Pages


Thursday, November 22, 2012

Frozen Meat Smuggling Busted


Cubaan seludup keluar daging beku dipatah



Oct. 10, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
 
LUMUT 9 Nov. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup keluar 12 tan daging beku bernilai RM150,000 di barat laut Tanjung Lumba-Lumba, perairan Hutan Melintang awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi, Bot Kilat pasukan Maritim Malaysia yang berpangkalan di sini memintas bot KM Sempurna yang membawa muatan penuh daging beku bersama lima awak-awak rakyat Indonesia.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 3 Perak, Kapten (M) Abdul Razak Johan berkata, siasatan mendapati muatan daging beku berkenaan cuba dibawa keluar dari perkampungan pedalaman Hutan Melintang tanpa dokumen yang sah.

"Daging beku itu bagaimanapun dipercayai dibawa masuk secara sah ke Malaysia dari India untuk dibungkus sebelum ia diseludup keluar melalui jalan laut untuk dihantar ke negara jiran.

"Ini adalah kejayaan terbesar kes penyeludupan bagi Daerah Maritim Perak pada tahun ini. Kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sunday, November 11, 2012

Drop in Motorcycle Theft

Kes curi motosikal menurun

IPOH 23 Okt. - Kadar jenayah kecurian motosikal di sekitar bandar raya ini menurun sebanyak 557 kes dari tempoh Januari tahun ini sehingga hari ini, berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) Daerah Ipoh, Supritendan Anuar Othman berkata, angka tersebut menyaksikan penurunan daripada 3,357 kepada 2,800 kes yang dicatatkan setakat ini.

"Antara faktor penyumbang kepada penurunan kes tersebut adalah hasil penglibatan masyarakat termasuk rondaan yang kerap dijalankan oleh anggota polis.

"Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil ke balai polis supaya kita boleh mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Community Policing (C-Cop) di Kampung Ulu Chepor anjuran Balai Polis Tanah Hitam di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah (Pentadbiran), Supritendan Ahmad Termizi Abdul Haq dan Ketua Balai Polis Tanah Hitam, Sarjan Mejar Ahmad Bahari Mansor.

Dalam perkembangan berlainan, Anuar berkata, kadar jenayah di sekitar kawasan Tanah Hitam juga menurun daripada 14 kepada 9 kes pada tahun ini setakat ini.

Beliau berkata, kebanyakan kes jenayah membabitkan kejadian pecah rumah termasuk kegiatan samun di tepi jalan ke atas penduduk di sini yang terdiri daripada pekebun.

"Kegiatan samun ke atas pekebun ini bukan jenayah terancang, sekiranya ada peluang, mereka akan lakukannya," katanya.

UTP to become first private 'Research University'

UTP jadi universiti penyelidikan


SERI ISKANDAR 23 Okt. - Universiti Teknologi Petronas (UTP) bakal menjadi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama negara ini yang diiktiraf sebagai universiti penyelidikan sebaik sahaja melepasi markah kelayakan minimum bagi mencapai status berkenaan.

Naib Canselornya, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim berkata, hasil pelan transformasi yang giat dijalankan sejak tahun 2008, UTP telah memperoleh skor sebanyak 84.9 peratus berbanding 75 peratus yang ditetapkan kementerian.

"Usaha transformasi ini telah membuahkan hasil dan ini melayakkan UTP untuk melalui fasa penilaian terakhir pada bulan depan.

"Adalah diharapkan UTP akan berjaya mencapai status universiti penyelidikan di negara ini pada tahun 2013," katanya ketika berucap pada majlis Konvokesyen Ke-12 UTP di sini kelmarin.

Majlis dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Canselor UTP dan turut dihadiri oleh isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Pada majlis tersebut, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan yang juga Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas), dimasyhurkan sebagai Pro Canselor UTP.

Seramai 1,267 mahasiswa UTP daripada pelbagai bidang jurusan kejuruteraan termasuk sistem maklumat perniagaan dan teknologi maklumat berjaya menamatkan pengajian pada tahun ini termasuk 154 mahasiswa di peringkat pasca siswazah.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, pihak lembaga pengarah universiti sudah meluluskan dua pembinaan bangunan khas untuk penyelidikan dengan memenuhi kriteria Indeks Bangunan Hijau dan dijangka siap pada 2014.

Selain itu, pihaknya juga akan bekerjasama dengan syarikat tempatan, PV Hi Tech Solar untuk membina Ladang Solar yang mampu menjana tenaga elektrik lestari sebanyak 1 Mega Watt di kawasan seluas 1.2 hektar di kampus berkenaan.

Sementara itu, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia UTP, M. Abdul Hafiz Abu Tahir, 24, yang lumpuh dari paras leher hingga kaki kerana kemalangan pada semester akhir pengajiannya, menerima penghargaan ijazah istimewa sempena majlis itu.

M. Abdul Hafiz yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.98 mengakui dia hampir putus asa kerana sukar bangun dan menggerakkan jarinya.

"Sekiranya mampu, saya ingin bekerja dan menjadi seorang jurutera kimia. Apa yang penting, saya ingin berusaha bangun sendiri," katanya yang juga anak kepada seorang peneroka di Felda Semenchu, Kota Tinggi, Johor.

Penerima Anugerah Canselor Emas pula dimenangi pelajar Kejuruteraan Kimia, Chan Wen Zen diikuti Mohamad Azwan Ismail (Kejuruteraan Petroleum) yang memenangi Anugerah Canselor Perak manakala Tan Xiao Ci (Sistem Maklumat Perniagaan) menerima Anugerah Canselor Gangsa.

Dua anugerah baharu yang diperkenalkan tahun ini iaitu Penyelidik Terbaik bagi kategori Doktor Falsafah dan Master pula masing-masing dimenangi Abrar Inayat dan Siti Nur Azella Zaini daripada Fakulti Kejuteraan Kimia.

Monday, October 29, 2012

Political Donation Is Not New


Sumbangan dana politik bukan baru


PARIT 21 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan sumbangan dana kepada parti politik sebagai persiapan menghadapi pilihan raya bukan suatu perkara yang baru.
Dr. Mahathir berkata, perkara seumpama itu juga berlaku pada era pemerintahannya dan ia bukan sahaja melibatkan parti kerajaan tetapi juga pembangkang.

''Sewaktu masa saya (Perdana Menteri), orang menyumbang banyak wang kepada parti bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga pembangkang. Mereka ambil langkah perlindungan sekiranya pihak pembangkang menang, mereka mahu berada dalam hubungan baik dengannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Konvokesyen ke-12 Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang turut dihadiri isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas serta Naib Canselor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim di sini hari ini.

Dr. Mahathir diminta mengulas isu penerimaan dana sebanyak RM40 juta oleh Badan Perhubungan UMNO Sabah yang dijadikan polemik politik oleh pemimpin pakatan pembangkang.

Mengakui tidak tahu menahu mengenai perkara itu, Dr. Mahathir berkata, sumbangan dana adalah biasa bagi parti politik malahan ia menjadi lumrah di negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat.

''Malah di Amerika, seperti yang anda maklum, anda tidak boleh menjadi seorang Presiden melainkan anda adalah seorang jutawan kerana anda memerlukan terlalu banyak duit," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13, Dr. Mahathir berpendapat ia sesuai diadakan pada bila-bila masa termasuk tahun ini.

Beliau yang pernah menyarankan PRU-13 wajar diadakan dalam masa terdekat bagaimanapun berkata, ketetapan itu terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Kita sudah di penghujung, jadi tidak menjadi masalah diadakan sama ada pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan. Kita boleh tunggu, tetapi jika kita tunggu, orang lain (pembangkang) juga akan bersedia.

Namun, semuanya bergantung kepada Datuk Seri Najib. Pandangan saya adalah pandangan saya," katanya.
Terdahulu, seramai 1,267 mahasiswa UTP daripada pelbagai bidang jurusan kejuruteraan termasuk sistem maklumat perniagaan dan teknologi maklumat berjaya menamatkan pengajian pada tahun termasuk 154 mahasiswa di peringkat pasca siswazah.

Sempena majlis tersebut, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan yang juga Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas), dimasyhurkan sebagai Pro Canselor UTP.

Tuesday, October 2, 2012

International Journalism Felowship 2012



I'm currently undergoing this training for a month

Friday, September 7, 2012

Jewellery shop robbed




Emas ratusan ribu ringgit lesap

August 4th, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

SUNGAI SIPUT 3 Sept. - Sebuah kedai emas menanggung kerugian ratusan ribu ringgit setelah kesemua barang kemas dalam bilik kebal premis berkenaan lesap dilarikan penjenayah dalam rompakan yang dipercayai berlaku antara Sabtu lalu hingga semalam.

Pemilik kedai Emas Poh Foong di Jalan Besar di sini hanya menyedari kejadian tersebut ketika ingin membuka premis kira-kira pukul 9 pagi ini selepas menutup perniagaan selama tiga hari sejak 31 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, penjenayah menebuk sebuah lubang pada dinding sebelah kiri kedai berkenaan untuk memecah masuk sebelum melarikan barang kemas berkenaan.

"Penjenayah itu juga berjaya mematikan loceng penggera kecemasan ketika menebuk lubang di dinding kedai berkenaan melalui sebuah kedai usang di sebelahnya yang sudah lama terbiar dan ditinggalkan.

"Peti besi itu ditebuk di bahagian atas dan penjenayah telah turun ke dalam bilik kebal dan melarikan kesemua emas dalam kedai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ekoran kejadian tersebut, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Mohd. Dzuraidi memberitahu, kejadian dipercayai dilakukan ketika hujung minggu memandangkan kedai itu ditutup mulai petang kelmarin sehingga semalam.

Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, penjenayah terbabit boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan denda.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Friday, August 31, 2012

Bus-Trailer Collision



Pemandu maut, 12 cedera

August 31, 2012 - Utusan Malaysia

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

TANJUNG MALIM 30 Ogos - Seorang pemandu bas persiaran maut sementara 12 lagi cedera apabila kenderaan yang dinaiki mereka merempuh sebuah treler muatan besi di Kilometer 362.7, Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berdekatan Trolak malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.45 malam, mangsa yang dikenali sebagai Hussien Jaafar, 29, mati di tempat kejadian kerana tersepit di tempat pemandu apabila bahagian depan bas tersebut 'melekat' pada belakang treler berkenaan.

Selain bahagian hadapan bas tersebut remuk teruk, beberapa kerusi di bahagian hadapan tempat duduk penumpang turut tercampak keluar daripada bas persiaran KLB Express itu yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor menuju ke Butterworth, Pulau Pinang.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada pemanduan yang laju sehingga bas berkenaan dikatakan terseret sejauh kira-kira 130 meter sebaik sahaja 'melekap' pada treler berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Othman Nanyan berkata, kesemua empat mangsa yang parah dan lapan lagi yang mengalami cedera ringan itu dihantar ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan.

"Lima daripada sejumlah 17 penumpang yang menaiki bas ekspres tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan termasuk seorang pemandu bas kedua.

"Pemandu treler berkenaan juga bagaimanapun tidak terlibat dalam kecederaan sementara mayat pemandu bas berkenaan dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat," katanya di sini hari ini.

Antara penumpang yang dikenal pasti mengalami kecederaan termasuklah seorang warga Indonesia dikenali sebagai Leni Arriani Marpang; Leow Sun Sun, 37; P. Kuhan, 22; Che Yussof Che Am, 39; Sayed Mohd. Soffi Sayed Marhadzir,21; R. Kumutha, 23; Ooi Beng Chin, 48 ; Nur Farah Mera Jamil, 13; Muhamad Radzuan Hassan, 26; Mohd Hafizul Zulfabili, 25; Husni Mustapah, 46 dan Shahrina,24.

Sementara itu, waris kepada mangsa maut, Hassan Jaafar, 29, yang juga merupakan kembar kepada mangsa berkata, adiknya yang bekerja sepenuh masa secara kontrak di sebuah kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Baling, Kedah; rajin melakukan kerja sambilan termasuk kerja kampung dan memandu bas ekspres di waktu cuti.

Hassan berkata, Hussein yang mempunyai perwatakan agak pendiam serta belum mendirikan rumah tangga itu juga kini menetap bersama keluarga di Kampung Dato' Manan Tiak, Kupang, Baling, Kedah.

"Kali saya terakhir saya berjumpa dengannya adalah hari Rabu lalu iaitu sebelum dia pergi kerja. Dia sempat minum air dan tinggalkan duit untuk digunakan bagi membaiki kenderaannya," katanya yang turut mengakui arwah juga gemar untuk memasuki pertandingan tomoi di sekitar Kulim dan Baling.


 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...