Pages


Monday, February 20, 2012

Sayangi Hidupan Penyu



Derita sang penyu perlu pembelaan

Feb. 16, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

LUMUT 15 Feb. - Penyu kini dilanda masalah serius kerana lebih 300 spesies haiwan tersebut berdepan dengan ancaman kepupusan.

Hidupan itu bukan sahaja dikumpul, didagang mahu pun dimakan, malah habitat haiwan tersebut turut diancam pencemaran dan kemusnahan bagi tujuan pembangunan.

Laporan Gabungan Penjagaan Penyu, sebuah gerakan global termasuk Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam dan Sumber Asli (IUCN) pada Mac tahun lalu mendedahkan, terdapat 25 penyu air tawar dan kura-kura yang kini paling diancam kepupusan.

Biarpun cangkerang penyu berupaya memastikan survival haiwan tersebut sejak bertahun lamanya, namun kerakusan manusia mampu melenyapkan spesies itu dalam sekelip mata.

Di negara China, perdagangan penyu amat berleluasa dengan jutaan haiwan tersebut diimport setiap tahun dari seluruh Asia, Afrika dan Amerika Utara bagi memenuhi permintaan tinggi.

Meskipun perusahaan penyu berskala besar secara komersial giat diusahakan bagi memenuhi permintaan domestik di China, namun populasi haiwan tersebut masih terancam.

Ia berikutan terdapat permintaan untuk mendapatkan daging penyu selain ada yang juga melihatnya sebagai satu produk perubatan.

Lebih malang, populasi penyu semakin musnah apabila penggemar haiwan yang kaya sanggup membayar berjuta-juta dolar Amerika di pasaran gelap semata-mata untuk mendapatkan haiwan tersebut.

Di negara ini pula, Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menyeru pihak berkuasa melarang penjualan dan pemakanan telur penyu dan tidak terbatas hanya kepada penyu belimbing.

Menurut WWF Malaysia, penyu agar, penyu karah dan terutamanya penyu lipas juga kian berada di ambang kepupusan sekiranya telur-telur hidupan ini tidak dilindungi oleh undang-undang.

Biarpun begitu, Pelan Tindakan Kebangsaan untuk Pemuliharaan dan Pengurusan Penyu Malaysia yang dilancarkan pada 2008 sekurangnya menyediakan platform tepat ke arah perlindungan telur penyu daripada dijual dan dimakan.

Menyedari hakikat tentang peri pentingnya penjagaan penyu, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) bersama 200 pekerjanya baru-baru ini menganjurkan program 'Kenali Penyu Sayangi Penyu' di Pusat Pengurusan Penyu Segari.

Seramai 50 pelajar dari Sekolah Rendah Kebangsaan Segari, Sekolah Kebangsaan Seri Bayu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Min, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Huntley menyertai inisiatif ini.

Dirancang di bawah Program Pembangunan Kepemimpinan Malakoff, pelajar memperoleh pemahaman yang lebih baik mengenai penyu termasuklah langkah yang perlu mereka lakukan supaya kemandirian spesies tersebut terjamin.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Zainal Abidin Jalil berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya dalam penjagaan alam sekitar di bawah platform tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Projek ini amat bermakna dan kita berharap pelajar dan masyarakat setempat akan mendapat lebih input bagaimana untuk memulihara populasi penyu yang semakin berkurangan," katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuklah ceramah bertajuk Kenali Penyu Bererti Menyayangi Penyu yang memfokuskan tentang pemahaman terhadap haiwan tersebut termasuk kitar hidupnya.

Para pelajar turut dibawa melawat di sekitar pusat penetasan penyu, tangki semaian dan kolam penyu.

Selain itu, mereka juga terlibat dalam pertandingan mewarna penyu dan kuiz antara sekolah bagi menguji pengetahuan mengenai hidupan laut tersebut.

Pada akhir program, para peserta berikrar tidak akan sesekali memakan telur penyu sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk memperbanyak populasi haiwan tersebut.

Kemuncak program adalah melepaskan anak-anak penyu ke laut yang juga merupakan langkah terakhir dalam penjagaan penyu.

Ketua projek bagi program tersebut, Mohd. Nizam Baharin berkata, pihaknya merancang untuk meneruskan program itu pada setiap tahun.

Terdahulu, mereka turut bergotong-royong membersihkan serta mengecat premis di Pusat Pengurusan Penyu Segari bagi menceriakan suasana di situ.

Seorang guru daripada Sekolah Kebangsaan Segari, Rashidah Shaari berkata, program tersebut berjaya membuka mata para pelajar mengenai kepentingan penyu terhadap ekosistem.

"Inisiatif sebegini harus diteruskan supaya kesedaran orang ramai terhadap penjagaan penyu akan lebih bertambah," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...