Pages


Saturday, March 3, 2012

Cyber Crime Is Around You

Internet dominasi jenayah siber

Feb. 17, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 16 Feb. - Jenayah penipuan internet mencatatkan jumlah aduan tertinggi melibatkan insiden keselamatan siber yang dilaporkan di negara ini awal tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia, Prof. Datuk Husin Jazri berkata, daripada 954 aduan yang diterima oleh Pusat Bantuan Cyber999 Januari lepas, 492 daripadanya adalah berbentuk penipuan.

"Angka ini melibatkan kegiatan memancing maklumat pengguna Internet atau phising (346), penipuan Nigeria (45), penipuan pekerjaan (38), penipuan dalam talian (28), laman web palsu (19), penipuan pembelian (10), penyamaran (empat) dan penipuan loteri (dua).

"Selain penipuan, kita juga menerima aduan berupa gangguan siber melibatkan buli (21), intipan (tiga) serta kenyataan berbentuk seksual dan perkauman yang masing-masing terdiri daripada satu kes," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Internet Lebih Selamat kali ketiga yang julung kalinya diadakan di luar Lembah Klang di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KPerak Implementation and Coordination Corporation, Prof. Madya Dr. Ahmad Kamil Mahmood.

Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan jenayah siber yang semakin bertambah adalah didorong oleh perluasan capaian internet pada masa kini.

Sehubungan itu, katanya, pendidikan dan kesedaran terhadap penggunaan ICT perlu diterapkan terutamanya buat generasi muda supaya mereka mampu terhindar daripada ditipu di alam siber.

"Kalau 10 tahun dahulu, ancaman virus sering menjadi masalah kepada pengguna siber, namun kini, ia telah berubah.

"Perbuatan manusia sendiri yang memanipulasikan elemen tamak, tidak ambil endah, perasaan takut serta percaya seseorang itu terhadap sesuatu yang diterimanya di internet," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Mohamad Zahir berkata, kadar penembusan jalur lebar di negeri Perak dijangka mencecah 60 berbanding 52 peratus ketika ini.

Justeru itu, beliau mengalu-alukan inisiatif sambutan tersebut yang selari dengan wawasan kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai sebuah bandar raya digital berlandaskan konsep Securing Digital City.

Monday, February 20, 2012

Sayangi Hidupan Penyu



Derita sang penyu perlu pembelaan

Feb. 16, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

LUMUT 15 Feb. - Penyu kini dilanda masalah serius kerana lebih 300 spesies haiwan tersebut berdepan dengan ancaman kepupusan.

Hidupan itu bukan sahaja dikumpul, didagang mahu pun dimakan, malah habitat haiwan tersebut turut diancam pencemaran dan kemusnahan bagi tujuan pembangunan.

Laporan Gabungan Penjagaan Penyu, sebuah gerakan global termasuk Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam dan Sumber Asli (IUCN) pada Mac tahun lalu mendedahkan, terdapat 25 penyu air tawar dan kura-kura yang kini paling diancam kepupusan.

Biarpun cangkerang penyu berupaya memastikan survival haiwan tersebut sejak bertahun lamanya, namun kerakusan manusia mampu melenyapkan spesies itu dalam sekelip mata.

Di negara China, perdagangan penyu amat berleluasa dengan jutaan haiwan tersebut diimport setiap tahun dari seluruh Asia, Afrika dan Amerika Utara bagi memenuhi permintaan tinggi.

Meskipun perusahaan penyu berskala besar secara komersial giat diusahakan bagi memenuhi permintaan domestik di China, namun populasi haiwan tersebut masih terancam.

Ia berikutan terdapat permintaan untuk mendapatkan daging penyu selain ada yang juga melihatnya sebagai satu produk perubatan.

Lebih malang, populasi penyu semakin musnah apabila penggemar haiwan yang kaya sanggup membayar berjuta-juta dolar Amerika di pasaran gelap semata-mata untuk mendapatkan haiwan tersebut.

Di negara ini pula, Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menyeru pihak berkuasa melarang penjualan dan pemakanan telur penyu dan tidak terbatas hanya kepada penyu belimbing.

Menurut WWF Malaysia, penyu agar, penyu karah dan terutamanya penyu lipas juga kian berada di ambang kepupusan sekiranya telur-telur hidupan ini tidak dilindungi oleh undang-undang.

Biarpun begitu, Pelan Tindakan Kebangsaan untuk Pemuliharaan dan Pengurusan Penyu Malaysia yang dilancarkan pada 2008 sekurangnya menyediakan platform tepat ke arah perlindungan telur penyu daripada dijual dan dimakan.

Menyedari hakikat tentang peri pentingnya penjagaan penyu, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) bersama 200 pekerjanya baru-baru ini menganjurkan program 'Kenali Penyu Sayangi Penyu' di Pusat Pengurusan Penyu Segari.

Seramai 50 pelajar dari Sekolah Rendah Kebangsaan Segari, Sekolah Kebangsaan Seri Bayu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Min, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Huntley menyertai inisiatif ini.

Dirancang di bawah Program Pembangunan Kepemimpinan Malakoff, pelajar memperoleh pemahaman yang lebih baik mengenai penyu termasuklah langkah yang perlu mereka lakukan supaya kemandirian spesies tersebut terjamin.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Zainal Abidin Jalil berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya dalam penjagaan alam sekitar di bawah platform tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Projek ini amat bermakna dan kita berharap pelajar dan masyarakat setempat akan mendapat lebih input bagaimana untuk memulihara populasi penyu yang semakin berkurangan," katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuklah ceramah bertajuk Kenali Penyu Bererti Menyayangi Penyu yang memfokuskan tentang pemahaman terhadap haiwan tersebut termasuk kitar hidupnya.

Para pelajar turut dibawa melawat di sekitar pusat penetasan penyu, tangki semaian dan kolam penyu.

Selain itu, mereka juga terlibat dalam pertandingan mewarna penyu dan kuiz antara sekolah bagi menguji pengetahuan mengenai hidupan laut tersebut.

Pada akhir program, para peserta berikrar tidak akan sesekali memakan telur penyu sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk memperbanyak populasi haiwan tersebut.

Kemuncak program adalah melepaskan anak-anak penyu ke laut yang juga merupakan langkah terakhir dalam penjagaan penyu.

Ketua projek bagi program tersebut, Mohd. Nizam Baharin berkata, pihaknya merancang untuk meneruskan program itu pada setiap tahun.

Terdahulu, mereka turut bergotong-royong membersihkan serta mengecat premis di Pusat Pengurusan Penyu Segari bagi menceriakan suasana di situ.

Seorang guru daripada Sekolah Kebangsaan Segari, Rashidah Shaari berkata, program tersebut berjaya membuka mata para pelajar mengenai kepentingan penyu terhadap ekosistem.

"Inisiatif sebegini harus diteruskan supaya kesedaran orang ramai terhadap penjagaan penyu akan lebih bertambah," katanya.

Keuntungan Besar Felcra

Peserta Felcra terima dividen RM839j

Feb. 13, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR dan AIN SAFRE BIDIN
pengarang@utusan.com.my

PASIR SALAK 12 Feb. - Seramai 94,000 peserta Felcra di seluruh negara bakal menerima durian runtuh apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan dividen sebanyak RM914 juta di sini Sabtu ini.

Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, pengumuman tersebut akan dibuat sempena Perhimpunan Rakyat dan Peserta Felcra Peringkat Kebangsaan yang dijangka dihadiri seramai 50,000 orang.

"Daripada jumlah dividen tersebut, RM839 juta adalah untuk peserta Felcra sementara yang selebihnya akan diagihkan kepada peserta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Terdapat 7,000 peserta PPRT di seluruh negara yang kita bantu setiap bulan sejak bertahun-tahun lamanya iaitu bantuan bulanan sebanyak RM250 sebulan," katanya selepas meninjau persiapan perhimpunan tersebut di Tapak Perumahan Generasi Kedua Felcra Berhad Seberang Perak, Changkat Lada dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Perak, Mat Roni Zakaria.

Sementara itu Tajuddin berkata, Felcra akan mewujudkan dana pelaburan yang diuruskan oleh syarikat Pelaburan Felcra Berhad dengan suntikan awal sebanyak RM100 juta.

Beliau berkata, dana pelaburan itu adalah inisiatif baru bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil ladang oleh peserta Felcra kerana hasil sektor itu yang semakin terhad ekoran masalah kekurangan tanah.

Tajuddin memberitahu, dana tersebut diuruskan oleh lembaga amanah yang profesional dan Felcra menggalakkan peserta untuk menabung dalam dana pelaburan berkenaan.

"Kami jangka kalau peserta melabur, Felcra pun melabur. Kita boleh wujudkan dana hingga RM500 juta dalam tempoh tiga atau tempat tahun. Jumlah itu membolehkan kita melakukan pelbagai pelaburan dan beri pulangan kepada syarikat dan peserta," katanya.

Selain itu katanya, Felcra juga akan menubuhkan Kolej Felcra di Seberang Perak bagi membangunkan modal insan daripada kalangan generasi Felcra.

Sunday, February 5, 2012

Eradicating Poverty Through Zakath



Basmi kemiskinan secara menyeluruh

January 31, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 30 Jan. – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu usaha membasmi kemiskinan ummah dilakukan secara menyeluruh melalui pembangunan minda, rohani dan iman supaya ia tidak berlandaskan kepada agihan zakat semata-mata.

Baginda bertitah, zakat hanyalah satu daripada komponen dalam syariat Islam dan objektif membasmi kemiskinan tidak akan mampu dilaksanakan sekiranya dilakukan secara berasingan.

Mengambil contoh pendekatan pemerintahan Sayidina Umar Abdul Aziz dalam melaksanakan sistem zakat secara menyeluruh, baginda bertitah, ia berjaya membawa kepada perubahan sistem sosial yang akhirnya membangkitkan kesedaran umat.

Raja Dr. Nazrin bertitah, berdasarkan catatan sejarah, sepanjang pemerintahan Saidina Umar juga, tiada lagi orang miskin yang mahu menerima zakat meskipun mereka tidak berkemampuan dari segi harta.

‘‘Minda, rohani dan iman yang miskin sukar dikayakan serta dibangunkan jiwa merdeka, malah ia menjadi faktor pendorong seseorang insan memiliki karektor seorang abdi. Mereka ini mudah menggadai prinsip serta diperalatkan.

‘‘Malah jika sekalipun mereka dicurahkan bantuan kebendaan atau disalutkan dengan kekayaan duniawi, mereka mudah melakukan penyelewengan lalu membenarkan berlakunya ketirisan. Akibatnya, umat terus kekal dalam orbit kemiskinan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sewaktu mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) Ke-178 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria.

Sebelum persidangan tersebut, Raja Dr. Nazrin turut berkenan menyampaikan majlis penganugerahan watikah pelantikan ahli-ahli MAIAMP untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Januari lalu sehingga 31 Disember 2014.

Tiga anggota baru MAIAMP yang dilantik terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Toh Seri Bijaya Lt. Kol. (B) Shaharudin Nazari serta Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Dr. Abd. Malek Awang Kechil.

Dalam perkembangan sama, Raja Dr. Nazrin bertitah, faktor agihan kekayaan perlu dijadikan sebagai salah satu kriteria penentu kerana kemiskinan tidak wajar berlaku dalam sesebuah negara maju.

Baginda bertitah, ia berikutan, matlamat bantuan zakat itu sendiri adalah untuk membina upaya serta memerdekakan seseorang insan sehingga akhirnya mereka berupaya untuk berdikari.

‘‘Program zakat berjaya adalah yang pada akhirnya dapat mengurangkan bilangan ummah yang terpaksa bergantung kepada bantuan zakat, malah melahirkan lebih ramai berupaya menunaikannya,” titah baginda.

Chinese State Government in Perak ?




Pembangkang menipu Cina

January 30, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 29 Jan. - Pengundi kaum Cina di negeri ini diingatkan supaya tidak terpedaya dengan helah terbaru parti pembangkang yang kononnya mahu menubuhkan 'Kerajaan Cina' di Perak jika menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek (gambar) ketika mendedahkan perkara itu, menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu pembohongan yang amat besar.

"Saya mendapat maklumat daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai, kononnya parti pembangkang berkempen kepada masyarakat Cina di peringkat akar umbi bahawa orang Cina akan dijadikan 'taiko' sekiranya mereka memerintah Perak.

"Ini merupakan satu pembohongan besar kerana selepas pilihan raya yang lalu, walaupun pembangkang menang, tetapi Menteri Besar yang dilantik bukan daripada kaum Tionghua, tetapi seseorang daripada Pas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA Perak yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Setiausaha Agung MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk R. Ganesan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Mengulas lanjut, Soi Lek yang juga Pengerusi MCA Perak berkata, kebanyakan masyarakat Cina tidak sedar bahawa sekiranya mengundi DAP, mereka sebenarnya hanya memberi lebih kekuatan kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mendominasi pakatan pembangkang.

Kebanyakan pengundi Cina katanya, hanya melihat DAP sebagai sebuah parti tunggal sedangkan ia bekerjasama dengan pakatan pembangkang lain dengan menggunakan simbol berbeza semasa pilihan raya.

"Jika dilihat pada pilihan raya umum 2008, DAP mempunyai 18 wakil rakyat sementara Pas dan PKR hanya 11 orang, tetapi yang menjadi 'taiko' di negeri ini ialah Pas, bukannya DAP.

"MCA selalu percaya bahawa 'abang besar' dalam pakatan pembangkang ialah Pas kerana mereka mempunyai lebih ramai keahlian, sumber dan akan bertanding lebih banyak untuk kerusi Parlimen," katanya.

Wednesday, January 25, 2012

Kelab Taat Suami

* This is the original version of my writing - but I'm not sure whether it will come out in the newspaper tomorrow. Sekadar berkongsi apa sebenarnya yang ingin dibawa oleh Kelab Taat Suami tanpa sebarang prejudis, hanya berdasarkan fakta dan apa yang disampaikan sewaktu sidang media


KTS promosi Rasulullah tokoh seks suci Islam

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 25 Jan. - Kelab Taat Suami (KTS) yang pernah mencetuskan kontroversi pada tahun lalu kerana menyeru para isteri memberi layanan 'pelacur kelas pertama' kepada suami, kini giat mempromosi Rasulullah sebagai tokoh seks suci Islam.

Ditubuhkan oleh Global Ikhwan Sdn. Bhd.(GISB) yang dikaitkan dengan pergerakan haram kumpulan Al-Arqam sebelum ini, kempen tersebut kini dijalankan di seluruh Malaysia sempena sambutan Maulidur Rasul pada 5 Februari ini.

Ahli Lembaga Pengarah GISB, Ahmad Bakhtiar Ahmad berkata, seks suci Rasulullah wajar dijadikan teladan apabila ia didakwa menyamai kehebatan hampir 40 orang lelaki ekoran mampu mendatangi 11 isterinya dalam satu malam.

Walaupun mengakui ia hanya bersandarkan dalil bersifat umum, Ahmad Bakhtiar berkata, kehebatan seks tersebut mampu dilaksanakan secara roh yang mana orang terpilih berupaya muncul di beberapa tempat dalam sesuatu masa.

"'Orang roh' ini hubungan hatinya tidak putus dengan tuhan dan ia diperoleh hasil kekuatan taqwanya dan salah satu orangnya ialah 'Abuya' (pengasas pergerakan haram Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Mohamad).

"Pengasas KTS, Ummu Jah (isteri Asaari, Hatijah Aam), tidak bercadang untuk menukar tema promosi kempen ini kerana ia tidak sesekali menjatuhkan martabat Rasulullah sebaliknya mengangkat martabatnya sebagai seorang 'superhero'," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Rumah Tamu GISB Zon Utara di sini hari ini yang turut dihadiri seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah GISB, Hamdan Abu.

Dalam pada itu, Ahmad Bakhtiar berkata, meskipun ia bakal menimbulkan kontroversi, pihaknya komited mempromosi seks suci Islam kerana ia bukan sahaja satu ibadah, malah lebih baik daripada seks haram yang dianjurkan dunia Barat dan Yahudi.

Katanya, sudah tiba masanya umat Islam mempunyai contoh teladan dalam soal seks suci kerana nabi adalah manusia sempurna yang menjadi utusan Tuhan sekali gus menangkis pandangan seks itu jijik serta tidak boleh dibicarakan secara terbuka.

"Apabila seorang isteri itu berkahwin, dia harus menyerahkan jiwa raganya dan suami berhak untuk melihat dan menjilat kemaluan isterinya kecuali melakukan persetubuhan melalui dubur dan apabila ia didatangi haid.

"Layanan seorang pelacur itu tidak ada tandingannya tetapi ia berlainan dengan layanan seorang isteri ke atas suami yang disandarkan atas faktor keredhaan Tuhan, malah kenikmatan persetubuhan lebih terasa dalam ikatan yang suci berbanding pelacuran," katanya.

Sementara itu, sekumpulan anggota di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam turut melakukan pemeriksaan ke atas tetamu yang hadir setelah majlis tersebut selesai.

Saturday, January 14, 2012

Pulau Pasir Hitam



Tiga murid di pulau terpencil

Jan. 5, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

BUKIT GANTANG 4 Jan. – Demi pelajaran, tiga murid Melayu sanggup menuntut ilmu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Hua yang terletak di Pulau Pasir Hitam - sebuah pulau terpencil dekat sini.

Radiatul Adawiyah Khuri, 12, bersama dua adiknya, Mohd. Firdaus, 9, dan Nurhidayatul Waheeda, 7, yang memulakan hari pertama sesi persekolahan hari ini, kelihatan ceria meskipun hanya mereka bertiga pelajar di sekolah itu.

Ini kerana tiga beradik itu menjadi rakan sekelas kerana tiada murid lain lagi di sekolah tersebut.

Malahan, mereka yang tinggal bersama ibu mereka, Hafsah Najwa Abd. Mutalib, 49, merupakan antara empat kanak-kanak yang menghuni pulau tersebut yang majoritinya penduduknya tidak sampai 100 warga emas berketurunan Cina.

Kedatangan mereka ke sekolah itu bermula apabila Hafsah Najwa tertarik dengan tawaran biasiswa oleh sekolah berkenaan yang disiarkan Utusan Malaysia pada 1 Oktober lalu.

Keputusan ibu tunggal dari Pulau Pinang untuk menghantar tiga anaknya itu sekali gus menyelamatkan sekolah Cina tersebut daripada ditutup disebabkan ketiadaan pelajar.

Berdepan dengan masalah kewangan, ibu kepada 10 orang anak itu tidak sesekali menyesal dengan tindakan membawa ketiga-tiga anaknya ke situ kerana pihak sekolah menawarkan elaun sara hidup sebanyak RM150 sebulan bagi seorang pelajar.

“Saya tidak terdaya untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak setelah berpisah dengan suami tujuh tahun lalu. Bayangkan sekiranya tambang bas sekolah bagi seorang adalah RM60 sebulan, bagaimana saya hendak menanggung tiga anak saya yang bersekolah rendah?

“Itu belum ditambah lagi dengan dua anak di sekolah menengah, seorang di Politeknik Seberang Perai dan seorang lagi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis,” kata Hafsah Najwa kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Radiatul Adawiyah yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini, mengakui selesa untuk belajar di sekolah tersebut.

Dia dan adiknya, Mohd. Firdaus juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkomunikasi dengan hanya dua orang guru yang bertugas di sekolah tersebut kerana menguasai sepenuhnya bahasa Cina melalui pertuturan dan penulisan.

Adik bongsunya, Norhidayatul Waheeda yang mengalami kecacatan di tangan kirinya sejak lahir, juga seronok untuk memulakan alam persekolahan di sekolah berkenaan yang menggunakan tenaga solar untuk kemudahan komputer.

“Dahulu, sebelum berpindah ke pulau ini, kami bersekolah di SJKC Poay Wah, Tanjung Bunga, Pulau Pinang. Kesemua 10 adik-beradik kami menerima pendidikan di sekolah Cina,” katanya.

Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Bukit Gantang, Datuk Ho Cheng Wang yang kebetulan hadir melawat tiga murid itu di sekolah berkenaan, turut menyumbangkan bantuan wang tunai RM150 setiap seorang bagi tempoh setahun.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...