangkap minyak tersebut bukan sahaja mampu menjamin kebersihan, malah kandungan minyak yang terperangkap daripada sisa-sisa makanan tersebut boleh dijual kembali untuk menambah pendapatan.

Beliau berkata, dari September lalu sehingga hari ini, sebanyak 12.1 metrik tan minyak yang terkumpul, berjaya dijual kepada lima syarikat berkenaan untuk diproses menjadi biobahan api (biofuel).

"Setakat ini, kita masih tidak menetapkan sebarang tarikh akhir untuk pemasangan perangkap minyak di premis perniagaan," tambah beliau.

Ganesan Sex Scandal?

                            Pix Credit : The Malay Mail

Ganesan, Hamidah buat laporan polis

IPOH 22 Dis. - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan membuat laporan polis berhubung pendedahan dua pemimpin DAP negeri yang menerima cetakan artikel blog dan cakera padat didakwa mengandungi gambar lucah beliau bersama seorang wanita.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MIC Perak, hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira pukul 10 pagi ini hari ini.

Menurut Ganesan, penerbitan serta pengedaran cakera berkenaan dilakukan dengan niat jahat untuk mengaibkan beliau serta memfitnahnya secara jenayah.

"Saya membuat laporan polis ini supaya pihak polis dapat menjalankan siasatan sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam hal ini mengikut Seksyen 292 dan Seksyen 499 Kanun Keseksaan atau lain-lain peruntukan undang-undang.

"Saya juga telah berhubung dengan peguam saya supaya tindakan undang-undang diambil kepada sesiapa yang terlibat," katanya ketika ditemui pemberita.

Semalam, Ganesan menafikan sekeras- kerasnya tuduhan kononnya beliau terlibat dengan skandal seks seperti digembar- gemburkan pemimpin pakatan pembangkang.

Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar dan Penolong Setiausaha Organisasinya, A.Sivasubramaniam dalam sidang akhbar semalam, mendakwa menerima sampul surat berisi cakera yang tertera di atasnya gambar lucah Ganesan bersama seorang wanita.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin DAP itu mendakwa tidak menyelidik isi kandungan cakera padat tersebut sebaliknya menyerahkannya kepada polis untuk siasatan lanjut.

Malah, Sivakumar berkata, beliau tidak mengetahui mengenai kebenaran skandal seks berkenaan sebaliknya mahu ia disiasat supaya imej DUN Perak tidak terjejas.

Ditanya sama ada dakwaan skandal tersebut akan menjejaskan peluang beliau yang disebut-sebut bakal bertanding sebagai calon di DUN Hutan Melintang, Ganesan berkata: "Saya tidak tahu, saya serahkan keputusan kepada presiden parti (Datuk Seri G. Palanivel)".

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman turut membuat laporan polis hari ini terhadap Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadapnya.

Hamidah yang tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Rapat di sini kira-kira pukul 9.30 pagi berkata, laporan itu dibuat bagi mendapatkan perlindungan diri dan keluarganya daripada sebarang perkara yang tidak diingini.

Semalam, Hamidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, mendakwa menerima ugutan daripada Kor Ming dan ia dipercayai mempunyai kaitan dengan pendedahan isu habuan tanah bernilai RM30 juta di Kelantan.

Hamidah mendakwa didatangi Kor Ming ketika berada di dewan makan DUN Perak sebelum ADUN Pantai Remis itu berkata kepadanya "You revealed, watch out, I will go after you".

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...