Pages


Friday, August 31, 2012

All Eyes On Taiping High Court

Kekalkan Mahkamah Tinggi

August 26, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

PARIT 25 Ogos - Perak berharap Kerajaan Persekutuan khususnya jabatan kehakiman dapat memberi pertimbangan sewajarnya supaya bangunan dan operasi di Mahkamah Tinggi Taiping dapat diteruskan daripada ditutup.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau telah mendengar penjelasan berhubung perkara itu dan diberitahu bahawa syor penutupan mahkamah itu timbul berikutan langkah menaik taraf pengendalian kes-kes di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

“Mahkamah Majistret kini mengendalikan kes-kes melibatkan tuntutan yang dinaikkan sehingga RM100,000, begitu juga Mahkamah Sesyen sehingga RM1 juta. Justeru, dengan sendirinya kes-kes berkenaan tidak lagi dikendalikan oleh Mahkamah Tinggi.

“Walaupun begitu, saya berterima kasih kerana dilaporkan bahawa ia hanyalah satu cadangan dan bukan keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan rumah terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Parit yang dihadiri kira-kira 4,000 pengunjung di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd. Zaim Abu Hasan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja dan Ahli Parlimen Parit, Drs. Mohd. Nizar Zakaria.

Zambry mengulas mengenai ura-ura Mahkamah Tinggi Taiping yang berusia hampir 20 tahun dikatakan bakal ditutup ekoran pindaan Akta Mahkamah Rendah pada dua tahun yang lalu.

Berikutan itu, Jawatankuasa Peguam Perak yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut berhasrat untuk menghantar satu memorandum bantahan kepada kerajaan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan berlainan, Zambry berkata, bandar Parit termasuk kawasan Perak Tengah, akan terus membangun dengan terbinanya Lebuh Raya Pantai Barat di sepanjang pesisiran pantai negeri ini melalui susur keluar ke Siputeh.

Beliau berkata, projek yang pada dasarnya telah dipersetujui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu dijangka akan dimulakan pada tahun ini.

“Saya telah diberi taklimat terbaru mengenainya. Malah, Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa projek lebuh raya tersebut yang kini telah berada di peringkat draf terakhir akan diteruskan walaupun kita telah maklumkan mengenai kebimbangan isu kelewatan," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...